Tag: tawan Selangor

  • Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus mengambil-alih kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 tidak lama lagi melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat negeri itu.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu tidak mustahil berdasarkan trend peningkatan keahlian baharu Pas disokong dengan momentum “Gelombang Hijau” pada Pilihan Raya Umum Ke-15 November lalu.

    Menurutnya, buat masa inipun sempena bulan Ramadan, Pas cawangan-cawangan sedang giat menerima borang keahlian baru terutama dikalangan anak-anak muda yang berminat bersama perjuangan parti itu.

    “Sekiranya trend keahlian baru Pas ini semakin meningkat ditambah dengan momentum “Gelombang Hijau” yang dimaksudkan, tidak mustahil melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat Selangor, PN mampu menumbangkan PH dan mengambil-alih kerajaan negeri dalam PRN Selangor ke 15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor menerima 404 keahlian baharu daripada 4,179 keahlian baharu Pas seluruh negara bagi tempoh Febuari ke Mac tahun ini.

    Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 76 ahli baharu berbanding tempoh Januari ke Febuari 2023 di mana Pas Selangor ketika itu mencatatkan keahlian baru seramai 328 orang.

    “Ternyata keinginan rakyat Selangor menyokong dan menyertai Pas semakin memuncak selepas berlaku “Gelombang Hijau” pada PRU Parlimen ke 15 pada 20 November 2022 baru-baru ini.

    “Dalam PRU berkenaan Perikatan Nasional telah memenangi 6 kerusi Parlimen dan 3 daripadanya melalui wakil Pas.

    “Rata-rata rakyat Selangor dilihat lebih yakin dan bersedia memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN hasil dari kemampuan Pas melahirkan pimpinan yang berkualiti, berintegriti dan memiliki nilai moral yang tinggi,” tambahnya.

  • Misi tawan Selangor bermula

    Misi tawan Selangor bermula

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    MENTERI Besar Selangor telah pun mengisytiharkan bahawa ADUN Umno Selangor adalah sebahagian daripada Kerajaan PH Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri Jun ini.

    Bermakna Ahli-ahli DUN Umno Sg Air Tawar (Datuk Rizam), Sg Panjang (Datuk Imran), Hulu Bernam (Datuk Rosni), Sg Burong (Datuk Samsuddin) dan Semenyih (Hj Zakaria) kini dikira sebahagian dari Kerajaan PH Selangor yang Menteri Besarnya dari PKR dan Exconya ada PKR, DAP dan PAN.

    Bagi para pengundi Melayu di Selangor termasuklah anak-anak muda yang telah mencetuskan ‘Gelombang Hijau‘ dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini hingga memenangkan PN di Hulu Selangor (dalamnya DUN Hulu Bernam), Sabak Bernam (dalamnya DUN Sg Air Tawar), Sg Besar (dalamnya DUN Sg Panjang), Tg Karang (dalamnya DUN Sg Burong), Kapar dan Kuala Langat sedarlah bahawa dalam PRN Selangor ke-15 nanti Umno akan bekerjasama dengan PH dan akan lawan PN. Pimpinan Umno sanggup dan tergamak lawan PAS.

    Dulu Umno minta kita tolak DAP tolak PKR. DAP dikatakan ekstremis, rasis menentang agenda Melayu Islam manakala PKR pula liberal dan sanggup bersekongkol dengan DAP. Tapi hari ini mereka pula sudah berkawan.

    Dulu gandingan PAS dan Umno atas nama MN telah menumbangkan PH di PRK Semenyih hasil kesedaran politik umat Melayu Islam. Hari ini Umno memilih bersama PH yang kita tumbangkan.

    Agenda memperjuangkan nasib dan masa depan serta mempertahankan hak umat Melayu Islam hari ini nampaknya cuma digalas PN yang dalamnya ada PAS dan BERSATU.

    Kita mahu umat Melayu Islam memimpin dengan bermaruah dan berdaulat di tanah airnya sendiri. Kehidupan dan kebajikan anak-anak bangsa yang miskin dan merempat mesti dibela dan dipulihkan segera. Rasuah kepincangan dan salah guna kuasa mesti ditentang.

    Agama Islam yang menjadi pegangan kita mesti dimulia dan dimartabatkan sebagai asas kekuatan kita dunia hingga akhirat. Melaluinya kita lahirkan pimpinan anak-anak Melayu yang bertaqwa, berwibawa dan penuh berintegriti.

    Dalam waktu yang sama kita berikan hak dan keadilan pada sahabat-sahabat kita masyarakat bukan-Melayu terutama yang dipinggirkan.

    Kita tidak mahu DAP yang berfahaman sekular itu menentukan arah tuju kehidupan kita. Itulah punca No DAP dulu, malangnya Umno seakan telah lupa.

    Kita tidak mahu agenda liberalisma, pluralisma dalam beragama yang dijaja PH merosakkan masa depan ummah.

    Lalu kita kesal kawan-kawan kita dalam Umno yang dulu bersama kita membina dan memperkasakan politik Penyatuan Ummah, mengangkat dan memperkuatkan kuasa politik umat Melayu hari ini memilih bersama PH yang didominasi DAP.

