Tag: TERAJU

  • Anwar, Guan Eng perlu jawab dakwaan Azmin berkaitan Teraju

    Anwar, Guan Eng perlu jawab dakwaan Azmin berkaitan Teraju

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, digesa menjawab setiap pendedahan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Ia termasuk dakwaan sekatan peruntukan untuk masyarakat Bumiputera ketika PH mentadbir negara pada 2018 hingga kerajaan itu terbubar pada Februari 2020.

    Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau merujuk kepada pendedahan pada 29 Oktober lalu bahawa pemimpin DAP iaitu Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan ketika pentadbiran PH, menyekat peruntukan sebanyak RM400 juta kepada peniaga kecil Melayu Bumiputera Melayu.

    Beliau berkata, jumlah itu membabitkan dana setahun yang sepatutnya disalurkan kepada Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), iaitu unit bawah Jabatan Perdana Menteri yang penubuhannya untuk memperkasakan ekonomi masyarakat Bumiputera.

    Katanya, tindakan itu amat mengejutkan dan membimbangkan.

    “Kenapa PH dan pemimpinnya Anwar berdiam diri mengenai perkara penting yang membabitkan ekonomi Bumiputera sehingga kini?

    “Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?” katanya dalam satu kenyataan lapor portal BeritaBersatu.

    Ahmad Faizal berkata, Mohamed Azmin yang juga menteri Kabinet ketika itu, pernah membantah tindakan Guan Eng dengan menyuarakannya kepada Perdana Menteri ke-tujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata, Guan Eng juga bertanggungjawab mencantas dana penambahbaikan jalan raya bagi kawasan FELDA, daripada 1,000 kilometer (km) kepada hanya 300 km serta percubaan untuk menutup Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang menyediakan modal bagi perniagaan Bumiputera untuk mengambilalih syarikat-syarikat strategik.

    Justeru, Ahmad Faizal menggesa Anwar yang juga calon Perdana Menteri PH untuk menjawab beberapa persoalan.

    Antaranya, adakah jika dilantik menjadi Perdana Menteri kelak, Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH?

    “Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden PH terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti dinyatakan?

    “Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan Menteri Kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

    “Apakah justifikasi Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera Melayu dalam zaman pemerintahan PH?” katanya, lapor BH Online.

    Ahmad Faizal berkata, sehingga kini, tiada seorang pun dari PH atau Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan oleh Mohamed Azmin Ali kerana rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

    “Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” katanya.

  • Hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja tahun lalu

    Hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja tahun lalu

    HANYA kira-kira 73,400 atau 27 peratus graduan Bumiputera dapat memenuhi peluang pekerjaan sektor swasta yang ditawarkan pada tahun 2020 berbanding 103,900 atau 40 peratus pada 2019, menurut Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

    Kajian TERAJU mendapati penurunan peluang pekerjaan kepada graduan Bumiputera berkenaan antaranya berpunca daripada pengurangan peluang pekerjaan di pasaran sebanyak 29.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.

    “Sekiranya dilihat secara teliti, pengurangan peluang pekerjaan disebabkan negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” menurut dapatan kajian TERAJU bertajuk ‘Kesan Pandemik Terhadap Peluang Pekerjaan Di Kalangan Graduan Bumiputera’ yang dijalankan menerusi Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) agensi itu.

    Dapatan kajian TERAJU itu diperolehi melalui dua kaedah iaitu, mengenal pasti saiz graduan Bumiputera di IPTA dan IPTS dengan membuat perbandingan antara tahun serta komposisi kaum bagi melihat impak sebenar wabak COVID-19 kepada graduan dihasilkan pada ketika ini.

    Kaedah kedua pula, agensi itu mengadakan kajian dengan meneliti ketidaksamaan dalam peluang pekerjaan dalam tahun sama dan membandingkannya dengan bilangan graduan Bumiputera dihasilkan pada tempoh sama.

    Kajian tersebut menggunakan sumber sekunder melibatkan laporan kaji selidik kadar pengangguran, statistik Bumiputera 2020 dan statistik pekerjaan suku keempat 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia.

    Menurut kajian berkenaan, berdasarkan data dan maklumat graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), secara keseluruhannya, mendapati saiz graduan Bumiputera dihasilkan meningkat seramai 259,659 iaitu 84 peratus, diikuti kaum Cina seramai 35,904 (12 peratus) dan kaum India seramai 12,055 (empat peratus) sepanjang 2017 sehingga 2020.

    Kajian TERAJU yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 pula mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dan 70 peratus daripadanya adalah graduan Bumiputera.

    Kajian berkenaan juga mendapati sebahagian besar jumlah graduan menganggur berkenaan adalah terdiri daripada kumpulan B40 dan M40 yang bergantung kepada gaji dan upah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

    “Mengambil kira keadaan ini, graduan institusi pendidikan terutamanya bagi Bumiputera, sangat terdedah kepada kejutan ekonomi negatif seperti pengangguran, disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan sebagainya. Ini kerana jurang agihan pendapatan Bumiputera adalah besar dan sumber kewangan mereka yang terhad,” menurut kajian itu.

    Menurut TERAJU, berdasarkan kajian khas berkaitan kesan COVID-19 terhadap saiz graduan Bumiputera dan bukan Bumiputera IPTA serta IPTS yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas pula, menunjukkan hampir 270,000 graduan Bumiputera dihasilkan iaitu peningkatan hampir 10 peratus berbanding 2018.

    “Ini adalah selari dengan pertumbuhan jumlah graduan di Malaysia iaitu seramai 316,000 orang graduan yang diunjurkan pada 2020, berbanding hanya hampir 300,000 orang graduan pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus dari 2018,” menurut kajian itu.

    Kajian berkenaan yang memetik sumber Jabatan Perangkaan Malaysia juga mendapati corak penawaran pekerjaan mula menurun secara keseluruhan, bermula dari suku ketiga 2019 sehingga suku keempat 2020.

    “Pewujudan peluang pekerjaan dalam kategori mahir telah menurun secara drastik kepada 3,600 pekerjaan pada suku kedua 2020, berbanding lebih 12,000 pewujudan pekerjaan pada suku sama 2019, iaitu penurunan sebanyak 70 peratus.

    Sehubungan itu, TERAJU telah merangka beberapa inisiatif dalam memperkasakan dan meningkatkan penyertaaan Bumiputera dalam pasaran tenaga kerja mahir, selaras dengan hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) yang bakal dilancarkan.

    “Sebagai sebuah agensi penyelaras utama dalam pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, TERAJU menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bumiputera (CoE) bagi menyediakan pendidikan dan latihan bermula dari usia awal kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi, selain program pembangunan profesional lain seperti program celik kewangan, keusahawanan dan kursus pelbagai disiplin untuk Bumiputera,” menurut kajian tersebut.- BERNAMA