Tag: terima

  • Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    LEBIH setengah juta remaja di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka setakat semalam.

    Menerusi ciapannya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima suntikan itu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula Isnin lalu.

    Menurutnya, Sabah mendahului jumlah penerima apabila merekodkan lebih separuh daripada remaja didaftarkan menerima suntikan dos pertama.

    “Setakat semalam, lebih setengah sejuta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama mereka di bawah PICK Remaja.

    “Sabah mendahului dengan 56 peratus daripada remaja yang didaftarkan di sekolah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapannya yang diciap semula Khairy memberitahu, sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara bagi menjalankan program vaksinasi remaja secara ‘walk in’ bermula hari ini.

    Ujarnya, terdapat tiga kaedah digunakan untuk vaksinasi remaja iaitu janji temu mellaui MySejahtera, vaksinasi berjadual dan dan jumpa terus di 156 PPV yang dibuka.

    Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual itu akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV dikenal pasti.

    Katanya, pelaksanaannya mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

  • Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    LEBIH 235,000 atau 20 peratus penduduk Pahang yang masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 walaupun layak untuk menerimanya, dinasihatkan mendaftar segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

    Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar bagi mengawal COVID-19, dan sehingga hari ini lebih 50 peratus golongan dewasa di Pahang sudah menerima dua dos vaksin. 

    “Pahang hari ini merekodkan sebanyak 839 kes baharu, angka yang agak tinggi, namun jika kita lihat trend kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian, kita dapati ada menunjukkan penurunan. 

    “Trend penurunan ini pertama kali dilihat dalam tempoh sembilan minggu dan berlaku seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

    Pahang sebelum ini menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober iaitu sebelum musim tengkujuh bermula.- BERNAMA

  • Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Lesen terbang:’Runner’ JPJ didakwa terima rasuah

    Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM9,500 pada 2017.

    Mohammad Khairie Marzuki, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zahari Abdul Hamid. 

    Tertuduh didakwa menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan kononnya seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenali tertuduh boleh mengeluarkan lesen memandu kepada ketiga-tiga individu itu tanpa perlu melalui ujian memandu.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Khairie yang bekerja sendiri sebagai ‘runner’ JPJ, didakwa menerima wang tunai RM3,500 daripada Noor Amira Nordin dan Mohd Syazwan Shafihi, masing-masing sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas B2 dan D, di kawasan parkir di hadapan dan belakang bangunan Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas, pada 2017.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohammad Khairie didakwa menerima wang tunai RM2,500 daripada Mohamad Zulhilmi Din Selamat sebagai dorongan bagi mengeluarkan Lesen Memandu Kelas D di sebuah pangsapuri di Jalan Rumbia, Bayan Lepas, pada tahun sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Pulau Pinang dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 29 Sept depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, Mohamad Azlan Basri dan Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaki Shah. – BERNAMA