Tag: terengganu

  • Musim ‘sengsara’ nelayan pantai, petani sudah bermula

    Musim ‘sengsara’ nelayan pantai, petani sudah bermula

    guane

    SEJAK Khamis lalu, negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu telah dilimpahi hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan tertentu mula dilanda banjir.

    Perkembangan ini turut menggambarkan bahawa musim tengkujuh sudah bermula dan seperti biasa apabila tibanya musim yang dianggap oleh kebanyakan penduduk di Terengganu sebagai ‘musim sengsara’ ini, ia turut menjejaskan pelbagai perancangan aktiviti setempat.

    Malah, setiap kali ketibaan tengkujuh, antara yang paling terasa adalah golongan nelayan pantai dan juga petani.

    Negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu telah dilimpahi hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan tertentu mula dilanda banjir sejak Khamis lalu

    Ini kerana, pada musim tengkujuh golongan berkenaan terpaksa berkurung dalam rumah sehingga tempoh tertentu ekoran tidak dapat menjalankan rutin kerja seperti biasa.

    Bagi nelayan, terutama yang menggunakan bot-bot kecil, mereka tidak mampu keluar menangkap ikan di laut kerana ketika ini angin Timur Laut agak kencang disamping ombak besar dan bergelombang menghalang mereka berbuat demikian.

    Sebab itulah, sejak dari dahulu lagi apabila tiba musim tengkujuh, kebanyakan nelayan terpaksa melabuhkan bot-bot mereka di dalam muara.

    Namun begitu, terdapat juga segelintir nelayan khususnya bot laut dalam masih sanggup menggadai nyawa dengan meredah lautan penuh bergelora itu demi mencari rezeki untuk keluarga.

    Bagi sesetengah nelayan, laut seperti tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan mereka dan sekiranya tidak turun ke laut, bermakna dapur tidak akan berasap!, menyebabkan anak-anak kelaparan.

    Berdasarkan itulah mereka seakan tidak gentar melakukan aktiviti berkenaan walaupun terpaksa berhadapan dengan maut dan adakalanya bot yang dinaiki pernah tenggelam di tengah lautan.

    Manakala bagi petani pula, pada musim seperti ini mereka hanya mampu merenung ke arah sawah bendang yang seolah olah berubah wajah bertukar menjadi lautan akibat ditenggelami air.

    Jika bernasib baik, ada di antara petani terbabit masih berpeluang mengutip hasil tanaman masing-masing untuk dijual kepada orang ramai,tetapi sekiranya rosak sudah pasti mereka terpaksa menanggung kerugian.

    Begitulah ujian dan nasib kehidupan golongan nelayan dan petani di Terengganu sepanjang mengharungi musim tengkujuh yang turut menyebabkan berlakunya kejadian banjir di beberapa kawasan tertentu.

    Bagi masyarakat di Terengganu, musim tengkujuh bukan sahaja dikaitkan dengan musim sengsara, sebaliknya ia turut meletakkan mereka berada dalam kebimbangan dan keresahan terutama yang tinggal di pesisir pantai dan di kawasan rendah.

    Hal ini kerana perkampungan di pesisir pantai bukan sahaja terdedah kepada tiupan angin kencang, sebaliknya ia turut berisiko dari segi ancaman ombak besar, hakisan pantai dan juga air laut pasang yang boleh menyebabkan rumah mereka musnah.

    Manakala bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah pula, hujan lebat secara berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan kediaman mereka ditenggelami air.

    Selain itu, fenomena air pasang besar disamping berlakunya pertembungan air laut dengan air di hilir sungai juga boleh menyebabkan berlakunya kejadian banjir ekoran paras air naik dan melimpah secara mendadak.

    Dalam perkembangan banjir yang berlaku di Terengganu, sehingga pukul 7 pagi ini (Ahad) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan seramai 585 mangsa membabitkan 150 keluarga telah dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Sementara(PPS).

    Antara daerah terlibat ialah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu.

    Memandangkan hujan masih berterusan dan bacaan beberapa paras sungai yang terus meningkat adalah dijangka jumlah mangsa berpindah akan terus bertambah.

    Justeru, penulis ingin menasihati kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan agar terus berwaspada dan sentiasa mendengar arahan daripada pihak berkuasa.

  • Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    PAS akan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai parti berkenaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan bersama menteri besar-menteri besar berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

    “Tarikh pembubaran DUN akan diserahkan kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lepas.

    Pada sidang media kempen Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen Padang Serai semalam, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

    Beliau berkata ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 Nov lepas.

