Tag: terbabas

  • 2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    DUA daripada empat pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Raja Laut, di ibu negara awal pagi semalam.

    Dalam kejadian pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi melanggar Proton Wira yang mengubah haluan sebelum hilang kawalan.

    MenurutnKetua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan dan empat pejalan kaki.

    “Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki menyebabkan dua daripadanya maut.

    “Seorang mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, dua mangsa pejalan kaki yang lain cedera parah dan masih dirawat di hospital.

    “Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun tidak mengalami kecederaan dan sedang direman selama 4 hari untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu merbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana- mana balai polis berampiran.

  • Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

    “Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian. 

    Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — BERNAMA 

  • Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    SEORANG anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

    “Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik. 

    “Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA

  • Anggota polis maut terbabas di Jempol

    Anggota polis maut terbabas di Jempol

    SEORANG anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dekat sini maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol awal pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Che Zakaria Othman berkata mangsa Koperal J. Vimel, 34, meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di kepala dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan balik daripada penugasannya memandu dari arah Bahau menghala ke IPD Jempol dan dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Personanya.

    “Mangsa kemudian terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing serta tiang elektrik di bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Jempol yang tiba di lokasi kejadian.

    “Tiada unsur jenayah berhubung kemalangan ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, beliau berkata mayat mendiang akan dihantar ke negeri kelahirannya, Sarawak secepat mungkin dengan segala kos penghantaran, pengebumian dan kebajikan ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.- BERNAMA