Tag: Teluk Intan

  • Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    Berang cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

    SEORANG penganggur bertindak membakar sebuah kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja di Teluk Intan selepas dipercayai berang cintanya ditolak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap pukul 3.19 petang, hari ini.

    Beliau berkata, pengadu memaklumkan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap pada pukul 2.30 petang tadi.

    “Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

    “Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

    “Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

    “Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

    “Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Adnan memberitahu, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

    “Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

    “Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

  • Tetak kepala pengawal keselamatan sebelum larikan 70 iPhone

    Tetak kepala pengawal keselamatan sebelum larikan 70 iPhone

    SEORANG pengawal keselamatan warga emas cedera ditetak di kepala dalam kejadian samun kedai telekomunikasi di Kompleks Menara Condong, di Teluk Intan, awal pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, suspek turut mengikat kaki dan tangan pengawal keselamatan berusia lewat 60-an itu dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    Katanya, mangsa yang dikunci di dalam tandas kompleks berkenaan bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

    “Terdahulu, pengawal keselamatan itu yang sedang berehat di kaunter tandas telah didatangi seorang suspek, dipercayai lelaki.

    “Suspek membawa sebilah kapak dan mengacukan senjata itu ke arah mangsa, sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

    “Suspek kemudiannya telah menetak bahagian atas kepala mangsa lalu membawanya masuk ke dalam tandas dan mengikat kaki serta tangannya. Dia kemudian mengunci mangsa dari luar tandas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Ahmad Adnan berkata, suspek kemudian memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di dalam kompleks berkenaan dan mengambil kira-kira 70 telefon bimbit jenis iPhone diangarkan bernilai RM300,000.

    Katanya, pemeriksaan pihak polis di tempat kejadian berjaya menemui beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan dan usaha diteruskan untuk mengesan suspek.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada IPD Hilir Perak di talian 05-62992222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • 21 penumpang berdepan detik cemas, bas ekspres masuk parit

    21 penumpang berdepan detik cemas, bas ekspres masuk parit

    SEBANYAK 21 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan hari ini.

    Bagaimanapun kesemua penumpang bas terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas bas berkenaan melanggar tiang elektrik.

    Katanya, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu sendiri.

    “Tiada mangsa yang tersepit, semua 21 penumpang bas termasuk pemandu kedua terselamat dalam kejadian itu.

    “Hanya pemandu bas berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan ringan dan anggota telah membuat rawatan awal kepada mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim.

  • PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    PRU-15: Calon PN Parlimen Teluk Intan tegaskan bukan kerja bermusim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak menyangka mendapat penerimaan yang baik daripada penduduk di daerah itu.

    Menurut beliau, sokongan diterima setakat ini mungkin kerana penduduk tahu menilai gerak kerja serta rekod cemerlangnya sebagai exco kerajaan negeri.

    “Saya bukan kerja bermusim, rakan media tahu selepas menang, saya terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Macam biasa dan pekerjaan itu adalah rutin saya. Saya tidak sangka menerima sambutan amat baik penduduk Teluk Intan.

    “Bekerja sebagai wakil rakyat, saya tidak sama seperti segelintir wakil rakyat yang lain. Saya akan pegang amanah dan kerja saya dengan baik. Rakyat boleh lihat sendiri apa sahaja yang saya jalankan, saya juga mudah didekati,” katanya kepada FMT.

    Zainol yang juga bekas ADUN Sungai Manik berkata, selain mengangkat isu tempatan, fokusnya juga adalah kepada pembangunan dan pemodenan yang mampu memberi impak lebih besar kepada penduduk.

    Katanya, pembangunan dan pemodenan itu bukan sahaja menarik pelancong dari dalam dan luar negara, sebaliknya ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

    “Antara perkara paling besar yang mereka laungkan ialah membangunkan Teluk Intan, walaupun Teluk Intan ada Menara condong, tapi mereka mahukan impak yang besar kepada penduduk.

    “Tetapi kita hanya ada program berkala, tidak tetap, kenapa tidak kita adakan sesuatu yang tetap memandangkan Teluk Intan menjadi destinasi wajib mesti dikunjungi apabila datang ke Perak,” katanya.

    Menurutnya, Teluk Intan masih kekurangan daya tarikan meskipun berpotensi menjadi kawasan pelancongan, justeru beliau mahu pembangunan yang bakal dibentuk mampu merangsang sektor pelancongan agar mampu menyediakan pakej pelbagai dan menarik.

    “Tarikan tambahan bukan semata-mata Menara Condong kena ade, pakej agar pengunjung bermalam di sini lebih lama. Sektor pelancongan boleh memanfaatkan pembangunan dan keunikan sedia ada di daerah ini untuk menarik pelancong,” katanya.

    Sementara itu, mengenai perkembangan kempen, Zainol berkata, selain aktif di media sosial, beliau masih mengekalkan tradisi berkempen dari rumah ke rumah untuk melihat sendiri isu dan masalah penduduk.

    Ditanya berhubung keyakinan berentap dengan pencabar hebat daripada parti lain, bagi Zainol setiap calon mempunyai cara tersendiri, dan setakat ini beliau lebih selesa bertanding secara sihat tanpa membuat serangan peribadi kepada calon lain.