Tag: terbakar

  • Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LELAKI warga Pakistan rentung selepas terlibat van dinaiki terlibat kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 52 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, Kluang kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

    Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.39 petang.

    Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    “Kejadian berlaku apabila van berkenaan yang dinaiki tiga lelaki semuanya dipercayai warga Pakistan terlibat kemalangan di arah utara lebuh raya itu dengan sebuah lori 5 tan yang membawa muatan batu.

    “Akibatnya van tersebut terbalik dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbakar. Dua lelaki yang berada van berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi yang tidak dikenali idenditinya rentung,” katanya ketika dihubungi.

    Jelasnya, lori berkenaan turut terbalik dengan muatan batu berterabur atas jalan dan turut terpelanting ke laluan bertentangan.

    Pada masa sama katanya, kereta Toyota Camry dan Honda Civic datang dari arah bertentangan iaitu arah selatan tidak sempat mengelak muatan batu yang jatuh sehingga mengakibatkan kemalangan.

    “Pemandu lori berkenaan tidak diketahui cedera atau tidak kerana semasa bomba tiba dia sudah tidak berada di lokasi manakala empat mangsa dalam Toyota Camry dan seorang mangsa lelaki dalam Honda Civic selamat,” ujar beliau.

    Menurut Nizar yang juga Komander Operasi dari BBP tersebut, sembilan anggota sebuah jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) terlibat dalam operasi berkenaan yang selesai pada pukul 6.39 petang.

  • Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    BAHAGIAN enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

    “Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

    “Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – BERNAMA

  • Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    Gudang peralatan elektrik dan elektronik musnah terbakar

    SEBUAH gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba didapati kebakaran itu melibatkan sebuah bangunan dua tingkat berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi.

    “Selain keseluruhan kawasan gudang seluas 836 meter persegi yang musnah sepenuhnya, kebakaran itu turut melibatkan ruang pejabat seluas 836 meter persegi dan tempat memuat barang seluas 334 meter persegi yang masing-masing musnah kira-kira 30 peratus.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.15 malam dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 5.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Jurucakap itu menambah, operasi tersebut membabitkan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Bandar Perda, Sungai Bakap dan Jalan Perak.

    Tambahnya, mereka turut dibantu beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.

    “Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik premis itu masih dalam siasatan dan Unit Pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.