Tag: terapung

  • Mayat nelayan ditemukan terapung

    Mayat nelayan ditemukan terapung

    MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, dekat sini semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson pagi ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

    “Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

    Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

    Dalam pada itu Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

    “Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya.- BERNAMA

  • Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    MAYAT seorang bayi lelaki ditemukan terapung di dalam sebuah loji kumbahan di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi cukup sifat itu daripada orang awam pada 10.38 pagi tadi yang ternampak satu objek dipercayai seorang bayi terapung di dalam loji berkenaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati objek itu adalah mayat seorang bayi lelaki dengan anggaran kematian bayi tersebut lebih dari sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya kepada polis.- BERNAMA