Tag: TH

  • Bank perlu bayar ganti rugi, kes penipuan dalam talian babitkan TH

    Bank perlu bayar ganti rugi, kes penipuan dalam talian babitkan TH

    PIHAK bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi bagi kes penipuan dalam talian membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Ini kerana urusan pengeluaran wang simpanan akaun TH dibuat menggunakan perbankan konvensional dan bukan melalui TH.

    Kes kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH berpunca daripada syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi, justeru ganti rugi kepada mangsa perlu diuruskan melalui polisi insurans perbankan berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, langkah itu adalah antara sembilan syor yang diputuskan pada Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH, bagi menangani isu penipuan dalam talian membabitkan TH.

    Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, hari ini.

    Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira jumlah kerugian ekoran penipuan dalam talian membabitkan TH menerusi pelbagai institusi perbankan setakat ini, bernilai RM1.96 juta.

    “Pihak bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi jika syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi.

    “Bank perlu menangani isu kehilangan wang simpanan pendeposit supaya pendeposit tidak hilang keyakinan terhadap mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Ambrin Awaluddin; Pengarah Eksekutif Operasi Haji TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Haji TH, Ahmad Shahriman Johari dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Haji TH, Affandi Abdullah.

    Mengulas lanjut, Rais berkata, mesyuarat turut menyarankan TH dan bank perantara meningkatkan aspek keselamatan bagi urusan perbankan dalam talian, selain syarat pengeluaran secara dalam talian diperketatkan.

    Katanya, mesyuarat juga memutuskan bank perantara menyediakan laporan atau penyata ganti rugi kepada mangsa penipuan, supaya masalah rakyat ini dapat dipantau dari semasa ke semasa.

    Untuk itu juga, katanya, mesyuarat memutuskan segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa terbabit, diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang supaya isu dan permasalahan dihadapi rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

    Selain itu, beliau berkata, TH perlu memberi peluang kepada pendeposit untuk membuat pilihan, sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau dalam talian.

    Di samping itu, TH dan media disyor memperhebatkan kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat menerusi media sosial, cetak dan penyiaran.

    Mesyuarat juga meminta supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat terus aktif menyusul perkara berkepentingan rakyat, khasnya berkaitan simpanan rakyat di TH.

  • TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020

    TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal jemaah haji untuk tahun 2020, 2021 dan 2022, yang masih menunggu giliran disebabkan pandemik COVID-19 untuk musim haji tahun ini, sebelum diikuti bakal haji giliran tahun 2023.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan dan TH akan mengeluarkan surat tawaran bagi menunaikan haji tidak lama lagi.

    “TH menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M. TH juga telah dimaklumkan bahawa tiada had umur bagi mengerjakan rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini berbanding had 65 tahun yang dikenakan untuk musim haji tahun lepas.

    “TH telah memulakan persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan dan memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga akan dibuka dan tarikhnya akan diumumkan TH dalam masa terdekat.

    “Pemilihan rayuan haji adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji anjuran TH selama 13 minggu bermula 25 Nov 2022 sehingga 17 Feb 2023, sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.

    Katanya TH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh yang menunjukkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang diambil Arab Saudi untuk menangani pandemik COVID-19 pada tahun-tahun sebelumnya. – BERNAMA