    Mengulas mengenai kenyataan Shahidan yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata pada masa ini pihaknya sedang melihat kepada perkembangan semasa sejauh mana pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita lihat kepada perkembangan semasa dan reaksi rakyat selepas ini. Usaha untuk menjadi kerajaan itu sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Masa terbaik Kedah, Kelantan dan Terengganu adakan PRN

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh memikirkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai dan Tioman.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika ini adalah waktu terbaik kepada gabungan itu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hasil gelombang rakyat yang menyokong mereka.

    Katanya, perkembangan semasa itu juga ditambah dengan kemarahan rakyat terhadap pelantikan barisan menteri Kabinet baru-baru ini.

    “Rakyat menunjukkan rasa marah kepada Kabinet dan marah kepada UMNO. Orang MIC, India pun banyak yang turut marah kerana tidak diberi pengiktirafan (tiada wakil MIC dalam Kabinet).

    “Jadi saya percaya Kedah, Kelantan dan Terengganu ini masa terbaik diadakan PRN selepas selesai pilihan raya di Padang Serai dan Tioman,” katanya selepas program Flash Mob PN di Lunas, di Kulim.

    Shahidan menaruh keyakinan sekiranya PRN dapat diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN sekali gus mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

    “Pernah berlaku di zaman Rasullah selepas habis berlaku peperangan, Rasullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah sebaliknya terus berperang dengan orang-orang Yahudi.

    “Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar kami pun tak balik lagi, khemah-khemah perpaduan ummah kami ada di sini terus dengan PRN saya rasa di Kedah macam di Perlis PN akan sapu bersih,” katanya.

  • Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    Terengganu lulus enakmen berkait aktiviti bomoh, sihir

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 yang antara lain memasukkan Seksyen 3A melibatkan aktiviti perbomohan dan sihir.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Satiful Bahari Mamat berkata pindaan enakmen tersebut juga melibatkan Seksyen 33A (orang perempuan berlagak seperti lelaki); Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat); dan Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

    “Kita cuba memanfaatkan ruang yang ada dengan memaksimumkan hukuman berdasarkan Peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

    “Dengan adanya pindaan ini kita mengharapkan supaya kesejahteraan umat Islam khususnya di Terengganu lebih terjaga dan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan DUN di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.

    Satiful Bahari berkata mengenai kemasukan seksyen melibatkan perbomohan dan sihir, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memantau perkara tersebut bagi memastikan masyarakat Islam di Terengganu tidak mendapatkan rawatan alternatif yang bercanggah hukum Islam dan hukuman dikenakan hanya melibatkan perawat, bukannya pesakit.

    Bagi seksyen berkaitan orang perempuan berlagak seperti lelaki pula, katanya sebelum ini peruntukan undang-undang sedia ada hanya melibatkan lelaki menyerupai perempuan.

    “Sebab dahulu mungkin tidak ada sangat isu ini (perempuan menyerupai lelaki), tetapi kita tengok sekarang kes ‘pengkid’ dan sebagainya semakin berleluasa jadi kerajaan negeri berhasrat untuk membendung isu ini,” katanya.

    Selain kemasukan empat seksyen tersebut, katanya pindaan pada hari ini juga melibatkan 21 seksyen yang sedia ada dan akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. – BERNAMA

  • DUN Terengganu lulus Bajet 2023

    DUN Terengganu lulus Bajet 2023

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Bajet 2023, yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Pada sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2023 hari ini, Ahmad Samsuri berkata bajet tersebut dirangka bertepatan dengan keadaan pemulihan ekonomi yang masih belum reda sepenuhnya ekoran penularan pandemik COVID-19.

    Katanya berdasarkan kajian oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute bersama Universiti Malaysia Terengganu, didapati sejak Julai lepas prevalens pendapatan 95.9 peratus isi rumah B40 dan 92.6 peratus isi rumah M40 di negeri ini adalah berkurang dan tidak berubah.

    “Pada masa sama prevalens perbelanjaan bertambah bagi kumpulan isi rumah ini pula ialah masing-masing 86.0 peratus (B40) dan 90.9 peratus (M40). Lebih merisaukan lagi, sekitar 72.5 peratus kumpulan isi rumah ini mengalami pengurangan simpanan,” katanya pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan 2023 di Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

    Justeru katanya kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai insentif dan pemberian tunai dalam Bajet 2023 sebagai strategi memberi suntikan kecairan tunai kepada ekonomi domestik melalui perbelanjaan pengguna, di samping untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

    Ahmad Samsuri pada Isnin membentangkan Bajet 2023 yang merangkumi RM1.991 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus; RM500 juta Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta Perbelanjaan Bekalan Air.

    Antara yang diumumkan adalah pemberian Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin kepada wanita yang baharu melahirkan anak dan pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 yang akan diteruskan pada tahun depan.

    Selain itu Bajet 2023 yang bertemakan  ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ itu turut melibatkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM150 kepada golongan pengawal keselamatan, petani, penternak, nelayan, pekerja industri pelancongan, belia dan mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan rendah bagi meringankan beban kewangan mereka. – BERNAMA

  • PN yakin ‘sapu bersih’ lapan kerusi di Terengganu

    PN yakin ‘sapu bersih’ lapan kerusi di Terengganu

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, yakin gabungan politik itu mampu menyapu bersih kesemua lapan kerusi yang dipertandingkan di Terengganu pada 19 Nov ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sementara itu berkata, keyakinan tersebut dibuat berdasarkan rekod baik pentadbiran kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pas di negeri tersebut.

    “Saya rasa kita boleh (menang) 8-0, sebab tak ada isu. UMNO nak promosi apa sekarang? Itu masalah dia. Apa yang dibuat untuk pengundi? Tak ada.

    “Rekod prestasi kita (PN) pun bagus dan saya dah lima penggal (menjadi ahli Parlimen) tak ada isu,” kata Rosol ketika ditemui di Ajil, Hulu Terengganu, hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Terdahulu timbalan pengerusi Bersatu Terengganu itu hadir ke Pondok Al-Abrar di Menerong untuk menyertai majlis selawat dan qasidah bersama penghuni pusat tahfiz terbabit.

    Mengulas lanjut keyakinannya itu, Rosol yang memenangi kerusi Hulu Terengganu pada 2018 sebagai calon BN berkata, ia dapat dilihat selepas kempen memasuki hari keenam hari ini.

    Kata Rosol, sambutan yang diterima pemimpin PN di Terengganu juga berbeza berbanding sebelum ini dan dianggapnya sebagai luar biasa.

    Misalnya, kata Rosol, ada tempat tertentu yang sukar dimasuki PAS kini sudah boleh dibuka markas untuk parti terbabit.

    “(Parlimen) Kemanan pun nampak OK sebab (kerusi DUN) yang menang pun hanya satu kerusi saja daripada empat kerusi DUN iaitu kerusi Ahmad Said saja (DUN Kijal),” katanya.

    Telur pun susah dapat

    Tambah Rosol, dia melihat perubahan sikap ditunjukkan oleh pengundi itu berpunca daripada sikap “tamak” pemimpin tertentu dalam UMNO yang sudah menjadi ADUN namun mahu bertanding di kerusi Parlimen pula.

    “Ahmad Said dah ada (kawasan) DUN tapi nak tanding parlimen lagi, bergitu juga dengan Rozi Mamat, tapi nak tanding parlimen lagi.

    “Jadi, isu ini juga berkesan untuk menarik undi,” katanya merujuk kepada Ahmad yang juga bekas menteri besar Terengganu yang kini menjadi Adun Kijal, serta Rozi di Telemong.

    Dalam PRU ke-15 ini Ahmad bertanding sebagai calon BN bagi parlimen Kemaman, manakala Rozi akan mencabar Rosol di Hulu Terengganu.

    Mengulas mengenai persaingan di kerusi Hulu Terengganu, Rosol berkata, Rozi itu adalah anak didiknya dan tahu “hanya dia (Rozi) calon terbaik” yang mampu Umno ketengahkan.

    Pada PRU lalu, Rosol menangi kerusi tersebut dengan jumlah undi 30,925 menewaskan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan calon PKR, Razali Idris (3,364 undi).

    Sementara itu, mengulas kempen yang kurang panas di Terengganu kali ini, Rosol berkata ia berpunca daripada ketiadaan isu oleh pihak lawan PN.

    Bagi BN pula, katanya, dia menganggap gabungan terbabit ketiadaan “wow factor” bagi menarik sokongan orang ramai.

    “Dulu dia kata kita akan stabil, kita akan makmur, akan harmoni dan barang murah tapi sekarang ini telur pun susah nak dapat, ayam pun mahal… banyak masalah, banjir pula lagi orang lagi marah.

    “Jadi, sekarang ini, pada saya BN seolah-olah sedang menggali kubur sendiri,” katanya.

