Tag: terhempas

  • Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    SEORANG peluncur udara (paraglider) maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin sejurus mendarat dan menurunkan rakan peluncur (penumpang) yang terbang bersamanya, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, di Kota Kinabalu.

    Mangsa lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.

    Sebaik penumpang diturunkan, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Permainan gergasi terhempas, 16 cedera termasuk kanak-kanak

    Permainan gergasi terhempas, 16 cedera termasuk kanak-kanak

    SEKURANG-kurangnya 16 orang termasuk kanak-kanak cedera selepas permainan ‘Joyride’ gergasi dinaiki mereka terhempas dalam satu kejadian di sebuah taman tema di Fasa 8 Dusshera, Mohali dekat India semalam.

    Media melaporkan mangsa jatuh pada ketinggian kira-kira 50 meter dari menara berkenaan.

    Telegraph India melaporkan, polis segera bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan kejadian itu

    Menurut polis, mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital awam di Fasa Enam, Mohali untuk rawatan.

    Kawasan taman tema itu padat pengunjung yang meraikan pesta ‘London Bridge’ yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lalu, tetapi dilanjutkan sehingga 11 September.

    Menurut laporan Hindustan Times, penganjur pesta berkenaan, akan menyiasat punca kejadian dan akan bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa tempatan.

    Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal kerana ia pertama kali berlaku selepas beberapa penganjuran serupa di beberapa pesta.

  • Kehabisan minyak, pesawat ringan terhempas di jalan raya sibuk

    Kehabisan minyak, pesawat ringan terhempas di jalan raya sibuk

    SEBUAH pesawat ringan terhempas semasa mendarat di jalan raya Orlando di Florida, Amerika Syarikat yang sibuk setelah kapal terbang itu kehabisan minyak.

    Kejadian petang Jumaat lalu itu membabitkan pesawat Cessna 182 yang dikendalikan Remy Colin, 40, yang tersilap dalam meneka bacaan minyaknya.

    Colin bagaimanapun berjaya keluar dari pesawat setelah hanya cedera ringan.

    Mail Online melaporkan, kejadian berlaku sebelum pukul 4 petang waktu tempatan.

    Peronda lebuh raya Florida merumuskan punca nahas berpandukan video yang diambil orang ramai adalah kerana kegagalan mekanikal.

    Menurut Colin, tumpuannya pada penerbangan terganggu kerana dia perlu membetulkan radio pesawat yang rosak dan pada masa sama kehabisan minyak serta kehilangan kuasa.

    Tidak tahu lokasi yang sesuai untuk mendarat, dia cuba mendaratkan kapal terbang itu di jalan raya tanpa melibatkan mana-mana pengguna.

    Colin yang satu-satunya individu dalam pesawat hanya luka kecil namun terbang tanpa mengisi minyak dengan betul boleh mengakibatkan lesennya digantung.

    Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan akan menyisat nahas berkenaan.

  • Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    SEBANYAK lapan orang terbunuh apabila sebuah pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki semalam.

    Lapor Al Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, pesawat Be-200 itu terhempas kira-kira pukul 3.10 petang waktu Moscow dan ia membawa lima orang kru warga Rusia dan tiga lagi orang awam Turki.

    Agensi berita Anadolu berkata, pesawat malang itu berkaitan Jabatan Perhutanan Rusia dan pasukan penyelamat sudah dikerah ke lokasi nahas di Kahramanmaras.

    Punca nahas itu bagaimanapun masih tidak diketahui.

    Gabenor Kahramanmaras, Omer Faruk Coskun berkata, satu kebakaran hutan berlaku apabila kilat menyambar pokok.

    “Kita mengerahkan sebuah pesawat ke lokasi namun terputus hubungan dan ia terhempas.Kita menghantar sebanyak mungkin unit bantuan ke lokasi nahas,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menzahirkan ucapan takziah dan bersedih dengan kematian yang berlaku dalam insiden berkenaan.

    Turki memadamkan lebih 300 kebakaran hutan dalam tempoh 16 hari lalu, yang turut menyaksikan lapan nyawa terkorban.

    BE-200 merupakan pesawat dua enjin yang digunakan di Rusia dan negara lain untuk memadamkan kebakaran hutan.

    Ia mampu melepaskan sehingga 270 metrik tan air menerusi beberapa kali perjalanan dalam satu misi.