Tag: Tangkak

  • Pelajar buta mata kanan terkena serpihan bunga api

    Pelajar buta mata kanan terkena serpihan bunga api

    SEORANG pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pei Hwa di Sungai Mati, Tangkak buta mata kanan terkena serpihan bunga api ketika menyertai tarian singa, minggu lalu.

    Mangsa yang dikenali sebagai Hao, 18, menyertai rombongan tarian singa di penempatan sekitar daerah ini pada 30 Januari lalu.

    Menurut kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ying, 26, adiknya menyalakan bunga api sebagai sebahagian daripada persembahan di rumah terakhir kira-kira pukul 1 pagi.

    “Kami difahamkan adik menyalakan bunga api sebelum ia meletup, menyebabkan adik saya rebah dan mengalami kecederaan di muka.

    “Tuan rumah membawa adik ke Hospital Tangkak dan saya bergegas ke sana selepas dimaklumkan kira-kira pukul 2 pagi.

    “Selepas menjalani rawatan di situ, adik dirujuk ke Hospital Muar bagi rawatan susulan.

    “Saya diberitahu mata kanan adik cedera parah dan doktor menyatakan ia mungkin tidak dapat berfungsi hampir sepenuhnya,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Ying berkata, mata kiri adiknya selamat tetapi tetap perlu dipantau atas nasihat doktor.

    Walaupun Hao masih boleh melihat, keluarganya tetap berikhtiar dan merujuknya bagi menjalani pemeriksaan mata di hospital pakar di Kuala Lumpur.

    Ying mengakui berdepan kesulitan menanggung kos perjalanan ke ibu negara memandangkan mereka hanya keluarga sederhana manakala bapanya baru mengalami kemalangan jalan raya.

    “Saya tidak akan putus asa dan berharap masih ada peluang bagi adik saya demi masa depannya” katanya yang dalam proses memohon kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Hao.

  • Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    Kanak-kanak dua tahun antara tiga sekeluarga maut kemalangan

    KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Kilometer 44.5 Jalan Muar-Segamat, dekat sini, petang semalam. 

    Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian melibatkan dua kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan kelabu serta sebuah kereta Mazda itu pada 3.50 petang. 

    Beliau berkata Aarish Ammar Harunarashid, meninggal dunia di Hospital Tangkak manakala ibunya, Nor Haliza Hamzah, 36, dan neneknya Siti Fatimah Ladri, 71, maut di tempat kejadian.

    Bapa kanak-kanak itu, Harunarashid Ghazali, 34, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi berwarna hitam dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Tangkak menghala ke Segamat, dilanggar Perodua Myvi warna kelabu (arah bertentangan) yang mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapan, sebelum terbabas lalu masuk ke gaung.

    “Kereta dinaiki empat sekeluarga itu kemudian dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mazda yang cuba mengelak namun terlanggar bahagian belakang kereta mereka,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini. 

    Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta Myvi kelabu serta pemandu Mazda dilaporkan selamat.

    Proses bedah siasat jenazah ketiga-tiga mangsa dilakukan di Hospital Tangkak dan kes disiasat lanjut mengikut  Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II K. Kumar berkata pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan Siti Fatimah yang tersepit di dalam kereta manakala Nor Haliza dikeluarkan oleh orang awam sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan. 

    Beliau berkata operasi menyelamat yang melibatkan 15 anggota berserta dua jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) tamat sepenuhnya kira-kira 4.40 petang. – BERNAMA 

  • Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    Pengurus akaun mengaku tidak salah pecah amanah libatkan lebih RM2.5 juta

    SEORANG pengurus akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 114 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai dan cek bernilai lebih RM2.5 juta, antara Jun 2017 hingga November 2019.

    Mohd Reazal Mohd Yassin, 48, didakwa melakukan perbuatan itu ketika bekerja di syarikat pembuatan perabot di Kundang Ulu, Grisek, Tangkak.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.

    Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun Mohd Reazal yang tidak diwakili peguam, merayu agar jaminan dikurangkan memandang dia yang kini tidak bekerja, tidak sihat dan menanggung isteri serta ibu mentua yang sakit.

    Hakim Irwan Suainbon membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM1,000 setiap pertuduhan dan menetapkan 5 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA