Tag: tak puas hati

  • Penyokong Najib tak puas hati dengan Zahid, PM, dakwa Shahril, KJ

    Penyokong Najib tak puas hati dengan Zahid, PM, dakwa Shahril, KJ

    BEKAS pemimpin UMNO, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin mendakwa perasaan tidak puas hati semakin meningkat dalam UMNO terhadap presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut mereka, keadaan itu berlaku susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyemak semula sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.

    Menerusi program “Keluar Sekejap” bersama Khairy, Shahril berkata, ada implikasi politik pada Zahid dan kerajaan perpaduan diterajui Anwar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    “Kedua-dua pihak (Pakatan Harapan atau UMNO) tidak mengakui perkara ini, tetapi satu perkara yang buat UMNO sedia bersama dengan PH adalah dengan harapan Najib dibebaskan.

    “Bagaimanapun, saya melihat pertikaian dan serangan terhadap Zahid serta (Anwar) dalam forum atau kumpulan menyokong Najib. Di sinilah ia bermula. Memang ada perbincangan antara ahli UMNO dan akar umbi (tidak bersetuju).

    “Sekiranya situasi itu tidak ditangani pemimpin UMNO, saya percaya ia boleh memberi ancaman kepada kepimpinan parti dan gabungan politik dengan PH,” kata Shahril menurut laporan Free Malaysia Today.

    Shahril adalah bekas ketua penerangan UMNO yang digantung keahlian selama enam tahun.

    Khairy dipecat UMNO turut bersetuju dengan Shahril, dan menyatakan, ada tindak balas kuat dalam kalangan penyokong Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    “Kenyataan Zahid yang bagi saya jawapan munasabah untuk timbalan perdana menteri berkata, bahawa beliau akur dengan keputusan mahkamah. Ia mencetuskan reaksi sebahagian pihak,” katanya.

    Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda UMNO itu berkata, Zahid seorang ahli “politik yang sempurna” yang mampu menguruskan sebarang ketidakpuashatian dalam parti.

    Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, diikuti Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

    Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya dengan keputusan majoriti 4-1. Dengan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara malainkan mendapat pengampunan diraja.

  • Geng Ustaz tak puas hati jawapan defensif Hannah

    Geng Ustaz tak puas hati jawapan defensif Hannah

    Oleh AHMAD SYAKIR NORAZLI

    SUATU program yang diberi nama ‘Jom Ziarah Gereja’ yang telah dianjurkan oleh Impact Malaysia, sebuah badan yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan di mana menterinya ialah YB Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

    Ia telah mencetuskan rasa tidak selesa di kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Melayu-Islam saat iklan dan kempen program ini mula disiarkan kepada umum.

    YB Hannah Yeoh telah menjawab mengenai isu ini di Parlimen semalam. Namun jawapan jawapan yang diberi berkenaan isu ini masih tidak jelas dan tidak memuaskan hati.

    Pertamanya, YB Menteri menjelaskan program ini dijalankan hanya untuk bukan-Muslim di Malaysia ini. Namun anehnya, iklan yang dibuat tidak pula disebut seperti itu. Yang terdapat pada poster iklan hanya melarang belia bukan-Kristian dari menyertai program tersebut. Bahkan iklan itu pula disebar secara terang-terangan dan secara terbukanya di media-media sosial. Ini sangat biadab dan tidak peka dengan sensitiviti masyarakat majoriti Melayu-Islam.

    Kedua, mengapakah Kementerian Belia dan Sukan sibuk dengan agenda perpaduan negara? Sudah tidak ada kerja lain kah kementerian ini sibuk mengambil tugas dan misi Kementerian Perpaduan? Apakah ini sebenarnya satu mesej dari YB Hannah Yeoh bahawa Kementerian Perpaduan tidak buat kerja sehingga YB sibuk sibuk menolong tugas dan portfolio Kementerian Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Datuk Aaron Ago Dagang? Atau sebenarnya YB ada agenda lain?

    Ketiga, apakah manfaat dan signifikannya dana dan peruntukan kementerian yang dibelanjakan, yang sumbernya datang dari seluruh rakyat Malaysia hari ini, yang majoritinya Melayu Muslim mendanai program lawatan ke gereja? Tidakkah ini satu pembaziran kepada duit rakyat? Apakah perbelanjaan dari kementerian ini suatu yang setiap majaroti rakyat Malaysia yang terdiri dari kalangan Melayu Islam redha duit mereka dibelanjakan untuk program program seperti ini?

    Hujah-hujah yang YB Hannah jawab di Dewan Parlimen dengan membawa contoh dari lawatan ke gereja yang dilakukan oleh Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula sangat jauh dari apa yang cuba YB bawa dengan inisiatif kementerian.

    Benar, Islam tidak melarang melawat gereja selagi mana ia tidak melibatkan upacara ibadat. Namun, program lawatan itu tidak bolehlah didanai dari duit kerajaan. Tidak boleh juga untuk ia dipromosikan kepada umum kerana kepentingan untuk menjaga aqidah dan pegangan agama orang-orang Islam lebih utama dari program-program yang melibatkan agama selain Islam.

    Penulis ialah Ketua Penerangan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz)