Tag: telur

  • Angkara telur, Ka Siong terima surat saman pengimport

    Angkara telur, Ka Siong terima surat saman pengimport

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

    Ka Siong (BN-Ayer Hitam) membuat pendedahan itu semasa sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurutnya, peguam mewakili syarikat itu mendakwa beliau menyebabkan kerugian kepada klien mereka.

    “Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

    “Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

    “Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

    “Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya, lapor Berita Harian.

    Minggu lalu, Ka Siong meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

    Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

    Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

    Sementara itu, menerusi entri di Facebook, Ka Siong menyatakan beliau sudah menjawab saman yang diterimanya.

    Beliau turut memuatnaik surat saman daripada peguam syarikat pengimport dan surat jawapannya mengenai perkara itu.

  • Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam sehingga Jun 2023 melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.

    Menurut KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri mencapai kata sepakat untuk meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam itu pada 17 Feb lepas.

    “Langkah ini diambil demi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut KPKM berkata keperluan untuk membawa masuk telur ayam dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

    “Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar merupakan langkah sementara bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil dan tidak terputus,” katanya.

    KPKM berkata pihaknya sentiasa memantau keperluan bekalan telur ayam dalam pasaran dan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam dalam negara stabil seperti sediakala.- BERNAMA

  • Harga ayam, telur dijangka diapungkan selepas Jun, kata Mat Sabu

    Harga ayam, telur dijangka diapungkan selepas Jun, kata Mat Sabu

    HARGA ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

    Beliau berkata harga ayam dan telur diapungkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat menilai serta mengawal harga barangan itu sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit semasa.

    “Kita yakin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mencukupkan permintaan ayam dan telur (melalui pengapungan harga) dan sekarang pun sudah mencukupi cuma lima atau enam bulan lagi ia akan lebih cukup jika tidak berlaku perkara baharu yang tidak diingini (seperti bencana),” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya di sini.

    Januari lepas, Mohamad dilapor berkata MAFS sedang mengkaji keperluan mengapungkan harga telur di pasaran dan memberi subsidi bersasar kepada golongan B40 dan perkara ini melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta KPDN.

    Harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji), masing-masing di Semenanjung, sementara Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

    Mengulas berhubung jagung bijian iaitu makanan kepada ternakan ayam yang hampir 100 peratus diimport khas dari Argentina dan Brazil sehingga memberi kesan kepada harga ayam serta telur, Mohamad berkata kerajaan sedang menggalakkan penanaman bahan itu di Malaysia pada tahun ini bagi menangani isu kenaikan harga makanan.

    “Dalam beberapa bulan lagi (tanaman jagung bijian) dah boleh memulakan hasil…dan sudah ada syarikat mahu melaksanakan (pembelian jagung bijian) seperti (model tanaman) Padiberas Nasional Berhad (Bernas),” katanya dan menambah kajian mengenai penanaman jagung bijian sedang giat dilaksanakan di Perlis.

    Dalam pada itu mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, Mohamad berharap agar jumlah peruntukan kepada MAFS tidak dikurangkan.

    Beliau turut menjangkakan belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal berbentuk sederhana dengan berlandaskan konsep Malaysia Madani.

    “Belanjawan 2023 lebih kepada kaedah untuk berjimat cermat namun (manfaat untuk) golongan B40 tidak akan dipotong…MAFS harap (peruntukan) sekiranya tidak ditambah, tetapi sekurang-kurangnya jangan ada potongan,” katanya.

    Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, mengumumkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion secara keseluruhan dan daripada jumlah itu, RM5.32 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. – BERNAMA

  • Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur – Wee

    Mat Sabu tak perlu jelajah ke India, Ayer Hitam ada banyak telur – Wee

    AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding keluaran tempatan.

    Ini susulan tinjauan Mohamad ke ladang pengeluaran telur di Tamil Nadu, India untuk melihat sendiri proses pengeluaran telur yang diimport ke Malaysia.

    Presiden MCA itu meminta Mohamad mengutamakan penternak tempatan dan mencadangkan agar menteri itu datang ke Ayer Hitam bagi melawat kawasan pengeluaran telur di situ.

    “Abang Mat, jauh jelajah?! Perlu ke India tengok telur ke?

    “Saya cadangkan datang ke kawasan saya parlimen Ayer Hitam. Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam dan di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

    Wee mendakwa penternak tempatan kerugian berikutan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding harga telur yang dijual iaitu 41 sen sebiji akibat kawalan harga.

    Beliau sebaliknya mencadangkan harga telur tempatan dinaikkan sama seperti telur yang diimport dari India, yang berharga 51 sen sebiji.

    “Abang Mat, apa kata harga kawalan diubah? Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan RM0.50 sebiji (sama macam harga telur import dari India), mungkin penternak tempatan sanggup bela kerana mereka tak akan rugi.

    “Kalau kerajaan mampu dan bersungguh nak bantu golongan B40, boleh wujudkan “elaun telur secara top up” kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wee menambah, tiada keperluan untuk mengimport telur dari India sekiranya bekalan telur tempatan mencukupi.

    Pada Disember tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan langkah mengimport telur dari India sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi di negara ini pada harga yang kompetitif.

