Tag: tawau

  • Penerbangan sehala KL-Tawau 20 Apr RM5,437, lebih mahal tiket ke Sydney – laporan

    Penerbangan sehala KL-Tawau 20 Apr RM5,437, lebih mahal tiket ke Sydney – laporan

    TIKET penerbangan kelas ekonomi bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 20 April ini menjangkau RM5,437, kata laporan.

    Memetik laporan Berita Harian, harga tiket itu dikenakan sebuah syarikat penerbangan tempatan pada 20 April ini, menjelang Aidilfitri.

    Semakan dibuat portal itu di laman tempahan dalam talian, mendapati harga berkenaan ditetapkan untuk penerbangan pada pukul 8 pagi.

    Lebih melampau, penerbangan itu bukanlah untuk perjalanan tanpa henti, antara kedua-dua destinasi, sebaliknya pesawat akan transit di Kota Kinabalu selama empat jam.

    Biarpun memaparkan beberapa pilihan pada laman sesawang terbabit, kadar tiket paling rendah dikenakan pada tarikh berkenaan adalah berharga RM2,222 iaitu untuk penerbangan tanpa henti pada pukul 9.05 malam.

    Semakan lanjut bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak pula, kadar maksimum yang dikenakan untuk tarikh sama adalah pada harga RM3,114 bagi kelas ekonomi, perjalanan sehala pukul 8.55 pagi.

    Tambang paling rendah bagi laluan serupa ditetapkan pada harga RM629 untuk seorang penumpang.

    Kadar tiket yang ditetapkan untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak itu dilihat lebih mahal berbanding tambang tiket sehala dari Kuala Lumpur menuju ke Sydney, Australia.

    Sementara itu, bagi penerbangan ke Sydney untuk tarikh 20 April ini, tambang yang dikenakan ialah pada RM1,835, untuk perjalanan sehala.

    Terdahulu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menerusi ciapan di Twitter mempertikai harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah yang disifatkan terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.

    Beliau mendakwa, hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.

    Beliau dilaporkan berkata, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah kekerapan penerbangan selagi ada kemampuan kerana tiada lagi sekatan had penumpang sebanyak 50 peratus ketika COVID-19 dikenakan.

    Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.

  • 6 termasuk pegawai, anggota polis dituduh bunuh pemandu e-hailing

    6 termasuk pegawai, anggota polis dituduh bunuh pemandu e-hailing

    ENAM pegawai dan anggota polis termasuk seorang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, dekat sini, 13 Januari lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, tertuduh, Rosdi Rastam, 44; Denis Anat Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34, masing-masing dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.

    Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka dituduh dengan niat membunuh Nurman Bakaratu, 61, yang juga seorang pemandu e-hailing antara 7.30 malam hingga 10.30 pada 13 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Turut didakwa Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama atas pertuduhan bersubahat dengan Rosdi, Denis, Fabian, Khairul, Mohd Azlan, dan Vivien untuk membunuh Nurman Bakaratu pada tarikh, lokasi dan masa yang sama.

    Bagaimanapun, tiada tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad (Ketua); Khairul Azreem Mamat; Muhammad Ilmami Ahmad; Rohaiza Abdul Rahman dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

    Peguam Chen Wen Jye, Ram Singh dan Kimberly Ye mewakili Khairul Azman, sementara Kamarudin Chengki dan Timothy Daut mewakil Rosdi Rastam.

    Dalam pada, Majistret Dzul Elmy turut membenarkan permohonan bon jaminan mahkamah terhadap dua lagi pegawai polis, Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah serta seorang awam, Shim Vui Nyen sebagai saksi pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

  • Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    SEPASANG suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di Tawau tengah malam tadi.

    Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya, Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diatur gerak ke lokasi.

    “Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

    “Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

    “Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasoni Basiah, 34, berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

    “Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

    Nur Anita Saddu, 30, pula berkata, dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

    “Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

    Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata, dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

    “Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

  • Polis rampas syabu lebih RM10 juta di Tawau

    Polis rampas syabu lebih RM10 juta di Tawau

    POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas 303.15 kilogram (kg) dadah jenis Syabu bernilai RM10.91 juta ketika cuba meloloskan diri di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, Isnin lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata hasil maklumat awam, polis mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu suspek berusia 49 tahun di kawasan Membalua, Batu 10 di sini pada 7.30 malam dan mengejar hingga Kampung Batu Payung sebelum berjaya menahan lelaki terbabit.

    “Pemeriksaan awal dalam kenderaan suspek menemukan 12 beg berisi 290 bungkusan hijau (bertulis Guanyinwang)  mengandungi Syabu, selain turut ditemukan wang tunai RM5,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

    Beliau berkata polis mengesahkan turut merampas sepucuk senapang angin dan menyita harta milik suspek bernilai RM147,284.57 termasuk wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 dan sebuah kenderaan.

    Idris berkata dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke daerah ini melalui jalan laut dan siasatan masih dijalankan sama ada dadah itu untuk pasaran tempatan atau Tawau hanya dijadikan lokasi transit dadah. 

    “Pihak polis juga menyiasat dan akan menjejaki saki-baki kumpulan berkait rapat kes ini, jika ada, polis Sabah juga meminta bantuan daripada ibu pejabat (Bukit Aman) untuk maklumat berkaitan sindiket dadah yang dibawa masuk dari luar,”  katanya.

    Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari hingga 15 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

    Sementara itu, Idris berkata Polis Sabah menahan 5,174 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan daripada jumlah itu sebanyak 550 orang adalah pengedar dadah yang disiasat di bawah Seksyen 39B, seksyen 39A(2) serta Seksyen 39A(1).

    Beliau berharap agar orang ramai terus memberikan kerjasama menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah dadah di kawasan masing-masing.- BERNAMA