Tag: terengganu

  • Terengganu lancar aplikasi Baitul Urus bantu remaja cari jodoh

    Terengganu lancar aplikasi Baitul Urus bantu remaja cari jodoh

    Mohd Lazim Endut

    GOLONGAN remaja di Terengganu yang menyimpan hasrat untuk mendirikan rumahtangga tidak perlu khuatir tentang kesukaran mencari jodoh.

    Ini kerana, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melancarkan program aplikasi Baitul Urus bagi membantu memudahkan golongan berkenaan mencari jodoh dan pasangan hidup melalui perkahwinan kali pertama.

    Selain itu, Baitul Urus juga membuka peluang kepada ibu atau bapa tunggal yang ingin mencari pasangan serasi dan sesuai untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, program yang dikendalikan sepenuhnya oleh YPKT itu untuk memastikan rakyat negeri ini mendapat jodoh secara cepat, mudah dan bersesuaian mengikut kriteria dikehendaki.

    “Namun, ada syarat-syarat tertentu diberikan kepada mereka yang ingin mencari jodoh melalui aplikasi ini antaranya mereka mestilah rakyat Terengganu sama ada lelaki atau   wanita.

    “Dari segi usia, mestilah 21 tahun ke atas tanpa mengira di mana mereka bertugas dan aplikasi ini tidak dibenarkan kepada mereka yang ingin berpoligami,” katanya.

    Hanafiah berkata demikian ketika melancarka aplikasi Baitul Urus di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Hanafiah, usaha mewujudkan aplikasi berkenaan adalah bagi mengatasi fenomena kahwin lewat dalam kalangan anak muda yang menjadi suatu kebimbangan pihaknya.

    Beliau berkata, fenomena kahwin lewat boleh menjadi antara peyumbang kepada penurunan kadar kesuburan.

    “Sebabnya ialah gaya hidup sekarang yang lebih menumpukan kepada aspek melanjutkan pelajaran, mengejar kerjaya serta memilih untuk tidak terikat dengan institusi perkahwinan.

    “Selain itu ada juga yang tidak menemui calon sesuai dan menghadapi masalah kewangan, turut memberi kesan kepada golongan ini melangkah ke gerbang perkahwinan,” ujarnya.

    Menurut Hanafiah, sebelum ini kerajaan negeri telah telah melaksanakan pelbagai program termasuk Walimatul Urus Perdana untuk memudahkan golongan belia dan beliawanis negeri ini mendirikan rumah tangga.

    “Program ini akan diteruskan dan akan diperluaskan dengan turut memberi tumpuan kepada golongan ibu atau bapa tunggal selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.

    Sementara itu, Pengarah YPKT,  Wan Mohd Zaki Wan Abdullah memberitahu, bagi mereka yang berminat menyertai program mencari jodoh Baitul Urus hsnya perlu mendaftarkan diri di pautan baitulurus.ypkt.gov.my.


    “Maklumat pemohon (ahli) akan disimpan sebagai rujukan, semakan status pendaftaran melalui emel. Selepas itu mereka boleh melakukan proses mencari pasangan mengikut kriteria masing-masing.

    “Setelah pasangan bersetuju kita akan adakan sesi perjumpaan di pejabat YPKT,” jelasnya.

  • Usah politikkan krisis air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu

    Usah politikkan krisis air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu

    Mohd Lazim Endut

    KRISIS bekalan air membabitkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang berlaku sejak Isnin lalu tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

    Ini kerana kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, masalah berkenaan sedang diatasi Syarikat Air Terengganu (SATU) yang turut menyiasat punca sebenar paip pecah di dasar Sungai Terengganu.

    Sehubungan itu, beliau meminta supaya tiada pihak membuat pelbagai spekulasi hingga menimbulkan polemik.

    “Tak perlu politikkan perkara ini, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu rakyat yang terkesan dan terjejas.

    “Seperti kita sedia maklum, paip yang pecah itu sudah lama dimamah usia disamping ia mengalami perubahan alam sekitar di dasar sungai.

    “Kita sedang berusaha untuk menangani perkara tersebut dengan menggerakkan pelbagai inisiatif bagi memastikan bekalan asas tidak terputus,” katanya selepas mengagihkan 1,000 kotak air bersih dalam Misi Bantuan Air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading hari ini.

    Menurut Mohd Nor, kerajaan negeri tidak menyalahkan mana-mana pihak terdahulu berhubung masalah itu kerana ia merupakan bencana tidak dijangka.

    Sementara itu, Mohd Nor memberitahu, misi bantuan tersebut adalah sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan bagi memastikan bekalan air bersih sampai kepada pena penduduk terjejas.

    Selain itu katanya, beliau turut bercadang menggerakkan agensi kerajaan seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk mengadakan kerjasama dengan jawatankuasa masjid.

    “Ia adalah untuk mengagihkan bekalan asas air bersih kepada penduduk berdekatan masjid di DUN terjejas.

    “Kita sedang berbincang menyelaraskan inisiatif penyaluran air bersih ke rumah-rumah terkesan,” ujarnya.

    Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai.

  • Bekas Mufti diumum tokoh Maal Hijrah Terengganu

    Bekas Mufti diumum tokoh Maal Hijrah Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BEKAS Mufti Terengganu, Datuk Al-Sheikh Abdul Halim Abd Kadir diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu tahun 1443/2021.

    Anak kelahiran Jertih, Besut berusia 86 tahun dan pernah menyandang jawatan tersebut pada tahun 2000 menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala Tokoh Maal Hijrah 1443/2021, sijil penghargaan dan persalinan.

    Beliau kini merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama
    Malaysia (PUM).

    Abd Wahab Muhammad

    Pada majlis berkenaan, pesara kerajaan, Abd Wahab Muhammad,77, pula diumum sebagai Tokoh Imam Cemerlang.

    Beliau telah berkhidmat sebagai imam di Masjid Kampung Rawai, Marang selama 57 tahun iaitu sejak tahun 1964.

    Pengumuman itu membolehkan Abd Wahab yang juga jurunikah bertauliah, jurusembelih dan jurumandi jenazah membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

    Bagi tokoh Bilal Cemerlang pula, anugerah diberikan kepada Mohd Puteh, 67, dari Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus, sekaligus menerima wang tunai berjumlah RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

    Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri Terengganu tahun 1443/2021 yang diadakan secara dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Pengumuman tokoh-tokoh sempena sambutan Maal Hijrah pula dilakukan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad.