Tag: tauliah

  • Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Ahad ini.

    Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    “Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

    “Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

    “Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya. – BERNAMA

  • Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti Setapak menjadi lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang dilihat semakin meningkat dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini.

    “Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan difahamkan Setapak ini adalah lubuk bagi doktor gigi palsu.

    “Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai doktor gigi tanpa tauliah ini, boleh kemukakan (maklumat) kepada KKM untuk kita lakukan serbuan. Saya beri jaminan sekiranya kita mendapat apa-apa laporan, pihak berkuasa akan terus membuat serbuan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik di sini hari ini.

    Beliau berkata pengamal perubatan pergigian haram yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pergigian 2018.

    Mengulas mengenai lawatan itu, Khairy berkata Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

    Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

    “Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini. 

    “Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

    Khairy berkata projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur. – BERNAMA