Tag: tandatangan SD

  • Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    LEMBAGA Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen daripada gabungan itu yang dikenal pasti menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemantauan itu bertujuan untuk mengenal pasti sekiranya kumpulan 10 Ahli Parlimen terbabit terus menggerakkan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Beliau bagaimanapun memaklumkan sudah memaafkan semua 10 Ahli Parlimen BN yang bertindak menyokong Muhyiddin itu.

    “Oleh kerana perkara itu sudah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya nyatakan bahawa saya sudah memaafkan apa yang berlaku.

    “Jadi Lembaga Disiplin akan lakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada akan lakukan sebarang gerakan.

    “Tetapi saya yakin mereka akan bersama dengan UMNO dan BN serta mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya selepas merasmikan Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, lapor Berita Harian.

    Zahid ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 semalam mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Sumber pemimpin UMNO berkata, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dikatakan dari Johor.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya tindakan diambil 10 Ahli Parlimen terbabit disebabkan situasi politik ketika itu yang tidak menentu.

  • Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk enam daripada UMNO, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan membelakangkan atau mengkhianati parti.

    Beliau yang juga seorang daripada 10 Ahli Parlimen berkenaan menegaskan, tindakannya menandatangani SD menyokong Muhyiddin adalah selaras dengan naratif parti pada ketika itu.

    Jelas beliau, selepas UMNO dan BN memutuskan pendirian terakhir untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semua 10 Ahli Parlimen terbabit akur dengan terus menarik balik SD berkenaan.

    “Mengenai 10 Ahli Parlimen termasuk saya (menyokong Muhyiddin), ketika itu kita buat satu keputusan berdasarkan naratif parti. Apabila parti buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri dengan membatalkan SD dan mengikut keputusan parti.

    “Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti.

    “Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.

    “Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Selain Jalaluddin, mereka adalah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).

    Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, 10 Ahli Parlimen itu hanya boleh dianggap mengkhianati parti sekiranya mereka tetap kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas UMNO dan BN sudah memutuskan menyertai kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

    “Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan Presiden atau Timbalan Presiden. Kita kena teliti apa isi ucapannya, iaitu UMNO kena bergerak ke hadapan dengan satu konsep perpaduan dan solidariti.

    “Perkara yang sudah berlaku mesti dijadikan satu sempadan dan pengajaran untuk setiap pemimpin serta akar umbi supaya meletakkan parti sebagai satu keutamaan.

    “Ini ucapan yang lebih realistik, futuristik dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas,” katanya, lapor Berita Harian.