Tag: Tan Sri Mohd. Zuki Ali

  • Kementerian Wilayah Persekutuan kini Jabatan Wilayah Persekutuan bawah JPM

    Kementerian Wilayah Persekutuan kini Jabatan Wilayah Persekutuan bawah JPM

    KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan telah distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi hantaran di Facebook.

    Ini selepas beliau menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pagi tadi.

    Jelas Mohd Zuki, Jabatan Wilayah Persekutuan itu diterajui Ketua Pengarahnya iaitu Datuk Seri Rosida Jaafar.

    “Usai taklimat, saya turut bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

    “Majlis ini merupakan platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu-isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

    “Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Solehuddin Alyubi; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail,” katanya dalam hantaran tersebut.

    Perdana Menteri sebelum itu mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL, pagi tadi dan menjadi lawatan kerja pertama Anwar ke ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    Beliau hadir bagi mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL yang diadakan secara tertutup.

    Sebelum ini, sewaktu mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan, Anwar tidak menamakan portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan seperti dilakukan kerajaan-kerajaan terdahulu.

  • Perkhidmatan awam tidak terkesan situasi semasa – KSN

    Perkhidmatan awam tidak terkesan situasi semasa – KSN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEKTOR perkhidmatan Awam negara tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara dan akan diteruskan seperti biasa.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, perkhidmatan awam akan terus terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan.

    “Ini berikutan kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

    “Penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

    “Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa perkhidmatan awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan,” ujarnya.