Tag: tambang

  • Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    Tambang percuma pada hari mengundi esok – Prasarana

    PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memberi tambang percuma sepanjang hari esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya.

    Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan tambang percuma itu meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti. 

    “Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka,” menurut kenyataan itu.

    Prasarana memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

    Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

    Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT, Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

    Menurut Prasarana tambang percuma itu bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.

    Untuk maklumat lanjut, rujuk laman media sosial Prasarana serta laman web https://myrapid.com.my. Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store untuk maklumat terkini serta bagi merancang perjalanan.

    PRU15 akan berlangsung esok. – BERNAMA

  • Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    BADLISHAH MAT

    TAMBANG pengangkutan feri dari Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis ke Terminal Feri Kuah di Pulau Langkawi, di sini naik antara RM3 ke RM11.50 berkuatkuasa esok.

    Bagaimanapun, harga tiket yang lebih murah dinikmati penduduk pulau pelancongan itu selama ini masih kekal iaitu RM15 untuk dewasa bagi perjalanan dari Kuala Perlis dan RM20 dari Kuala Kedah selain penumpang warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

    Mengikut kadar baharu, bagi penumpang warganegara yang melalui laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis, harga RM18 bagi dewasa dan RM13 kanak-kanak sebelum ini masing-masing naik RM3 menjadi RM21 dan RM16.

    Penumpang bukan warganegara pula akan dikenakan caj baharu RM27 (dewasa) dan RM19.50 (kanak-kanak) selepas tiket feri itu naik sebanyak RM9 dan RM6.50 berbanding RM18 dan RM13 sebelum ini.

    Sementara itu, untuk perjalanan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah yang mengenakan tambang RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak) mengalami kenaikan sebanyak RM3.50 menjadi RM26.50 dan RM20.50.

    Pelancong asing dewasa pula perlu membayar RM34.50 untuk harga baharu berbanding RM23 sebelum ini selepas ia naik sebanyak RM11.50 untuk laluan itu, manakala bagi kanak-kanak kenaikan RM8.50 dicatatkan menjadi RM25.50 daripada RM17 sebelum ini.

    Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kali terakhir tambang feri berkenaan dinaikkan adalah pada 15 Disember 2007 iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

    “Kadar kenaikan itu adalah RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis. Ini menjadikan kadar tambang feri di Langkawi adalah yang terendah di Malaysia ketika ini,” katanya di sini hari ini.

    Baharin berkata, kadar tambang baharu itu melibatkan tujuh buah syarikat feri yang beroperasi di kedua-dua laluan berkenaan yang bernaung di bawah Ferry Line Ventures.