Tag: takziah

  • Tragedi tanah runtuh: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah

    Tragedi tanah runtuh: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

    Menerusi catatan di akaun Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku serta berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

    “Seri Paduka berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

    Seri Paduka berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan dan agensi  kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.

    “Seri Paduka berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera,” menurut catatan itu.

    Setakat 1 tengah hari tadi, polis mengesahkan seramai 16 orang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada awal pagi tadi manakala 17 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan. – BERNAMA

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi ini.

    Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan itu.

    “Ia berita yang amat menyedihkan.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga (Md Yunus),” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi kawasan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini hari ini.

    Muhyiddin turut ditemani isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

    Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin, Pahang pada 3.30 pagi ini, selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan semua pengundi untuk keluar awal mengundi kerana bimbang banjir akan berlaku jika hujan lebat berterusan.

    Bagaimanapun, beliau melihat cuaca hujan hari ini di Muar tidak menjadi penghalang pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

    “Jadi keluar mengundi seawal mungkin adalah lebih baik,” katanya, kata lapor Sinar Harian.

  • PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PM ucap takziah kepada keluarga Muhammad Aming

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah, yang dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira 1.30 pagi ini.

    Ismail Sabri menerusi hantaran melalui Facebooknya berkata, beliau pernah membuat hantaran tentang kanak-kanak itu di media sosial  pada 23 Jan, semasa menjawat jawatan Menteri Kanan Keselamatan berkaitan nasihat yang disampaikan olehnya.

    “Ternyata Allahyarham adik Aming merupakan seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi,” katanya menerusi hantaran itu.

    Muhammad Aming, 8, sebelum ini popular dengan perkongsian video berbentuk nasihat di laman Facebook, yang disifatkan sebagai comel serta kepetahannya menyampaikan nasihat secara bersahaja dalam loghat Sabah.

    Antara video yang mendapat perhatian adalah tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.- BERNAMA