Tag: Terence Naidu

  • Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    POLIS Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lepas.

    “Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudah pun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

    Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

    Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah. – BERNAMA

  • Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    Terence sudah kemuka penjelasan bertulis kepada DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu telah mengemukakan penjelasan secara bertulis kepada DAP berhubung penahanannya dalam serbuan polis di Perai, Pulau Pinang, dua minggu lepas.

    Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, menerusi penjelasan itu, Terence turut menyertakan bukti laporan air kencing yang dilakukan beliau di sebuah klinik di Pulau Pinang yang menunjukkan keputusan negatif dadah.

    “Mungkin ada kesilapan pada ujian kali pertama kerana ujian yang dilakukan pada hari kedua selepas ditahan membuktikan keputusan adalah negatif.

    “Bagaimanapun kita tidak boleh buat sebarang keputusan dan tidak mahu komen lebih lanjut sekarang kerana masih menunggu keputusan siasatan yang dijalankan polis,” katanya pada sidang media selepas program pemberian buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Buntong di Ipoh hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Terence ditahan bersama 35 individu lain di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang pada 13 Jan lepas apabila keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah.

    Selasa lepas polis menyerahkan kertas siasatan berhubung kes ADUN Perak yang positif dadah itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang, namun ia dikembalikan kepada polis untuk beberapa tindakan susulan. – BERNAMA

  • Polis siasat dakwaan minuman Terence Naidu dicampur dadah

    Polis siasat dakwaan minuman Terence Naidu dicampur dadah

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, kononnya minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini di Pulau Pinang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

    “Kita telah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

    “Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

    Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis.

    Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.

    ADUN DAP itu berkata, sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

    Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis menyatakan beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan. – BERNAMA