Tag: tawar diri bertanding

  • Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilapor mempertimbangkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan ditawarkan menjadi menteri besar sekiranya menang, lapor The Star.

    Laporan itu bagaimapun tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran itu.

    “Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” kata Khairy dalam pertemuan dengan Kelab Concorde, kumpulan tidak rasmi pengarang dan wartawan kanan yang diketuai oleh Wong Chun Wai.

    Bagaimanapun, Khairy masih belum memutuskan perkara itu. Pilihan raya negeri (PRN) Selangor perlu diadakan tahun ini.

    “Sekiranya saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya negeri, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya.

    “Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi,” katanya.

    Khairy menyifatkan PRN akan datang sebagai “peluang baik” tetapi menjelaskan bahawa dia belum memutuskan sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan satu lagi pilihan raya.

    Semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu, Khairy tewas di Parlimen Sungai Buloh.

    Sebelum ini, Khairy adalah ahli parlimen Rembau selama tiga penggal. Beliau juga pernah menjadi anggota Kabinet di bawah tiga perdana menteri.

    Khairy dipecat daripada UMNO pada 28 Jan tanpa sebarang alasan rasmi. Difahamkan, beliau dipecat ekoran mengkritik kepimpinan parti ketika kempen PRU15.

    Sementara itu, Khairy berkata beliau tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baharu kerana Malaysia ketika ini “agak tepu” dengan parti politik.

    “Walaupun ia adalah satu pilihan, ia tidak mungkin,” katanya.

  • Pemilihan UMNO: Hasni tawar diri tanding jawatan Naib Presiden

    Pemilihan UMNO: Hasni tawar diri tanding jawatan Naib Presiden

    BEKAS Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad mengesahkan beliau bakal bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO pada Pemilihan Parti 2023.

    Menurutnya, beliau menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan kerana masih mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti itu.

    “Saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden kerana itulah jawatan yang boleh dipertandingkan waktu ini.

    “Saya percaya ramai juga tokoh lain, selain penyandang Datuk Seri Khaled sebagai Naib Presiden, atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti di semua peringkat. Maka dengan itu saya menawarkan diri untuk bertanding,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengumumkan hasratnya bertanding Naib Presiden UMNO selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di Johor Bahru, hari ini.

    Selain Hasni, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengesahkannya bakal mempertahankan jawatannya selaku Naib Presiden.

    Dua lagi penyandang Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Terdahulu, majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO memutuskan pencalonan untuk peringkat bahagian dan pusat akan dibuka pada 13 hingga 26 Februari ini.