Tag: terkandas

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

  • 62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    62 jemaah umrah Malaysia terkandas sudah berlepas ke Tanah Suci

    SEBANYAK 62 jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia semalam selamat berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines, pagi ini.

    Kesemua jemaah berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (4.28 petang waktu Malaysia).

    Menurut Unit komunikasi pemasaran Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga syarikat pengendali umrah, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

    “Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

    “Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti cuti sekolah dan pihak syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.

    “Pihak Emraz akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik,” kata syarikat itu kepada Astro AWANI.

    Semalam, pihak berkuasa Indonesia menahan 62 jemaah umrah dari Malaysia susulan tiada tiket balik dari Jeddah, Arab Saudi.

    Mereka semuanya terkandas di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta, Jakarta selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2 petang semalam.

    Jemaah berkenaan dijadualkan untuk transit di Jakarta sebelum berlepas ke Jeddah pada pukul 7 petang semalam.

  • Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    Agensi kerajaan bawa pulang 63 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi

    SERAMAI 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.

     “Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

    Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah. 

    “Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022. 

     “Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

     “Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA