Tag: telefon bimbit

  • Polis rampas telefon bimbit milik Firdaus Wong

    Polis rampas telefon bimbit milik Firdaus Wong

    SAKSI pendakwaan keenam membabitkan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, hari ini, memaklumkan mahkamah bahawa ada membuat rampasan telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawaty Isa berkata, beliau menerima arahan dari pegawai penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri bagi menjalankan rampasan telefon bimbit milik salah seorang saksi pendakwaan, Firdaus Wong pada 28 September 2021, sekitar pukul 2 petang.

    “Saya dimaklumkan penama akan datang ke pejabat D11, Bukit Aman pada hari berkenaan.

    “Sejurus penama tiba di pejabat D11 sekitar 7.05 petang, saya kemudiannya mengarahkan Firdaus Wong menyerahkan telefon bimbit milik beliau.

    “Saya seterusnya mengeluarkan borang pemeriksaan kepada Firdaus Wong,” katanya.

    Hirdawaty berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hirdawaty memberitahu mahkamah bahawa telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.

    Prosiding perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.

    Mengenakan pakaian serba hitam dan berkopiah putih, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9.10 pagi tadi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam.

  • Simpan telefon bimbit Rafizi untuk tujuan forensik digital – KPN

    Simpan telefon bimbit Rafizi untuk tujuan forensik digital – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan menyimpan telefon bimbit milik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai satu bentuk intimidasi.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tersebut adalah sebahagian proses siasatan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

    “Peranti berkenaan akan dipulangkan kelak setelah proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl Sani dalam kenyataan malam ini. 

    Beliau berkata Rafizi telah dipanggil dan dirakam percakapan pada 3 Sept lepas bagi membantu siasatan setelah laporan polis diterima berhubung kenyataan tular di aplikasi media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Katanya bagi membantu siasatan, sebuah telefon bimbit bersama kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran yang disiasat, telah diambil dan disimpan oleh pihak polis bagi proses analisis forensik digital.  

    Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat laporan yang dibuat terhadap Dr Abdul Latiff dan sesi rakaman keterangannya telah dijalankan, selain turut memaklumkan proses siasatan bagi kedua-dua laporan polis adalah secara profesional tanpa sebarang bentuk tekanan seperti didakwa oleh pihak tertentu.

    “Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberikan ruang kepada PDRM untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya.

    Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media hari ini menggesa  Acryl Sani menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi susulan tindakan polis merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Dr Abdul Latiff semalam. – BERNAMA 

  • Pekerja kilang rugi RM12,700, telefon idaman pula tak dapat

    Pekerja kilang rugi RM12,700, telefon idaman pula tak dapat

    MOHD LAZIM ENDUT

    GARA-GARA terlalu berminat untuk memiliki telefon pintar jenis Iphone 11 Pro Max yang ditawarkan dengan harga RM1,400, seorang wanita berusia 22 tahun akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM12,700 setelah terpedaya dalam urusan pembelian tersebut.

    Mangsa yang juga merupakan seorang pekerja kilang mula ditimpa nasib malang sejurus melihat satu tawaran iklan menerusi laman sosial Instagram pada hari Isnin.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa menghubungi penjual telefon tersebut melalui applikasi WhatApps dan bersetuju untuk membuat pembayaran pada harga ditawarkan menerusi akaun bank yang diberikan.

    Katanya, selepas bayaran dibuat, suspek turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

    Malah kata beliau, alasan diberikan suspek menyebabkan mangsa membayar sehingga RM11,300 (tambahan) melalui enam transaksi pembayaran.

    “Akhirnya, mangsa mula curiga dan ingin membatalkan pembelian tersebut setelah suspek terus menyuruhnya membuat bayaran.

    “Selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek dan mengesyaki panggilan telah disekat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ekoran kejadian itu kata Mohd Wazir, mangsa bukan sahaja gagal menerima telefon idamannya, tetapi terpaksa berputih mata kerana wang pembayarannya juga lesap.

    “Berikutan itu, semalam mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan,” ujarnya.

    Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

  • Lelaki guna forklift pecah masuk pasar raya, bawa lari 30 telefon bimbit

    Lelaki guna forklift pecah masuk pasar raya, bawa lari 30 telefon bimbit

    SEORANG lelaki nekad memecah masuk sebuah pasar raya dengan melanggar pintu kaca premis itu menggunakan jentera pengangkut barang atau ‘forklift’ sebelum melarikan 30 telefon bimbit dalam satu kejadian di Kompleks Tok Arau, Perlis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian pecah masuk itu berlaku pada pukul 4.06 pagi dan berlaku dalam tempoh 15 minit sahaja.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat seorang lelaki memandu sebuah ‘forklift’ milik pasar raya terbabit sebelum melanggar pintu masuk kaca sehingga ia terbuka.

    “Suspek kemudian masuk dan menggeledah kedai telefon bimbit dan aksesori yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pasar raya.

    “Dia kemudian mengumpil rak kaca kedai itu lalu mencuri 25 telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nanda berkata, suspek kemudian naik ke tingkat satu pasar raya dan menuju ke sebuah lagi kedai telefon bimbit dan aksesori.

    Ujarnya, lelaki itu turut mengumpil dan mencuri lima telefon bimbit yang dihantar pelanggan untuk dibaiki dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM600.

    “Suspek kemudian melarikan diri dan kejadian hanya disedari jam 9.15 pagi semasa pengawal keselamatan masuk untuk memulakan tugasnya,” katanya.

    Sementara itu, Nanda memberitahu, pihaknya menganggarkan nilai kerugian berjumlah RM13,680.

    Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan perbuatan dilakukan oleh orang dalam dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.