Tag: teksi

  • Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing di seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun.

    Menurut APAD dalam kenyataan hari ini, langkah itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

    Menurut agensi itu pelanjutan tersebut terguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang telah mencapai had usia maksimum bermula 1 Jan tahun ini.

    Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin, menurut kenyataan itu.

    “Sehubungan itu, pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

    Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran.- BERNAMA

  • Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    SEORANG pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.

    “Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian…seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    Pemandu teksi wanita dituduh eksploitasi peminta sedekah lelaki

    SEORANG pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi seorang individu bagi tujuan meminta sedekah tahun lepas.

    Nurul Hidayah Md Nor, 30, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 Nov 2021, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali selain tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei untuk serahan dokumen. – BERNAMA