Tag: Teman lelaki pelawak hina Islam didakwa muat naik kandungan menghina dalam media sosial

  • Teman lelaki pelawak hina Islam didakwa muat naik kandungan menghina dalam media sosial

    Teman lelaki pelawak hina Islam didakwa muat naik kandungan menghina dalam media sosial

    (KEMAS KINI) TEMAN lelaki Siti Nuramira Abdullah, wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan komediri, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memuat naik kandungan menghina dalam media sosial.

    Penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran yang menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ di pautan Instagram membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Kesalahan itu dilakukan di Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu di tempat yang sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.

    Terdahulu sebelum pertuduhan dimulakan, peguam yang mewakili tertuduh Ramesh NP Chandran, membuat permohonan maaf kepada mahkamah selepas hadir lambat kerana terpaksa menyelesaikan kes berkait di mahkamah berbeza.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Mohamed Idris tidak menawarkan sebarang jaminan.

    Beliau turut memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport, perlu melapor diri di balai polis dan tidak memuat naik sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes ini.

    Bagaimanapun, Ramesh membantah dan memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dengan alasan semua kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang boleh dijamin.

    Hakim kemudian memutuskan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Terdahulu Warta Rakyat melaporkan, pada sebelah pagi, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina Islam.

    Tertuduh yang tular dalam media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Sebelum ini wanita itu telah ditahan pada 10 Julai lalu dan direman selama tiga hari.

    Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab terbabit susulan satu klip video tular tersebut.

    Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, tertuduh yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.