    Kita sedar umat Melayu Islam termasuklah di Selangor rata-rata lebih cenderung pada politik Penyatuan Ummah, inilah arus yang telah melonjakkan ‘Gelombang Hijau’ kebangkitan kesedaran politik umat Melayu Islam. Ahli-ahli biasa Umno yang selesa dan cenderung MN juga ramai, lebih matang dari pimpinan tertinggi mereka di WTC.

    Lantas jika Umno telah muktamad memilih PH dan DAP, meninggalkan perjuangan keramat ini maka suka tidak suka perjuangan ini akan kita diteruskan.

    Gelombang ini akan terus kita pacu dan pastikan bergelora, oleh kerana pimpinan tertinggi Umno telah memilih meninggalkannya maka kekuatan gelombang ini yang kita bangkitkan dahulu untuk melanggar PH dan DAP insya-Allah kini akan kita gunakan untuk melanggar Umno sekali, bersama ahli-ahli mereka yang sedar.

    PAS Selangor akan bekerja kuat sebagaimana kita bekerja di PRK Semenyih dahulu, kali ini untuk menawan Sg Air Tawar, Sg Panjang, Sg Burong dan Hulu Bernam kerana bagi kita jelas No PH, No DAP, No PKR dan kini No Umno.

    “Selangor BEST PN BEST“
    “Tumbang PH”

    Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor

  • Sertai Bersatu, tawan Selangor atau Negeri Sembilan, KJ boleh jadi MB

    Sertai Bersatu, tawan Selangor atau Negeri Sembilan, KJ boleh jadi MB

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin boleh menjadi Menteri Besar sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan sekiranya menyertai Bersatu dan membantu Perikatan Nasional (PN) merampas negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

    Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin kebolehan dan populariti Khairy atau KJ akan membolehkan PN menguasai Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Kehadiran Khairy mampu mewujudkan satu gelombang baharu kepada anak muda, khususnya pengundi atas pagar, bagi memberikan undi kepada PN dan berupaya memberi kemenangan merampas kedua-dua negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

    “Kalau UMNO anggap Khairy sebagai beban, tetapi Bersatu kita anggap dia satu kelebihan yang mampu mencetuskan gelombang baharu dalam politik Malaysia. Jadi kita sedia terima Khairy, kalau dia sedia terima lamaran kita.

    “Tawaran masuk Bersatu? Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah awal-awal mengalukan jika KJ mahu sertai parti kita. Tetapi tidak tahu bagi pihak beliau sendiri… itu kena tanya beliau,” katanya menurut Utusan.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang yakin Bersatu dan PN bersedia memberi laluan kepada Khairy membabitkan mana-mana satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor atau Negeri Sembilan jika beliau berminat untuk menyertai parti itu dalam masa terdekat.

    Kelmarin, Khairy dilaporkan mempertimbangkan untuk bertanding di DUN Selangor dan ditawarkan menjadi Menteri Besar sekiranya menang, bagaimanapun beliau tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran tersebut.

    Ketika ditanya intipati pertemuan dengan Khairy baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya orang ramai boleh menilai sendiri kenyataan bekas Menteri Kesihatan berhubung tawaran bertanding DUN Sela­ngor berkenaan.

    Beliau menjelaskan dalam temuramah itu, Khairy memaklumkan terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan me­ngenai tawaran itu.

    “Tetapi PN dan Bersatu sudah pasti bersedia berikan Khairy untuk bertanding sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan,” katanya.

    Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa PN sudah ketandusan pemimpin kerana menerima orang luar seperti Khairy untuk berada dalam parti.

    “Politik ini umpama perlawanan bola sepak… kita kena import pemain luar untuk menang. Begitu juga dengan Khairy. Bagi UMNO dia sudah tidak berguna, tetapi bagi PN amat berguna demi masa depan Malaysia,” katanya.

    27 Januari lalu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada UMNO bersama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin bahagian yang lain.

    Khairy yang dianggap pemimpin generasi masa hadapan ‘dicantas’ awal apabila tidak disenaraikan oleh Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Beliau diarah menyerahkan Parlimen Rembau yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang kerusi itu dan kini dilantik sebagai Menteri Pertahanan kerajaan PH-BN.

    Bagaimanapun, Khairy bertindak sendirian dengan bertemu MIC bagi memohon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, namun kalah kepada calon PH.

  • PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    PRN: PN rangka strategi tawan Selangor

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Selangor memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk membuat persediaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun depan.

    Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Shukri Omar berkata, kesemua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu adalah kawasan majoriti Melayu.

    Menurutnya, Pas Selangor turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali berjaya menawan tiga kerusi Parlimen iaitu Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

    “Jentera semakin bersemangat khususnya dengan suntikan motivasi kemenangan PN di enam kerusi Parlimen.

    “Kejayaan tersebut menunjukkan Selangor bukannya kubu kuat Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditanya berkenaan persiapan menghadapi PRN Selangor dijangka tahun depan.

    Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor pada PRU-15 lalu menyaksikan PH menang 16 kerusi sementara PN dengan enam kerusi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, PN akan terus fokus persiapan PRN ke arah menawan Selangor.

    “Gelombang sokongan anak muda kepada PN semakin baik dan strategi utama adalah menawarkan solusi dan inisiatif yang sesuai kepada anak muda.

    “Pelan tersebut telah dirangka bersama pemegang taruh dan dibentangkan pada masa yang sesuai, ” katanya lapor Sinar Harian.