Tag: Thai Hot Guy

  • Program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan – Polis

    Program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan – Polis

    ACARA pembukaan sebuah bar yang menampilkan ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan susulan amaran keras pihak polis dan bantahan pelbagai pihak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah, mereka telah memberikan amaran keras kepada penganjur dalam pertemuan pada awal petang ini.

    “Amaran keras telah diberikan oleh pihak polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

    “Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, kata Ashari, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

    Jelas beliau, setakat pukul 4 petang hari ini, polis menerima 60 laporan yang membantah penganjuran program berkenaan.

    “Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

    Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

    Pada Ahad lalu, sebuah kelab menyiarkan poster pelancarannya dalam media sosial menampilkan persembahan oleh pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sekali gus mengundang reaksi negatif orang ramai.

    Acara itu dikatakan akan diadakan pada 30 Mac di Privacy Club Tun Razak, Kuala Lumpur.

  • Batalkan acara “Thai Hot Guy”

    Batalkan acara “Thai Hot Guy”

    Oleh AZMER SYAZWAN AHMAD SUPARMIN

    1- Tular sebuah acara keramaian sempena perasmian bar Tun Razak (Privacy Club Tun Razak) yang bakal diadakan pada 30 Mac 2023. Sebuah kumpulan lelaki berpakaian wanita (Thai hot guy) juga telah menjadi jemputan utama perasmian ini.

    2- Thai Hot Guy ini adalah sekumpulan pelayan restoran di Bangkok, Thailand yang memakai pakaian dalam wanita sebagai asas tarikan pelanggan. Kumpulan inilah yang akan dijemput untuk perasmian sebuah bar di KL nanti.

    3- Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat penganjuran acara seperti ini hanya akan menyemarakkan lagi penyakit sosial yang sudah sedia tertimpa dalam kalangan masyarakat. Bahkan, acara ini akan menyegarkan lagi kumpulan gay dan penganut hedonisme untuk melampiaskan keinginan mereka.

    4- DPPWP melahirkan rasa hairan dengan keberanian pihak penganjur menjemput dan menghebahkan secara terbuka acara seperti ini. Seolah-olah penganjuran acara seperti ini lebih mudah dan ringan ketika kerajaan dipimpin oleh Pakatan Harapan. Suasana yang sama seperti pasca PRU14.

    5- Maka, DPPWP menggesa Kerajaan Madani Anwar Ibrahim untuk membatalkan penganjuran program yang tidak bermaruah ini. DPPWP mengharapkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim agar menunjukkan kesungguhan dan tekad dalam membatalkan program ini seperti mana tekad dan kesungguhan mereka menangkap dan menyoal siasat ahli parti pembangkang.

    6- Kerajaan Madani bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mestilah tegas menghalang acara ini yang termaktub di dalam Akta 493, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992. Memandangkan PM-10 juga Menteri yang menjaga portfolio Wilayah Persekutuan, amatlah wajar arahan pembatalan ini keluar langsung dari mulutnya.

    7- Negara Malaysia tidak akan rugi sedikit pun dengan pembatalan program ini. Bahkan, kejayaan kerajaan membatalkan acara yang tidak bermaruah ini akan dikenang sebagai kesungguhan kerajaan dalam merealisasikan impian MADANI yang sering diulang oleh PM-10.

    8- Jika tidak, penganjur dan pihak kerajaan yang lemah dalam hal ini akan berhadapan dengan kemarahan dan kegusaran rakyat khususnya umat Islam di negara ini. Jadikanlah bulan Ramadan yang mulia ini sebagai medan beribadah dan bukannya medan mendedahkan masyarakat dengan masalah sosial.

    Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

  • ‘Thai Hot Guy’: Bar tiada lesen hiburan, lesen restoran tamat tempoh

    ‘Thai Hot Guy’: Bar tiada lesen hiburan, lesen restoran tamat tempoh

    DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sebuah bar di ibu negara yang dijadual mengadakan program Thai Hot Guy dalam penganjuran pembukaan rasminya hujung bulan ini tidak mempunyai lesen hiburan atau permohonan menjalankan aktiviti hiburan.

    Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, siasatan DBKL itu juga mendapati, premis di Jalan Tun Razak itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd namun lesen tersebut telah tamat pada 4 Februari 2021.

    “Justeru itu, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Kelmarin, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

    Tindakan tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mengkritik tindakan tersebut sehingga memaksa penganjur menutup ruangan komen mereka di Facebook.

    Pemuda Pas sebagai pihak terawal menyuarakan bantahan terhadap penganjuran itu menggesa acara itu dibatalkan kerana mencemari bulan Ramadan.

  • Program maksiat: Jangan cemari kemuliaan Ramadan

    Program maksiat: Jangan cemari kemuliaan Ramadan

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA mengecam sepenuhnya penganjuran program Grand Opening Privacy Club Tun Razak dengan Thai Hot Guy disenarai sebagai jemputan dalam program tersebut.

    Pertama, penganjuran program sebegini mencemarkan kemurnian dan kemuliaan bulan Ramadan serta bertentangan dengan keberkatan Ramadan itu sendiri. Malah, penganjuran program sebegini juga tidak sepatutnya dianjurkan dalam negara ini.

    Keduanya, kumpulan Thai Hot Guy yang menampilkan lelaki berpakaian wanita ini bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran yang diamalkan dalam negara. Ia juga bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

    Ketiganya, kehadiran kumpulan Thai Hot Guy adalah menjijikkan, tidak senonoh serta mendorong ke arah mempromosi ideologi dan perlakuan songsang LGBT dalam negara.

    Keempat, golongan sebegini akan mencemarkan imej negara yang dihormati di mata umat Islam di seluruh dunia, malah berlawanan dengan prinsip Madani yang dilaungkan oleh Kerajaan.

    Kelima, golongan ini akan menjadi tarikan golongan gay untuk bertandang dan berkembang dalam negara. Perkara ini akhirnya akan turut menyumbang kepada implikasi terhadap perkembangan penyakit HIV.

    Laporan Malaysian Strategic Plan for Ending AIDS menjelaskan golongan Men Sex with Men (MSM) atau bahasa mudahnya gay merupakan penyumbang utama kepada penyakit HIV ketika ini.

    Oleh yang demikian, saya menyarankan kepada pihak berwajib mengambil beberapa langkah berikut:

    Pertama, menggunakan segala kuasa yang ada bagi menyekat penganjuran program tersebut serta menghalang kehadiran kumpulan songsang daripada Thailand. Ia jelas tidak mempunyai manfaat langsung kepada negara.

    Kedua, mengenalpasti kelab atau tempat yang menjadi lubuk kumpulan songsang ini berpencak. Langkah yang tegas wajar dikuatkuasa bagi mengelakkan daripada golongan sebegini terus berkembang dalam negara.

    Ketiga, menyediakan pelan tindakan bagi memperuntukkan undang-undang atau dasar yang tegas terhadap kumpulan yang mempromosi ideologi serta perlakuan LGBT yang bertentangan dengan agama, budaya dan fitrah seorang manusia.

    Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

  • Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    PAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula kebenaran penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar yang menampilkan persembahan Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya yang mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.

    Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung penganjuran acara tidak bermora itu:

    PAS amat kesal dan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar bernama Privacy Club Tun Razak pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atas dasar ia adalah keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan.

    Menurut makluman mengenainya di akaun Facebook bar berkenaan, acara yang dijadualkan bermula jam 6 ptg dan terhad kepada 250 pengunjung itu akan menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

    Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

    PAS menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada Bulan Ramadhan.

    Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama. Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.

    Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini.

    Dalam pada itu PAS juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar. Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

    Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenangwenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran.