Tag: Tambun

  • ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    ‘Saya tak ada banyak duit untuk buat poster gergasi macam Anwar,’ kata Peja

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mempunyai banyak duit untuk membuat poster gergasi seperti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PH) Perak berkata, beliau juga teringin untuk berbuat demikian sekiranya mempunyai duit.

    Menurutnya berpandangan, Anwar perlu membuat perkara seumpama itu untuk memperkenalkan diri kepada orang Tambun kerana beliau bukan berasal dari kawasan itu.

    “Dia perlu memperkenalkan diri dia. Kalau dia buat poster kecil, orang tak nampak. Jadi kena buat lebih besar dan dengan itu mungkin dapat menarik perhatian orang Tambun.

    “Itu kreativiti beliau, saya meraikan usaha-usaha ini. Beginilah kita berkempen di dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Esports Youth Cabin Negeri Perak di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kehadiran beberapa poster ‘gergasi’ Anwar di tepi Lebuhraya Utara Selatan dan berhampiran pintu gerbang Gugusan Manjoi.

    Poster di Gugusan Manjoi yang terpampang sosok Presiden PKR itu disifatkan begitu unik dan besar dengan ketinggiannya dikatakan melebihi bangunan dua tingkat.

    Mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan posternya malam tadi, Ahmad Faizal yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tambun berharap, ia tidak akan berulang.

    “Kita menghargai demokrasi, kita menghargai kepelbagaian pendapat dan kita menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih.

    “Namun kalau kita masih ada sikap seperti tidak faham proses demokrasi, tiada semangat demokrasi dalam pilihan raya ini, tentu ia akan mengundang kepada ketidakstabilan politik kerana apabila kita melakukan sesuatu, tentunya ada reaksi daripada pihak yang lain.

    “Kalaulah dalam kalangan penyokong saya pula yang berada dalam berasa marah kerana keadaan itu berlaku, ia tentu akan mengundang masalah lain,” ujarnya.

    Penyandang Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.

    “Namun saya ingin katakan kepada mereka yang telah merosakkan bukan saja poster saya, juga poster pesaing saya, perlulah kita jaga dengan baik dan tidak dirosakkan.. kerana akhirnya kita nak serahkan kebijaksanaan kepada rakyat,” tambahnya.

    Menurutnya, tindakan merosakkan poster calon lain itu tidak semestinya memberi impak negatif kepada calon tersebut, sebaliknya ia mungkin mendapat simpati daripada orang ramai.

    Beliau juga menyerahkan kepada pihak bilik gerakan yang berkenaan untuk membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Saya pula tak ada duit banyak nak buat banner baharu, jadi itulah, nak kena tunggu tengok kalau ada duit lebih, nak kena tempah yang baharu,” katanya, lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun ujarnya, beliau tidak risau kerana yakin orang Tambun telah mengenalinya.

  • Ahmad Faizal nafi naikkan papan iklan sebagai bahan kempen

    Ahmad Faizal nafi naikkan papan iklan sebagai bahan kempen

    TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau yang menaikkan beberapa papan iklan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di sekitar Tambun tetapi ia sebaliknya dilakukan oleh penyokongnya.

    Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun itu berkata beliau tahu dan mengenali pihak yang menaikkan papan iklan itu malah sudah memberitahu supaya tidak menyertakan perkataan PN kerana bukan sebahagian daripada kempen parti.

    “Saya fikir ia sesuatu yang ‘bijak’ dan harap ia sekadar untuk menambah warna semasa kempen ini. Walaupun nampak seperti menyindir tetapi sebahagian kita berpolitik tanpa perlu serangan peribadi dan sebagainya.

    “Saya suka cara itu sebab beri sedikit elemen keseronokan, saya rasa okay sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Kelompok PN di Meru Perdana di sini malam tadi.

    Ditanya mengenai dakwaan orang ramai berhubung kos bagi pemasangan dan pertukaran papan tanda sekitar Tambun yang dianggap membazir, beliau berkata ia bukan daripada parti atau dirinya sendiri kerana terdapat had perbelanjaan yang ditetapkan untuk berkempen mengikut peraturan.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mempertikaikan saingannya yang menaikkan papan iklan di lebuh raya yang dipercayai melibatkan kos ratusan ribu selain pemasangan bendera yang terlalu banyak di kawasan awam.

    Baru-baru ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Ahmad Faizal menaikkan beberapa papan iklan di sekitar Tambun sebagai bahan kempen PRU15.

    Papan iklan itu antaranya memaparkan wajah Ahmad Faizal diiringi kata-kata ‘Never Lost In Tambun’, yang telah diturunkan dan digantikan dengan papan iklan baharu dengan tulisan ‘Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m’ dipercayai disasarkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

    Ia dikatakan sebagai respons kepada sebuah papan iklan dengan gambar Anwar dan tulisan ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ yang dinaikkan di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian dan sebelum ini, papan iklan menunjukkan gambar Ahmad Faizal dengan sindiran berkenaan sebutan ‘air’ dalam loghat Perak yang memaparkan kata-kata ‘Ayor bukan Ayaq’ tular di media sosial.

    Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kempen hari ketiga semakin rancak dengan pasukan melakukan lawatan rumah ke rumah termasuk menziarah penduduk yang sakit serta kerja pemasangan bendera parti selain memaklumkan akan melancarkan tambahan manifesto bagi negeri Perak yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Beliau yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Tambun berdepan Anwar mewakili PH dan Ketua UMNO Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang mewakili BN serta Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.— BERNAMA

  • ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    “SAYA tidak akan lari ke mana-mana, saya akan kekal (bertanding) di situ (Parlimen Tambun) walau badai taufan datang melanda,” kata penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Timbalan Presiden Bersatu itu berkata demikian bagi menegaskan pendiriannya yang dijangka berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, selepas gabungan itu mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

    Ahmad Faizal berkata jika PH menamakan Anwar, yang juga presiden PKR sebagai calon perdana menteri, beliau akan membawa dirinya sebagai anak jati yang akan berkhidmat untuk rakyat tempatan.

    “Yang penting bukan sebab Anwar Ibrahim, bukan sebab Peja (Ahmad Faizal). Yang pentingnya adalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 (FEMG22) di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini. 

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

    Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dalam ucapan penutup FEMG22 berkata beliau berharap agar golongan belia berusia 18 tahun ke atas dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada PRU15 ini.

    “Inilah masanya para belia memilih pemimpin yang menerajui pentadbiran negara. Saya percaya para belia cukup matang untuk melaksanakan tanggungjawab ini demi kepentingan serrta masa hadapan yang lebih gemilang.

    “Pilihlah pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi,” katanya.

    FEMG22 yang menyasarkan belia sektor awam di dalam dan luar negara dianjurkan sebagai platform dua hala antara pemimpin negara dan pemimpin muda sektor awam dalam menyuarakan pandangan bagi mencorak negara pada masa hadapan. – BERNAMA

  • Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    TINDAKAN berani Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal mengundang padah.

    Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    “Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menegaskan, untuk mengalahkan Presiden PKR itu juga bermakna, BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan di situ.

    Namun beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

    Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan PH termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

    “Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

    “Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

  • Papan iklan “ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun

    Papan iklan “ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun

    KERUSI Parlimen Tambun secara tiba-tiba menjadi tumpuan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di kawasan tersebut.

    Penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilihat memberi respons segera, serta sempat berseloroh mengatakan penduduk Tambun menyebut perkataan air sebagai ‘ayor’, dan bukannya ‘ayaq’, merujuk kepada Anwar yang berasal dari Pulau Pinang.

    Menariknya, sehari selepas Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut, satu papan iklan, memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan “Ayor bukan ayaq” dinaikkan di pekan Tambun.

    ‘Usikan’ sebegitu sebenarnya secara tidak langsung memberi isyarat bermulanya gelanggang pilihan raya, bukan sahaja di Tambun malah di seluruh Malaysia.

    Bagi beberapa penduduk Tambun yang ditemui, mereka mengakui sedikit teruja apabila kawasan mereka menjadi lokasi tumpuan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Tan Yan Kuan, 24, yang pertama kali mengundi mengakui seronok apabila Parlimen Tambun dilabel sebagai kerusi panas.

    “Rasa seronok jugalah bila pertama kali mengundi dan ada kerusi panas.

    “Tapi apa pun kita harapkan wakil rakyat nanti bantu selesaikan masalah terutamanya masalah tanah yang berbangkit di sini.

    “Selain itu, nasib anak muda juga perlu diberi perhatian supaya kita tidak mencari kerja di luar, hanya kekal di Tambun,” katanya kepada Astro AWANI.

    Pekebun limau Tambun, Tan Swee Keong pula mengakui terkejut apabila mendapat berita Anwar bakal bertanding di kawasan itu.

    “Bila dapat tahu, memang terkejut juga dan ada juga rasa seronok.


    “Harap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat tepati apa dikatakan beliau (bertanding di Tambun),” ujarnya.

    Bagi peniaga, M Gopal, siapa pun yang bertanding seolah-olah tidak membawa makna kerana sebagai rakyat, hidupnya tetap sama, perlu mencari wang sebaiknya saban hari.

    “Siapa pun, sama sajalah. Saya hari-hari kena kerja, kena cari duit juga untuk keluarga,” katanya.

    Kerusi Parlimen Tambun diramal panas kerana setakat ini, seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden dilaporkan sedia berentap di kerusi tersebut.