Tag: terima rasuah

  • SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    SPRM tahan ejen hartanah sambilan minta, terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ejen hartanah sambilan bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lalu.

    Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 40 itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 5.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2021 hingga 2022, suspek yang juga bertugas sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan telah meminta dan menerima wang rasuah itu daripada dua individu berlainan sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan bumiputera bagi sebuah projek perumahan di Johor.

    Suspek juga telah meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dirinya boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, SPRM Cawangan Segamat menahan seorang pembantu tadbir kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bagi membantu siasatan kerana disyaki menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakkan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lalu.

    Suspek wanita yang berusia 32 itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat pada pukul 2 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, dia yang sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut telah memasukkan wang berkenaan ke akaun gajinya kira-kira lebih RM1,000 untuk tempoh dua bulan iaitu pada Februari dan April.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit.

    Kedua-dua suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah

    Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah

    AHLI perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah sejumlah 3.5 hingga 7 peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. Mat Jusoh Mamat sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

    Pertuduhan dijalankan bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama, lapor Astro Awani.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menerima rasuah wang tunai sejumlah RM500,000 ke dalam Akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47,800,000.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Dia dibenarkan diiikat jamin sebanyak RM120,000 serta pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM setiap bulan.

    Kes disebut semula pada 23 Mac.

  • Bekas guru besar SRA didakwa terima rasuah RM164,800

    Bekas guru besar SRA didakwa terima rasuah RM164,800

    BEKAS guru besar Sekolah Rendah Agama (SRA) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM164,800 pada 2019 dan 2021.

    Lapor Berita Harian, suapan itu adalah bagi kerja selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

    Kamaludin Sahlan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kamaludin, yang sebelum ini bertugas di sebuah SRA di daerah Petaling, didakwa meminta 11 peratus daripada nilai projek dan menerima RM164,800 menerusi pindahan atas talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun.

    Ia sebagai dorongan serta membantu individu berkenaan mendapatkan kerja selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan di sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Shah Alam, di antara Mei 2019 hingga April 2021.

    Difahamkan, Kamaludin sudah dipindahkan ke Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

    Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM30,000, dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari depan.

  • Bekas Pengarah, Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak bersalah minta, terima rasuah

    Bekas Pengarah, Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak bersalah minta, terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh terhadap bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak selepas masing-masing didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.

    Hakim S. Indera Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, selepas perbicaraan di akhir kes pembelaan di sini.

    Indera Nehru memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh hari ini, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Zulhairin, manakala Zamri Idrus dan Mohd. Fadly Hashim mewakili Zaidi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh, namun memerintahkan denda RM85,000 perlu dibayar.

    Mahkamah juga membenarkan kedua-duanya diikat jamin dengan wang jaminan dikekalkan RM30,000 bagi setiap tertuduh.

    Dalam rayuannya, Mohd. Baharuddin berkata, mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan kerajaan selain tangkapan dan perbicaraan kes itu telah memberi keinsafan serta pengajaran terhadap tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh supaya dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat dan amaran kepada penjawat awam terutama agensi penguatkuasaan untuk tidak menjadikan rasuah sebagai amalan dalam menjalankan tugas.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 serta 10 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

    Sementara pertuduhan seterusnya, penjara tiga tahun dan denda RM35,000 serta lapan bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

    Semua hukuman penjara berjalan secara serentak bermula pada hari ini.

    Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap sebuah premis pusat hiburan The Bos KTV di Pusat Bandar Seri Manjung.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di Ipoh pukul 9 malam pada 5 November 2015.

    Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Zulhairin juga didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di Ipoh sekitar pukul 12.05 tengah malam pada 11 November 2015.

    Zaidi pula dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di Ipoh pada pukul 9.55 malam 11 November 2015.

    Kedua-dua tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang membawa hukuman sama.

    Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 19 saksi manakala lima saksi di pihak pembelaan.

  • Rasuah: Bekas Menteri Kehakiman China dipenjara seumur hidup

    Rasuah: Bekas Menteri Kehakiman China dipenjara seumur hidup

    BEKAS Menteri Kehakiman China, Fu Zhenghua yang pernah mengetuai beberapa siasatan rasuah berprofil tinggi di negara itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menerima rasuah, lapor media tempatan hari ini.

    Hukuman ke atas Zhenghua, 67, dibuat ketika kerajaan melakukan usaha pembersihan pegawai menjelang satu kongres utama Parti Komunis.

    Lapor agensi berita Reuters, Zhenghua dijatuhi hukuman yang kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup selepas dua tahun, tanpa kemungkinan parol.

    Zhenghua ialah Timbalan Ketua Kementerian Keselamatan Awam sebelum menjadi Menteri Kehakiman pada 2018, telah mengetuai banyak penyiasatan berprofil tinggi dan tindakan keras termasuk siasatan kira-kira sedekad lalu ke atas Zhou Yongkang, pegawai paling berkuasa di China untuk disabitkan dengan rasuah.

    Julai lalu, beliau mengaku menerima rasuah bernilai lebih AS$16.50 juta (RM75 juta) Julai lalu.

    Menjelang perbicaraan mahkamah Zhenghua di bandar Changchun di timur laut, badan pemerhati antirasuah China memutuskan bahawa beliau juga menjadi sebahagian daripada ‘geng politik’ Sun Lijun, antara seorang pegawai paling terkemuka yang menjadi sasaran sejak sabitan kesalahan Yong Kang pada 2015.

    Lijun, yang menjadi timbalan menteri keselamatan awam ketika siasatan terhadapnya bermula pada 2020, mengaku dalam siaran televisyen bahawa beliau telah bersekongkol dengan beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi dengan tujuan kekayaan peribadi.

    Pengaruh Lijun yang masih belum menerima hukumannya begitu berleluasa dalam parti itu sehingga disifatkan sebagai ‘beracun’ dan beliau sendiri adalah seperti ‘kanser’ yang perlu dihapuskan.

    Pembersihan dilakukan tiga minggu sebelum kongres diadakan sekali dalam tempoh lima tahun Parti Komunis yang memerintah di mana Presiden, Xi Jinping dijangka mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga.

    Semalam, tiga bekas ketua polis wilayah Shanghai, Chongqing dan Shanxi dijatuhi hukuman penjara termasuk seorang daripadanya seumur hidup kerana rasuah.

  • Sarjan polis tidak mengaku minta, terima rasuah

    Sarjan polis tidak mengaku minta, terima rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua individu yang terbabit dalam kes curi tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Azlan Mohd. Nor, 36, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Azlan sebagai anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) secara rasuah meminta masing-masing RM1,500 daripada dua individu yang berusia 36 dan 45 tahun.

    
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka yang terbabit dalam kes curi dalam bangunan.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik nombor 11 Jabatan Siasatan Jenayah IPD SPT, di sini kira-kira pukul 5.40 petang pada 15 Julai 2021.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan apabila didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,300 daripada salah seorang individu terbabit.

    Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira pukul 6.25 petang pada 8 Ogos 2021.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Kes akan disebut semula pada 26 September ini.

  • Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    Bekas CEO mengaku tidak bersalah terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej di Jengka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari in atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip, lapan tahun lalu.

    Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

    Bapa kepada sembilan anak itu didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej terbabit tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

    Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Sebelum itu, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Namun, peguam mewakili Amran, Ahmad Mawardi Che Hassan memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

    “Anak guam saya sudah dipecat daripada jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019. Sepanjang lima tahun siasatan anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM,” ujarnya.

    Ahmad Zamzani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan.