Tag: tawaran

  • Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    Keputusan permohonan lulusan STPM ke UA diketahui hari ini

    KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) sesi 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setarafnya diumumkan secara dalam talian mulai 12 tengah hari ini hingga 25 Sept ini, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    KPT memaklumkan semakan status permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://jpt.utm.myhttp://jpt.uum.edu.myhttps://jpt.unimas.myhttp://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

    Menurut kenyataan KPT itu, setiap pemohon yang berjaya boleh mencetak pengesahan setuju terima dan tawaran serta surat tawaran mulai esok hingga 25 Sept.

    “Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA kepada pemohon yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan,” menurut kenyataan KPT tersebut.

    Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline Rayuan di http://upu.moe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai hari ini hingga sehingga 25 Sept.

    “Tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad.

    “Sebarang permohonan pertukaran program serta universiti adalah tidak dibenarkan, manakala dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi BKPA JPT di talian 03-8870 8200 atau e-mel kepada [email protected] atau melayari media sosial Facebook (KEMASUKAN BPKP JPT), Instagram (@KEMASUKANBkpa), sistem maklum balas https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/ serta UPUChat http://upu-chat.ml/UPUChat/UPU_DaftarMasuk.- BERNAMA

  • Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    Polis Melaka terima 48 laporan tawaran kerja tidak wujud

    POLIS Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Ogos lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata penipuan berkenaan melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

    Beliau berkata suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

    “Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan ‘rating’ perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

    “Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata selain itu, sindiket juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

    Katanya kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

    Sundra Rajan berkata kes terbaru dilaporkan melibatkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

    Beliau berkata wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini telah membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lepas.

    “Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan ‘rating’ peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lepas, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Katanya orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA