Tag: tebatan banjir

  • 10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    10,000 ketua isi rumah terima bantuan khas banjir Januari ini – MB Terengganu

    BANTUAN Khas Tunai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Terengganu dijangka mula diagihkan pada Januari hingga Februari depan.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana pihaknya perlu meneliti serta mendapatkan senarai mangsa daripada jabatan serta agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.

    Beliau berkata 10,000 KIR dijangka akan menerima bantuan itu bagi meringankan beban selepas mengalami kerugian harta benda akibat banjir teruk bermula 18 Dis lepas.

    “Mekanisme (bantuan) adalah seperti amalan sebelum ini iaitu secara tunai untuk ringankan beban mangsa,” katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini, hari ini.

    Menurutnya bagi bantuan selain wang tunai, ia akan diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada kerajaan negeri, dan ketika ini kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir bagi membolehkan mangsa dapat pulang ke rumah dengan selamat.

    “Paling penting semua mangsa dapat pulang ke rumah, untuk seminggu ini fokus kepada kerja pembersihan dahulu. Keperluan lain akan diteliti oleh JPKK masing-masing kerana masalah setiap orang tak sama,” katanya.

    Sementara itu Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata beliau akan memohon supaya kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring Fasa Dua bagi mengatasi masalah banjir teruk di kawasan Kuala Nerus.

    Katanya projek fasa satu yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini juga perlu kepada penambahbaikan bagi menghadapi banjir luar jangka seperti yang berlaku minggu lepas.

    “Banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah. Projek tebatan yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sebelum ini adalah berdasarkan keadaan lama.

    “Berdasarkan situasi semasa perlu ada penambahbaikan untuk tebatan lama. Insya-Allah JKR dan JPS akan cari jalan untuk selesai perkara ini,” katanya. – BERNAMA

  • Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    Tujuh projek tebatan banjir bernilai RM259.5 juta akan dilaksana di Pulau Pinang

    KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM259.5 juta bagi melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pulau Pinang  yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

    Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata daripada tujuh projek berkenaan, enam adalah projek sambungan RTB manakala satu projek baharu yang akan membawa pelbagai manfaat kepada penduduk, khususnya dalam menangani isu banjir kilat di negeri ini.

    “Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui agensi pelaksana termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan tujuh projek tersebut yang kini masih dalam pelbagai fasa kerja antaranya proses pelantikan perunding bagi reka bentuk terperinci, kerja ukur, penyiasatan tanah, panggilan tender kerja dan tempoh pembinaan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke RTB Pondok Upeh/Sungai Burong, di sini hari ini.

    Beliau berkata antara RTB yang sedang dilaksanakan ialah RTB Lembangan Sungai Pinang membabitkan kos RM150 juta, RTB Sungai Kechil (RM16.8 juta), RTB Pondok Upeh/Sungai Burong (RM10 juta) RTB Sungai Dua melibatkan peruntukan RM45 juta dan kesemua projek tersebut dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

    Selain itu, KASA juga sedang menjalankan kajian keberkesanan RTB di Pulau Pinang yang akan dijadikan projek perintis bagi projek RTB di seluruh negara dalam usaha memastikan pelaksanaan lancar dan impaknya memberi manfaat kepada rakyat.

    “Menerusi kajian itu, Pulau Pinang akan menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk projek RTB dan kita dapat membuat penilaian serta penambahbaikan untuk projek (RTB) di negeri lain berdasarkan kajian tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Mansor berkata RTB Pondok Upeh/Sungai Burung yang dilawatinya hari ini dijangka dilaksanakan pada tahun depan dengan kos keseluruhan RM10 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di penempatan penduduk kawasan Sungai Burong, Kampung Pondok Upeh, Jalan Lintang Pondok Upeh, Jalan Genting, Jalan Balik Pulau dan Kampung Pulau Betong.

    Katanya selain itu, RTB Teluk Kumbar membabitkan nilai RM10 juta yang dilaksanakan pada 2019 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober yang akan dapat menangani masalah banjir yang sering dihadapi kira-kira 80,000 penduduk di Kampung Nelayan, Kampung Sulup, Kampung Paya dan Kampung Masjid.

    “Pelaksanaan kedua-dua projek RTB itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berisiko banjir, malah ia juga dapat mengurangkan perpindahan penduduk sehingga 80 peratus,” katanya sambil berharap kerosakan harta benda akibat banjir juga dapat dikurangkan melalui pelaksanaan projek RTB tersebut.- BERNAMA