    Diminta mengulas isu ketiadaan poster calon PN meskipun kempen telah memasuki hari keenam, Rosol berkata, hal itu kerana pengundi di Hulu Terengganu telah mengenalinya, selain atas pertimbangan strategi parti.

    “Poster-poster ini penting tetapi yang lebih penting ialah pendekatan di media sosial dan pada saya orang muda dah tahu siapa mereka nak sokong.

    “Kempen tak kempen (siapa yang mahu diundi) dah ada dalam kepala dia siapa dia nak sokong.

    “Orang tua ini mungkin ada lima peratus yang susah nak berubah tetapi yang muda-muda ini dah ada. Orang muda, orang terpelajar dan penjawat awam (berpihak pada PN) kerana dia tahu apa yang berlaku dalam negara,” katanya.

  • Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor bermula Selasa

    Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor bermula Selasa

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula 8 sehingga 11 Nov ini. 

    MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ramalan itu melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Mersing di Johor.

    Pada 3 Nov, MetMalaysia memaklumkan Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada Isnin ini (7 Nov) dan berterusan sehingga Mac depan.

    Menurut jabatan itu, sepanjang tempoh berkenaan empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku. – BERNAMA

  • MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Setakat ini Alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi Parlimen?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

    Spekulasi Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, dikatakan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah susulan penyebaran poster yang memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen di Terengganu.

    Sementara itu Ahmad Samsuri berkata rundingan akhir agihan kerusi bagi parti komponen dalam PN untuk PRU15 akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini, manakala pengumuman calon-calon PN pula dijangka dibuat pada 30 Okt, kecuali Terengganu pada 3 Nov.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • PN Terengganu kemuka senarai calon bertanding PRU-15 3 Nov – Rosol

    PN Terengganu kemuka senarai calon bertanding PRU-15 3 Nov – Rosol

    PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu akan mengemukakan senarai calon yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 3 November depan.

    Timbalan Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ketika ini agihan kerusi sudah dimuktamadkan dan ia akan diumumkan oleh pimpinan PN Negeri dalam satu sesi pengumuman bulan hadapan.

    “Saya difahamkan PN akan umumkan calon pada 3 November depan.

    “Setakat ini yang saya dimaklumkan Hulu Terengganu calonnya dari Bersatu (beliau),” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Dalam pada itu, Rosol menjelaskan, Bersatu akur kepada keputusan kepimpinan PN Pusat untuk menentukan sama ada akan menggunakan logo Pas atau logo parti calon bertanding.

    Difahamkan tiga negeri dilapor akan menggunakan logo parti Pas bagi setiap calon yang bertanding pada PRU15 walaupun daripada berlainan parti.

    Bersatu merupakan parti komponen dalam PN bersama beberapa parti lain termasuk Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

  • Program JMKM catat nilai jualan lebih RM25.8 juta – Rosol

    Program JMKM catat nilai jualan lebih RM25.8 juta – Rosol

    PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang bermula pada pertengahan Ogos lepas di seluruh negara berjaya mencatatkan nilai jualan lebih RM25.80 juta setakat ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata program yang melibatkan lima kementerian itu sehingga kini juga merekodkan sebanyak 1.04 juta pengunjung.

    “Kesemua pihak yang diberi kuasa menjalankan program ini telah pun melaksanakannya dengan baik. Kementerian juga hampir 100 peratus telah melaksanakan program yang memberi peluang kepada rakyat terutama golongan B40 mendapatkan bekalan barangan keperluan pada harga yang murah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program JMKM di IQI Mart di Kampung Beladau Kepong, di sini hari ini.

    JMKM ialah program yang dijenamakan semula daripada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM). PJKM sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    Untuk JMKM, pelaksanaannya melibatkan lima kementerian iaitu KPDNHEP, MAFI, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

    Dalam pada itu, Rosol berkata sekiranya Program JMKM dilaksanakan dalam bentuk ekspo, kos tambahan akan diperlukan seperti utiliti, pemasangan khemah dan pengangkutan, justeru kaedah sekarang yang dilakukan secara serentak di premis terpilih dilihat lebih berkesan.

    “Kerajaan pusat berpendapat pelaksanaan Program JMKM di premis terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri seperti yang dilakukan sekarang menjimatkan kos logistik,” katanya mengulas mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahukan JMKM diadakan dalam bentuk ekspo.

    Rosol berkata perkara itu sudah dibincangkan di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk mengikut kaedah sedia ada.- BERNAMA