Tag: tawaran kerja

  • Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    Bekas pemandu e-panggilan ditahan bersama dadah lebih RM6 juta

    POLIS menahan seorang bekas pemandu e-panggilan bersama sejumlah 170.58 kilogram (kg) dadah bernilai RM6.14 juta di sebuah rumah sekitar Subang Jaya, pada Rabu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata suspek berusia 49 tahun itu, ditahan pada jam 3 petang di rumah sewa yang dijadikan sebagai tempat simpanan dadah, dan kejayaan itu hasil risikan pihaknya selama seminggu.

    “Kita mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan rumah judi dan lelaki itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Sasikala Devi berkata dadah yang dirampas itu terdiri daripada 166 bungkus plastik dengan 111 bungkusan berlabel teh cina manakala 55 bungkusan plastik lutsinar, yang kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

    Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dianggarkan bernilai RM18,000.

    Sasikala Devi berkata suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif dan pihaknya masih menyiasat sama ada suspek tersebut terlibat dengan sindiket dadah lain.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan kerja di media sosial yang menawarkan pendapatan lumayan, tetapi proses pengambilan dan urusan kerja dibuat tanpa berjumpa dengan majikan.

    Beliau berkata ini kerana terdapat laporan yang diterima pihaknya menunjukkan ia merupakan salah satu strategi untuk merekrut pengedar dadah dengan tawaran gaji sehingga RM7,000 ke RM8,000 sebulan. – BERNAMA

  • Sindiket penipuan tawaran kerja babit kerugian RM843,996 tumpas

    Sindiket penipuan tawaran kerja babit kerugian RM843,996 tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian RM843,996 yang beroperasi di premis kediaman di Cyberjaya dalam satu serbuan pada 2 Ogos (Selasa).

    Dalam serbuan di Cyberjaya itu, lima individu berumur 17 hingga 32 tahun termasuk seorang warga asing ditahan selain lima komputer riba dan lima telefon bimbit turut dirampas.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam sidang media di sini hari ini berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi beberapa bulan lepas dan mangsa sindiket dikatakan perlu menjadi jurujual produk dengan tawaran gaji lumayan dan komisen sampingan.

    Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membuat iklan tawaran kerja di laman Facebook dan Instagram dan apabila terdapat mangsa memohon kerja, sindiket akan memberi tugasan kepada mangsa untuk menjual produk daripada syarikat dalam talian yang dicipta oleh sindiket.

    Bagi setiap produk yang berjaya dijual, mangsa kononnya akan menerima 10 peratus komisen dan ia diterima sehingga tiga kali pembayaran.

    Wan Kamarul Azran berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti mendakwa tidak menerima komisen seperti yang dijanjikan manakala pelanggan yang membeli turut mendakwa tidak menerima sebarang produk.

    Beliau berkata sindiket itu menggunakan 22 akaun keldai bagi transaksi penjualan produk tidak wujud, serta telah melibatkan 31 mangsa yang terdiri daripada ‘rekrut dan pelanggan’ hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM843,996.

    “Kerugian tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan seorang pelajar universiti dari Cheras iaitu sebanyak RM49,000 serta 22 akaun keldai berkenaan juga dalam proses dibekukan dan pemilik akaun itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

    Wan Kamarul Azran berkata kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam (3 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

  • Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    SEORANG lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

    Pemuda berusia 27 tahun dari Senawang itu mula terjebak dengan sindiket tersebut setelah selepas melihat satu iklan di media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan itu dengan seorang wanita dikenali Ainnie pada 29 Ogos lalu.

    Namun katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

    “Mangsa yang berminat kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat itu dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

    Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.