Tag: tiada pertandingan jawatan tertinggi

  • PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan sebentar tadi.

    Ini bermakna jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.

    Lapor Free Malaysia Today, pemilihan presiden dan timbalan presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

    Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.

    Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu manakala baki yang tidak menyokong dikehendaki bangun.

    Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.

    “Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.

    Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

    Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

    Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.

    Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.

  • ‘Pengundi hantu’ lulus usul tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO?

    ‘Pengundi hantu’ lulus usul tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO?

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2022 semakin panas apabila berlegar dakwaan terdapat usaha untuk membawa masuk ‘pengundi hantu’ bagi memastikan ‘usul haram ke-8’ agar kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar mendapat undi terbanyak.

    Perkara itu selepas satu video yang tular di media sosial yang menunjukkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka sudah tiada.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau difahamkan situasi itu menunjukkan usul yang dicadangkan perwakilan Rembau akan diluluskan petang ini.

    “Petang ini akan ada undian untuk usul dan saya difahamkan akan dilulus dan beberapa tag di kerusi-kerusi perwakilan di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggalkan.

    “Ini supaya perwakilan-perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan juga untuk lulus usul supaya jawatan nombor satu (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan nombor dua (Datuk Seri Mohammad Hassan) ini tidak dipertandingkan,” katanya dalam perkongsian di media sosial beliau hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau merayu agar semua perwakilan yang ada di Dewan Merdeka untuk tidak membiarkan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diluluskan.

    Jelas bekas Menteri Kesihatan itu, kepimpinan UMNO perlu memberi kebebasan kepada perwakilan peringkat bahagian untuk memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang.

    Jelas Khairy, beliau berjanji dan yakin perpecahan dalam parti tidak akan berlaku sekiranya pemilihan diadakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    “Siapa yang menang akan mendapat mandat daripada parti, siapa menang kita sokong dan ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

    “Itu budaya kita dalam UMNO, pemilihan ini memang biasa tetapi bila dah menang, kita move on, jadi naratif yang mengatakan pemilihan diadakan ini membawa perpecahan adalah tidak benar sama sekali.

    “Kita dah tinggal 26 kerusi parlimen UMNO. Ini prestasi terburuk dalam sejarah. Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan langkah Dewan Merdeka, untuk membunuh demokrasi, untuk menidakkan suara perwakilan di bahagian dan akar umbi,” katanya.

    Warta Rakyat masih menunggu reaksi ibu pejabat UMNO berhubung dakwaan dibuat Khairy itu.

  • Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    ORANG muda akan mengabaikan UMNO jika ia tidak membenarkan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan, kata seorang penganalisis politik.

    Penganalisis di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ia penting bagi membuktikan UMNO mengamalkan dan menghargai demokrasi.

    “Pertandingan penting kerana ia membuktikan UMNO mengamalkan demokrasi dan menghargainya, walaupun dalam bentuk paling asas iaitu membenarkan pemilihan bagi semua jawatan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas seruan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Semalam, sekumpulan ketua bahagian UMNO menyeru dua jawatan itu tidak dipertandingkan, kerana parti perlu diperkukuhkan menjelang PRN akan datang.

    Fauzi berkata UMNO akan terjejas sekiranya ia tidak membenarkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, dicabar.

    “Ini akan menyahkan sokongan daripada golongan muda. Tidak membenarkan pertandingan hanya mengesahkan usaha penyandang daripada generasi tua untuk terus berkuasa dan memegang jawatan selama mungkin.

    “Prospek UMNO akan jadi kelam,” katanya, dan menambah parti itu kini bukan lagi dalam kedudukan kanan dalam kerajaan, sejak mengalami kemunduran dari 2008.

    “UMNO tidak faham jenama politik reformasi yang menawan pemikiran golongan muda sejak 20 tahun lalu, dan mereka ini yang menyebabkan Umno kalah pada PRU 2018 dan 2022,” katanya.

    Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, pertanidngan untuk jawatan tertinggi penting untuk UMNO kerana imej parti itu dan Zahid tercemar akibat kes-kes di mahkamah.

    “Malah, antara sebab kejatuhan UMNO adalah kepimpinannya. UMNO perlu tukar nakhoda untuk maju ke depan. UMNO tak boleh hidup dalam penafian.

    “Keputusan PRU15 yang mana UMNO sekadar menang 26 kerusi menunjukkan apa persepsi orang awam terhadap parti itu dan kepimpinannya,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata UMNO akan menghantar isyarat yang ia tidak mampu berubah dan enggan berubah demi memuaskan hati pemimpin semasa.