    Ini berikutan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan telur di beberapa negeri.

    Berita Harian melaporkan telur dari India itu akan diimport melalui jalan laut bagi menurunkan harga dan bersaing dengan harga telur tempatan.

    Beliau juga mengatakan kontena penghawa dingin disediakan bagi memastikan kualiti telur dalam keadaan baik.

    Bagaimanapun Wee mempersoalkan kesegaran telur import berkenaan memandangkan pengangkutan laut dari India akan mengambil masa tiga hingga empat minggu.

  • Pasar raya, kedai runcit lima negeri berdepan kekurangan bekalan telur ayam

    Pasar raya, kedai runcit lima negeri berdepan kekurangan bekalan telur ayam

    BEKALAN telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan itu ketika ini.

    Di PERAK, tinjauan Bernama di sebuah pasar raya segar di Bandar Meru Raya, Ipoh mendapati berlaku pengurangan stok telur ayam sehingga tiada bekalan mahupun simpanan di premis itu manakala beberapa kedai runcit pula boleh didapati dalam kuantiti amat sedikit.

    Seorang pekerja kedai runcit Muliadi Abdul Jalil, 32, berkata kekurangan bekalan telur berlaku sejak kira-kira tiga bulan lepas apabila premis berkenaan sebelum ini pernah menerima bekalan telur sebanyak 60 papan, tetapi kini hanya memperoleh separuh daripada tempahan atau lebih sedikit akibat ketiadaan stok.

    Menurut seorang lagi pekerja kedai runcit Fikri Abdul Rahman, 23, premis itu juga hanya memperoleh separuh bekalan telur iaitu hanya kira-kira 60 papan berbanding 150 papan sebelum ini.

    Di PULAU PINANG, pengusaha kedai makan di Bandar Perda, Azhar Basirun, 59, berkata beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 60 biji telur ayam setiap hari untuk perniagaannya, namun terpaksa membeli di beberapa kedai runcit berikutan peniaga mengehadkan pembelian 10 biji sahaja untuk seorang.

    Pengguna Muhammad Haris Omar, 42, turut mengakui bekalan telur ayam terhad dan harganya agak mahal berbanding kebiasaan, justeru beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa kerana telur antara sumber makanan yang murah untuk keluarga B40.

    Bagi seorang peniaga telur ayam di pasar di Kepala Batas, Amirul Muizz, 45, beliau sendiri mendapat bekalan yang sedikit iaitu kurang separuh daripada biasa dan kadangkala tiada langsung telur ayam yang dihantar oleh pemborong kepadanya.

    Di KELANTAN, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya menunjukkan tiada bekalan telur ayam seperti kebiasaannya di rak-rak jualan, sebaliknya masih digantikan dengan bekalan telur ‘omega’ dan telur putih. 

    Pekerja pasar raya di Bandar Baru, Hassan Basri, 27, berkata bekalan telur putih dan omega baru tiba di tempat kerja beliau hari ini dan dijangka habis hari ini juga.

    Selain itu, pengusaha bakeri Nadia Bustamam, 34, berkata ketiadaan bekalan telur ayam biasa sebelum ini menjejaskan operasi perniagaannya kerana terdapat beberapa jenis kek tidak boleh menggunakan telur lain selain telur ayam berwarna perang.

    Sementara itu di SELANGOR, tinjauan di sekitar Shah Alam mendapati bekalan telur sukar diperoleh sejak beberapa bulan lepas, terutamanya di kawasan yang jauh dari bandar.

    Suri rumah Rosliza Abdul Samad, 40, berkata ketiadaan bekalan sumber protein itu membuatkannya terpaksa pergi ke pasar raya lebih jauh dari kawasan penempatan selain terpaksa membeli telur jenis omega yang jauh lebih mahal kerana susah untuk mendapatkan telur biasa.

    Di MELAKA, peniaga nasi lemak Muhammad Ismail Sulaiman, 40, dari Klebang Pengkalan Rama berkata beliau telah beberapa kali berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sehingga menjejaskan jualannya.

    “Kadang-kadang saya terpaksa mencari di lebih lima premis untuk membeli telur ayam dan terdapat juga kedai runcit atau pasar raya yang mengehadkan jualan bagi setiap pembeli. Selain bekalan, pilihan gred telur yang dijual kebanyakan gred B dan harganya lebih mahal…namun tiada pilihan,” katanya.

    Selain itu, Tan Hock Seng, 34, dari Bachang mengakui turut berhadapan situasi sama berikutan telur ayam di kedai runcit berhampiran rumahnya sering kehabisan bekalan dan ada kalanya hanya boleh dibeli pada hari tertentu. – BERNAMA

  • Telur oh telur… peniaga, suri rumah semakin gelabah

    Telur oh telur… peniaga, suri rumah semakin gelabah

    SELEPAS isu kekurangan minyak masak dan kenaikan harga ayam di pasaran yang cukup meresahkan orang ramai khususnya golongan peniaga dan suri rumah, kini para pengguna dibelenggu pula dengan satu lagi krisis, iaitu kekurangan dan ketiadaan bekalan telur ayam.

    Apa yang merisaukan orang ramai apabila krisis itu telah berlarutan hampir memasuki bulan ketiga.

    Peniaga nasi lemak mengeluh kerana ketiadaan telur ayam menyebabkan masakan nasi lemak mereka kini banyak tertumpu kepada berlaukkan bilis, kerang dan ikan tongkol.

    Begitu juga dengan peniaga roti canai yang terpaksa melupakan hidangan roti telur yang menjadi kegemaran pelanggan.

    Memandangkan telur ayam merupakan antara barangan keperluan penting bagi suri rumah dan peniaga makanan, keluhan demi keluhan semakin banyak kedengaran di sana sini.

    Kebanyakannya semakin gelabah apabila krisis yang berlarutan itu kini semakin menghampiri ke bulan Ramadan dan Syawal.

    Perkembangan ini menyebabkan ramai suri rumah mula berasa panik walaupun ada jaminan diberikan kerajaan bahawa isu tersebut akan diselesaikan pada penghujung Februari.

    Bagaimanapun orang ramai tetap bimbang kerana pengguna bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga setiap gred telur ayam sehingga RM3 hingga RM5 setiap peket.

    Sebaliknya, apa yang menyebabkan orang ramai cemas apabila mendapati kebanyakan kedai termasuk pasar raya besar tertentu sentiasa kehabisan stok.

    Malah, ramai yang mengeluh kerana setiap kali bekalan sampai mereka terlepas peluang membelinya kerana telah kehabisan dalam tempoh beberapa jam sahaja.

    Sebelum ini penulis tidak pernah berhadapan dengan masalah bekalan telur ayam.

    Dahulu, penggunaan telur ayam boleh dikatakan sebagai keperluan utama dan wajib bagi setiap rumah.

    Ini kerana, orang dahulu gemar memasak bukan sahaja tertumpu kepada nasi tetapi juga kuih muih.

    Namun, ketika itu tidak timbul masalah kekurangan atau ketiadaan telur kerana kebanyakan penghuni rumah ada memelihara ayam.

    Setiap kali tiba musim perayaan, bukan sahaja telur, tetapi ayam juga turut disembelih untuk dijadikan lauk.

    Bagi isu ketiadaan telur ayam di pasaran, penulis turut tertanya sendiri kenapakah perkara ini boleh berlaku dan apakah sebenarnya yang tidak kena dengan pengurusan bekalan telur ayam di negara kita?

    Adakah kerana ada pihak yang cuba ‘main tarik tali’, melibatkan pembekal, pemborong, peruncit atau peniaga?

    Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi-agensi terbabit seharusnya bertindak segera bagi menyelesaikan kirisis berkenaan.

    Tindakan tegas perlu diambil disamping mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan stok bekalan telur ayam sentiasa mencukupi sekaligus meleraikan setiap kekalutan yang sedang berlaku.

    Ia penting memandangkan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma nanti tidak akan membelenggu pengguna terutama peniaga kuih muih, pembuat biskut raya serta suri rumah yang ingin menyediakan juadah berbuka puasa.

    Bagi penulis, krisis kekurangan bekalan telur ayam dan barangan kawalan di pasaran termasuk minyak masak, tepung gandum dan gula tidak berlaku sekiranya ia mendapat kerjasama daripada semua pihak.

    Apa yang dikesalkan apabila masalah ini seolah-olah tiada penghujungnya sehingga ada yang menyalahkan antara satu sama lain.

    Apapun, kita perlu berterima kasih kepada KPDNHEP kerana sentiasa mendengar keluhan orang ramai berhubung pelbagai isu melibatkan pengguna.

    Berhubung itu kekurangan telur ayam di pasaran, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid menyatakan kerajaan telah mempersiapkan beberapa pelan intervensi bagi memastikan bekalannya cukup pada Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

    Menurut Rosol, rancangan bersasar itu dilaksana pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    Katanya, inisiatif itu juga untuk memastikan isu kekurangan bekalan yang sering berlaku ketika musim perayaan dapat dielakkan.

    Selain itu, Rosol turut memberi jaminan bekalan keperluan harian yang lain seperti minyak masak juga mencukupi sepanjang Ramadan nanti.

  • Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan berkenaan sehingga membebankan pengguna.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

    “Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

    Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian berikutan menerima beberapa aduan daripada rakyat bahawa terdapat sesetengah pembekal atau pemborong yang cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

    “Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Semalam, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

    Beliau berkata KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. – BERNAMA

  • Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    HARGA ayam segar dan telur ayam mungkin naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia tamat pada 4 Februari ini namun kerajaan akan mencari mekanisme bagi menanganinya demi kepentingan semua pihak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak serta satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.

    “Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak itu, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.

    “Pengguna juga harus faham mengenai masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin hari ini.

    Alexander berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Februari di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram namun mendapat keluhan daripada penternak yang bukan sahaja melibatkan kos tetapi tempoh skim kawalan yang terlalu lama.

    Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit dan pemborong.

    “Harga siling mungkin akan tinggi tetapi kita akan lihat dahulu sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik sebab ada persaingan,” katanya. – BERNAMA