Tag: Temerloh

  • Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di negara ini menerusi satu operasi di Temerloh, Pahang, hari ini.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

    Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membuat hantaran itu menerusi akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    “Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di lokap berpusat Kuala Lumpur, esok.

    “Siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah menasihatkan orang ramai agar menghormati institusi beraja negara.

    Katanya, ini kerana ia sudah dijamin oleh Perlembagaan demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan negara.

    “Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekehkan institusi beraja akan dikenakan tindakan tegas,” tambahnya.

  • Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    KETIKA inai masih melekat di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya buat selama-lamanya selepas lelaki itu maut akibat kemalangan dekat Kampung Megat Segama di Temerloh, kelmarin.

    Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh ketika kejadian kira-kira pukul 10 malam itu sedang menunggang motosikal sebelum kenderaan tersebut dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.

    Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.

    Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.

    Menurut Azimah, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.

    Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.

    “Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.

    “Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

    “Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya,” kata Azimah, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Azimah berkata, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.

    “Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

    “Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ni boleh berlaku.

    “Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal,” jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor, semalam.

    Jenazah Allahyarham Hairul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira pukul 4.28 petang semalam.

    Azimah berkata, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.

    “Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.

    “Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.

    “Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” akui Azimah lagi.

    Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.

    “Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.

    “Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa je tak melayang lagi.

    “Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu,” tambah dia lagi.

    Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap. – Sinar Harian

  • Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM17,859 daripada ejen-ejen pengurusan jenazah bagi mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di sebuah hospital, di Temerloh.

    Memetik laporan Astro AWANI, lelaki itu yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Perubatan Forensik di sebuah hospital telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh, semalam.

    Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Febuari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.

    Dia yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Shah Reza Noot Azman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Berdasarkan sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan sebanyak RM17,859.00 sekitar tahun 2021 hingga 2022.

  • Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    MAHKAMAH Sesyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

    Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

    Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

    Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

    Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

    “Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

    Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

    Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

    Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

    KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

  • Ajal tertimbus dalam perigi baru digali

    Ajal tertimbus dalam perigi baru digali

    SEORANG remaja perempuan maut selepas tertimbus tanah ketika berada di dalam perigi bersebelahan rumahnya di Lanchang, Temerloh yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Kuantan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada bapa mangsa pada 3.34 petang tadi. 

    Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi, lelaki itu telah meminta anaknya berusia 15 tahun untuk masuk ke dalam perigi sedalam kira-kira 3 meter yang baru digali bagi membaiki gelung, namun secara tiba-tiba dinding perigi tersebut telah runtuh dan menimbus mangsa. 

    “Mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada perigi tersebut dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Mohd Azhar berkata mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. 

    “Siasatan terperinci akan dijalankan dan keterangan saksi yang berkaitan akan diambil bagi melengkapkan siasatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka serta menjauhi kawasan berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini. 

    “Sebarang kemalangan yang disebabkan kecuaian ibu bapa, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    PRU-15: Bersaing dengan tiga calon lelaki bukan halangan buat Salamiah

    BERSAING dengan tiga calon lelaki di Parlimen Temerloh bukan halangan buat calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Salamiah Mohd Noor, 58, untuk meraih keyakinan pengundi.

    Sebaliknya anak jati Temerloh itu berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat khususnya pengundi di Parlimen tersebut.

    “Syukur setakat hari ini, saya terima respons positif daripada pelbagai latar belakang masyarakat.

    “Sebenarnya masing-masing teruja dan dengan gelombang PN setakat ini, sebenarnya jadi calon wanita ada kelebihan, mereka nampak lebih yakin dengan kerana sifat wanita lebih prihatin dan berkredibiliti, telus,” katanya di Temerloh.

    Pada PRU-15 ini, Salamiah berdepan saingan empat penjuru ditentang calon Pakatan Harapan, Mohd. Hasbie Muda, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Aminuddin Yahaya dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Salamiah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang berharap pengundi di Parlimen Temerloh memberikan peluang kepadanya untuk mewakili rakyat di situ.

    Beliau berkata, potensi perusahaan ikan patin antara menjadi tumpuannya jika diberikan mandat dalam PRU15 ini.

    Menurutnya, selain perusahaan ikan patin, bekas pendidik itu ingin memperkasakan usahawan wanita di parlimen Temerloh.

    “Bila nak buat janji, kena selaras dengan manifesto PN, saya nampak sepanjang kempen, banyak wanita yang terlibat dalam perniagaan macam di Pekan Sehari, pasar malam jadi saya melihat peluang ini untuk memberikan ruang kepada wanita mengembangkan perniagaan menerusi manifesto PN, Dananita sebanyak RM20,000 iaitu tanpa faedah,” katanya.