Tag: tekong darat

  • 42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    POLIS menahan 42 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak dipercayai disembunyikan seorang tekong darat dalam satu serbuan di sebuah rumah bandar atau townhouse di Cyberjaya pada 11 Dis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata risikan awal mengesyaki rumah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah namun hasil serbuan telah menemukan 42 warga Indonesia dipercayai disembunyikan selama tiga hari di ‘rumah transit’ itu.

    Beliau berkata kesemua warga asing itu dibawa secara berasingan sejak 9 Dis dengan menaiki kenderaan e-hailing supaya pergerakan mereka tidak dapat dihidu oleh pengawal keselamatan dan penduduk lain.

    “Ketika serbuan dibuat (11 Dis), seorang tekong darat warga tempatan berusia 42 tahun berjaya melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang (rumah) sebelum berjaya diberkas di kawasan Dengkil semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata dalam serbuan itu polis turut menemukan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram serta wang tunai RM7,000 dan hasil siasatan mendapati 42 warga asing itu sepatutnya keluar dari negara ini melalui jalan air pada 11 Dis, sama ada melalui Bagan Lalang atau Pantai Tanjung Rhu.

    Beliau berkata tekong darat itu direman selama empat hari sehingga 17 Dis bermula semalam manakala kesemua warga asing direman selama 14 hari bermula 11 Dis.

    Sementara itu dalam kes berasingan, Wan Kamarul Azran berkata empat lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes curi dan leraikan komponen kenderaan di Cyberjaya.

    Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan lama yang telah lama diparkir di kawasan kondominium, dan kemudian ditunda ke bengkel untuk dileraikan, dengan sebahagian komponen kenderaan serta rangkanya dijual di kedai lusuh.

    Katanya, kes berkenaan rentetan daripada satu laporan polis diterima pada 5 Dis berhubung kehilangan kenderaan jenis Proton Satria, dan hasil risikan serta serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang telah dileraikan melibatkan enam kenderaan dicuri di kawasan Cyberjaya.

    Menurut beliau, dua tangkapan dibuat di Cyberjaya pada 5 Dis, diikuti tangkapan ketiga di Klang dan keempat di Sepang pada 13 Dis dan kesemua suspek berumur 26 tahun hingga 38 tahun itu ditahan reman sehingga hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    LAPAN warga Myanmar dipercayai baru tiba di negara ini ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong yang membawa semua warga Myanmar itu ke pasar borong berkenaan pagi ini.

    “Kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, mereka ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

    Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai.

    Menurut Yahaya dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 18 warga asing kerana positif dadah.

    Beliau berkata sebanyak 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala bagi membanteras pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dadah dan gengsterisme itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Sementara itu, Jalaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi bersepadu dan pemeriksaan bagi memastikan premis-premis di sekitar ibu kota mematuhi syarat lesen perniagaan.

    “Dalam operasi hari ini, sebanyak tiga premis perniagaan di pasar borong ini disita kerana disewakan dan diuruskan oleh warga asing,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya menasihatkan pemilik premis perniagaan agar tidak mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja atau menyewakan premis perniagaan yang diberikan DBKL dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu melanggar syarat berkenaan.- BERNAMA