Tag: terperangkap

  • Kronologi kejadian tanah runtuh sepanjang 2022

    Kronologi kejadian tanah runtuh sepanjang 2022

    BERIKUT adalah kronologi kejadian tanah runtuh di seluruh negara tahun ini.

    1 Jan 2022 : Tujuh kejadian tanah dan cerun runtuh dilaporkan berlaku pada hari pertama 2022 melibatkan enam kawasan di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

    2 Jan 2022 : Sebanyak 13 laluan melibatkan lima daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan susulan kejadian jalan runtuh dan dinaiki air.

    14 Feb 2022 : Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga petugas Balai Polis Tongod, Sabah dipindahkan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian tanah runtuh berdekatan dengan balai itu.

    8 Mac 2022 : Sebanyak tiga kejadian tanah runtuh berlaku susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara. Dua kawasan itu melibatkan rizab jalan di 1/27, Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan, manakala di Seksyen 6, Wangsa Maju merupakan tanah persendirian.

    10 Mac 2022 : Empat terkorban manakala seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, selain 15 rumah turut rosak serta 10 kenderaan terjejas.

    10 April 2022 : Hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan kejadian tanah runtuh dan banjir berlaku di beberapa kampung di daerah Tuaran. Sebanyak lima rumah turut dilaporkan terjejas dengan kejadian tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok.

    15 Mei 2022 : Dua wanita maut dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

    14 Jun 2022 : Hujan lebat berterusan menyebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Bukit Sentosa serta kerosakan pada sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad.

    24 Julai 2022 : Seorang pekerja kontraktor pembersihan pembentungan cedera selepas terperangkap kira-kira empat jam dalam tanah runtuh ketika melakukan kerja pembaikan tangki septik di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi di Johor.

    28 Julai 2022 : Dua kanak-kanak maut manakala dua individu dewasa cedera selepas rumah yang didiami Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di Kota Kinabalu, ditimbus tanah runtuh.

    29 Ogos 2022 : Enam kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar di Nilai runtuh dan mengalami keretakan akibat pemendapan tanah ekoran hujan lebat.

    1 Nov 2022 : Enam lelaki terperangkap dalam insiden tanah runtuh di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi di Tenom, Sabah.

    15 Nov 2022 : Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo didiami mereka di Taman Halaman di Ampang ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh.

    16 Nov 2022 : Beberapa rumah Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai di Ipoh tertimbus akibat kejadian tanah runtuh bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

    17 Nov 2022 : Tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Mantin Batu 8 mengakibatkan laluan Mantin-Seremban bagi kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara bagi kerja pembersihan.

    17 Nov 2022 : Seramai 25 penduduk daripada lima keluarga Kampung Orang Asli Sungai Raya di Mantin, Negeri Sembilan terputus hubungan apabila laluan yang menghubungkan kampung terbabit dengan jalan utama tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.

    26 Nov 2022 : Seorang lelaki maut dalam insiden tanah runtuh di Blue Valley, Kampung Raja, Cameron Highlands.

    2 Dis 2022 : Bahagian hadapan sebuah rumah teres di Taman Sri Anggerik di Rantau, Negeri Sembilan roboh akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan berterusan. 

    9 Dis 2022 : Enam individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang. Dalam kejadian itu, rumah yang didiami mereka turut mengalami kerosakan.

    10 Dis 2022 : Penghuni di tiga buah rumah di Taman Halaman, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka kerana pergerakan tanah berlaku susulan hujan lebat berterusan.

    16 Dis 2022 : Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, awal pagi ini.

    Setakat 5 petang tadi, bomba mengesahkan seramai 19 orang terkorban, 14 orang masih hilang manakala 61 lagi berjaya diselamatkan. – BERNAMA

  • 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung diselamatkan

    SEBANYAK 30 kru penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung di Gopeng berjaya diselamatkan dan dibawa keluar petang ini.

    Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.10 petang yang memaklumkan ada orang awam terperangkap di belakang Gua Tempurung berikutan peningkatan paras air.

    Menurutnya, keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.

    “Pihak Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu dan operasi menyelamat dijalankan bersama,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut Mohd Yusri berkata, beliau bersama sepasukan anggota Task Force dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung.

    Katanya, siasatan awal mendapati insiden bermula susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang.

    “Semua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.

    “Mangsa terbabit adalah kru penggambaran filem ‘Bursting Point’ membabitkan syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang menjalankan penggambaran,” katanya.

    Kejadian itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap operasi menyelamat berjalan lancar dan dipermudahkan.

  • Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    SEKURANG-kurangnya 30 individu dilaporkan terperangkap dalam Gua Tempurung dekat Kampung Gunung Mesah dekat Gopeng selepas laluan keluar gua itu dinaiki air disebabkan hujan lebat, hari ini.

    Maklumat awal memaklumkan, kesemua mereka merupakan kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan air naik mendadak di laluan keluar gua berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 3 petang.

    “Pihak bomba telah dimaklumkan akan kejadian itu dan pasukan itu bersama polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada pukul 4.04 petang.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

    Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada  7.55 malam.

    Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.-BERNAMA