Tag: Thaipusam

  • Kereta lembu tular jalani latihan perarakan Thaipusam

    Kereta lembu tular jalani latihan perarakan Thaipusam

    KERETA lembu yang ditunggang tiga lelaki di Jalan Serdang Perdana sehingga tular di media sosial sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, anggota kaunter aduan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat berkaitan satu video yang sedang tular di media sosial Facebook pada pukul 7 malam tadi.

    Video yang disiarkan itu katanya membabitkan sebuah kereta lembu yang ditunggang oleh tiga lelaki di Jalan Besar, Seri Kembangan.

    “Siasatan awal yang dijalankan mendapati ia dirakam pada pukul 10 pagi Isnin lalu dan tular di media sosial.

    “Menurut pemilik kereta lembu terbabit, ia ditunggangi oleh tiga lelaki yang sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu,” katanya.

    Anbalagan berkata, perarakan itu dijangka bermula bermula Februari sempena Thaipusam.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

    “Di samping itu, tuan punya kereta lembu terbabit juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan pada hari ini untuk menceritakan kejadian itu.

    “Pihak polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan sebarang binatang di jalan awam mematuhi undang-undang supaya tidak membahayakan pengguna lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi lapor Berita Harian.

  • Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    “SEMUA kacang, keropok dan kerepek, yang ditempah pelanggan untuk sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina hangus dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan. Saya sangat sedih.”

    Demikian luahan pemilik premis DNS Kacang Putih, T. Sanggarlingam, 52, selepas perniagaan memproses kacang putihnya itu musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

    Sanggarlingam yang mengusahakan kedai kacang putih itu sejak 30 tahun lalu berkata beliau serta anak lelakinya S. Sathis Kumar, 30, baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja tempahan pelanggan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    “Setengah jam kemudian, salah seorang jiran menelefon anak lelaki saya memberitahu ternampak percikan api dan terdengar bunyi letupan di dalam kedai itu dan tidak mengambil masa lama, mereka (jiran dan anak lelaki) menelefon pihak bomba.

    “Saya dan anak lelaki cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pemadam api tetapi gagal kerana api sudah semakin marak dan tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di Ipoh hari ini.

    Sanggarlingam yang kelihatan sedih berkata kesemua peralatan memasak dan pembungkusan bahan kudapan itu yang setiap satu bernilai RM80,000 hingga RM300,000, musnah dalam kebakaran tersebut dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata kebakaran di Laluan Sungai Pari 12, Buntong di sini turut melibatkan sebuah rumah dua tingkat, sebuah van dan sebuah motosikal.

    “Kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus. Rumah pula terbakar 30 peratus manakala van dan motosikal hanya lima dan 40 peratus. Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” menurut jurucakap tersebut.

    Jurucakap itu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 1.08 pagi tadi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela Pasir Pinji, Menglembu dan Pekan Baru digegaskan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 4.15 pagi. – BERNAMA