Tag: tarif elektrik

  • Tarif elektrik semua pengguna separuh tahun kedua 2022 kekal

    Tarif elektrik semua pengguna separuh tahun kedua 2022 kekal

    KERAJAAN mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 pada kadar yang sama dengan separuh tahun pertama 2022.

    Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini, kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan perkara tersebut walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.

    Pada awal tahun 2021, harga arang batu adalah sekitar US$80 se tan metrik (RM4.4655=US$1), namun pada pertengahan tahun 2022, ia telah mencecah US$400 se tan metrik. 

    “Sehubungan itu, kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik.

    “Kerajaan akan membayar jumlah RM5.8 bilion tersebut kepada syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya yang turut memaklumkan kenaikan kos penjanaan elektrik juga meningkatkan keperluan modal kerja TNB.

    “Sehubungan itu, kerajaan juga akan memberi jaminan pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi TNB menjana bekalan elektrik tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara,” katanya.- BERNAMA

  • Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat

    Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat

    KERAJAAN memberi jaminan tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata, tarif baharu itu juga akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

    “Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

    “Kerajaan telah mengkaji (perkara ini) dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah,” katanya sambil menambah tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diwakili oleh Bendahari KEMUDI, Nor Fazlina Abdul Rahim.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, lebih 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) akan memanfaatkan rebat 100 peratus secara sekali beri (one-off) bagi bil elektrik Disember.

    “Inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini dilihat dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan dalam musibah itu sejak 18 Dis lepas,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan kini dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan peralatan elektrik yang bertaraf empat atau lima bintang untuk menjimatkan tenaga elektrik.

    Beliau berkata, pengguna harus bijak memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga yang mempunyai label empat atau lima bintang yang diberikan penarafan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

    “Walaupun harga agak mahal sedikit, tetapi kerajaan kita menggalakkan penggunaan peralatan elektrik kategori ini (empat dan lima bintang) dengan memberikan rebat bernilai RM200 bagi setiap isi rumah.

    “Setakat ini lebih 1,100 pekedai dan peruncit yang telah disenaraikan bagi menebus rebat ini termasuk barang elektrik yang tersenarai yang boleh dilawati menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) Malaysia,” katanya. – BERNAMA