Tag: tidak gentar

  • Tidak gentar, Annuar juga akan saman Kit Siang

    Tidak gentar, Annuar juga akan saman Kit Siang

    BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau sama sekali tidak gentar dengan saman yang dikemukakan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

    Malah bekas pemimpin tertinggi UMNO yang kini bersama Pas itu juga akan mengambil tindakan saman terhadap Lim kerana tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

    “Hari ini saya dapat surat saman daripada Lim Kit Siang, saya sampai di Jempol, orang rumah telefon beritahu Lim Kit Siang saman kerana ucapan saya di Bachok.

    “Saya kata tak ada masalah, saya dah lama sebenarnya tunggu Lim Kit Siang saman supaya bertemu buku dengan ruas. Dia jangan fikir dia boleh buli Annuar Musa.

    “Saya berpegang kepada apa yang saya kata. Dia saman saya, lusa saya akan arahkan pula peguam saman dia,” katanya.

    Terdahulu Malaysiakini melaporkan pasukan peguam Lim telah menyampaikan surat tuntutan (LOD) kepada Annuar berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan rusuhan kaum yang membawa maut pada 13 Mei 1969.

    Annuar pada malam Rabu lalu, Bachok, Kelantan, mendakwa DAP mempunyai ‘kepentingan’ dalam rusuhan itu dan menuduh Lim mengapi-apikan isu bumiputera dan bukan bumiputera di Kota Kinabalu ketika pembunuhan berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

    Dalam membuat dakwaan itu, Annuar memetik buku yang menurutnya memuatkan ucapan Lim. Bagaimanapun, Lim berkata buku itu tidak wujud.

    Sebaliknya, menurut pemimpin DAP itu, ia haya adalah khayalan Annuar sedangkan hakikatnya dia langsung tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei 1969, kerana pada pagi 13 Mei, dia telah ke Kota Kinabalu untuk membantu calon Bebas dalam hari mengundi di Sabah dan Sarawak yang dijadualkan kemudian.

    Sementara itu, Annuar mendakwa Lim juga cuba mencemarkan kewibawaannya sebagai orang politik melalui tulisan di Facebook dan beliau akan mengarahkan peguam untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

    “Sebab dalam Facebook dia kata Annuar Musa sejak masuk Pas, perkara pertama dilakukan adalah tiru Haji Hadi (Presiden Pas) kerana membuat tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas.

    “Itu juga cuba mencemarkan kewibawaan saya sebagai orang politik, maka saya akan mendakwa Lim Kit Siang kerana membuat tuduhan terhadap saya. Saya harap dia mempertahankan diri.

    “Yang dia dakwa saya tak ada masalah, malam ini pun saya boleh ulas sekali lagi. Supaya peguamnya boleh ambil ucapan di Bachok, ambil lagi ucapan di Jempol, gabung kedua-dua bawa ke mahkamah,” katanya.

    Tambah bekas menteri UMNO itu sebagai orang perjuangan mereka tidak mudah boleh diugut atau diapa-apakan selagi berkata benar.

    “Saya menentang (Datuk Seri Dr.) Zahid Hamidi (Presiden UMNO) kerana berpegang pada kebenaran, saya tolak DAP kerana saya pegang pada kebenaran. Saya bukan bercakap di belakang, tiap-tiap malam saya berpidato secara terbuka, nak saman silakan, tiada masalah,” tegasnya.

  • Calon PN tidak gentar berdepan Nga Kor Ming

    Calon PN tidak gentar berdepan Nga Kor Ming

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang, Dr Richard Ng menegaskan, beliau tidak gentar berdepan calon lawan termasuk daripada nama besar dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kerusi DUN berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PN yang diwakili Richard, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming daripada PH serta Bendahari MCA Ipoh Barat, Lim Huey Shan daripada Barisan Nasional (BN).

    Richard yang juga Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak berkata keberadaan calon lawan yang terdiri daripada nama besar itu juga disifatkan sebagai pertembungan sengit bagi kerusi tersebut.

    Walau bagaimanapun, beliau yakin gerak kerja sukarelawannya melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jawatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selama ini akan membantu meyakinkan pengundi untuk memilih beliau pada PRU-15.

    “Walaupun ada satu nama besar yang saya perlu tentang, saya tak ada rasa apa-apa. Akan tetapi, dia (Kor Ming) yang pernah menang di sini pada PRU13, saya mahu tanyakan apakah rekod cemerlang dia selepas itu?

    “Saya boleh tunjuk rekod cemerlang saya dan apa yang saya sudah buat di sini. Apa beza nama besar itu dengan saya? Dia pandai bercakap, saya pun pandai bercakap sebab ni ni saya bekas profesor madya. Saya bercakap tentang perkara benar dan fakta,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi jelajah mesra dalam siri kempen PRU15 di Pangsapuri Kinta Heights dekat Ipoh semalam.

    Pada PRU13, Kor Ming memenangi kerusi DUN Kepayang dengan majoriti 4,604 mengalahkan calon BN, Chang Kok Aun.

    DUN Kepayang yang merupakan antara salah satu daripada tiga DUN di Parlimen Ipoh Barat itu melibatkan seramai 25,190 pengundi berdaftar pada PRU-15.

    Dalam pada itu, Ricard yang juga bekas pensyarah berkata sekiranya beliau menang di kerusi berkenaan pada PRU15, beliau mahu memperkasakan sektor pelancongan warisan dan menaiktaraf infrastruktur seperti sistem saliran di DUN Kepayang.

    Malah katanya beliau juga mahu membawa agenda kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar dengan lebih serius ke peringkat negeri.
    “Dahulu tahun 2007, kerajaan negeri katanya mahu bebas daripada penggunaan plastik, tetapi seolah-olah ia tidak jadi. Selepas tukar kerajaan pun sama sahaja.

    “Jadi, sekiranya saya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya mahu pastikan kerajaan negeri mesti mengharamkan pengunaan plastik.

    “Ketika ini, jika dilihat pada acara jamuan dalam majlis anjuran kerajaan negeri, masih ada yang menggunakan bahan seperti polisterin. Ini menujukkan tahap kesedaran (kelestarian alam sekitar) masih tidak ada,” katanya lagi.