Tag: TI-M

  • Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan perdana menteri sedangkan beliau menentang nepotisme.

    Muhammad Mohan berkata, Anwar sentiasa bercakap mengenai nepotisme dan kronisme, oleh itu pelantikan Nurul Izzah tidak baik untuknya.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah berintegriti, tetapi katanya, persepsi yang timbul daripada pelantikannya ialah nepotisme sudah “kembali”.

    “Saya dipanggil ke Parlimen dua tahun lalu untuk menjelaskan mengapa 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan merupakan masalah. Daripada semua Ahli Parlimen yang bertanya soalan, beliau satu-satunya orang yang peka dan tanya soalan sangat baik.

    “Nurul Izzah adalah individu sangat berharga kepada negara, tetapi hanya pelantikan oleh bapanya yang menjadi isu,” katanya lapor FMT.

    Muhammad berkata, ia tidak akan menjadi isu jika naib presiden PKR itu dilantik ke kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak balas terhadap kritikan dan gesaan untuk beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal. Beliau gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada PRU15, selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional.

  • Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    Indeks persepsi rasuah Malaysia terus menurun

    TRANSPARENCY International-Malaysia (TI-M) berkata, Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI 2022).

    Dalam laporan terbaharunya, TI-M mendedahkan Malaysia hanya mendapat mata CPI 47, tahun lalu.

    Ini bermakna, negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International, sejak tiga tahun lalu.

    Pada 2019, Malaysia mencatat mata CPI 53, namun berkurang kepada 51, pada 2020 dan 48, pada 2021.

    Bagaimanapun, Malaysia meningkatkan ranking dalam kalangan 180 negara, menokok satu ranking kepada 61, pada 2022.

    Peningkatan itu dicatat berbanding ranking 62, pada 2021.

    Pada 2020, Malaysia berada pada ranking 57, menurun daripada ranking 51, pada 2019.

    Mengambil kira penurunan mata terbaharu, Malaysia berada di belakang Arab Saudi, Namibia dan Mauritius. Singapura satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara berjaya berada di ranking 10 teratas di dunia, dengan 83 mata.

    Presiden Transparency International Malaysia Muhammmad Mohan berkata, penekanan perlu diberikan terhadap mata CPI diperoleh, berbanding ranking.

    “Ranking boleh naik turun, tapi mata indeks lebih penting untuk dilihat,” katanya dalam sidang media di ibu negara, lapor Free Malaysia Today.