Tag: tak ikut prosedur

  • Tommy Thomas didakwa lantik 23 peguam luar mewakili kerajaan tanpa ikut prosedur

    Tommy Thomas didakwa lantik 23 peguam luar mewakili kerajaan tanpa ikut prosedur

    Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa mengetepikan pegawainya sendiri dan melantik 23 peguam luar bagi mewakili kerajaan tanpa mengikut prosedur.

    Menurut laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy, pelantikan begitu ramai peguam luar disifatkan sebagai ‘tidak pernah berlaku’ dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

    PPK turut menyifatkan pelantikan itu tidak wajar dan menimbulkan pertikaian kerana pelantikan mereka bagi mengendalikan kes berprofil tinggi secara langsung memberi peguam terbabit akses kepada dokumen dan maklumat sulit.

    Antara yang dilantik ialah peguam British, Toby Landau dan Luke Parsons dari firma berpangkalan di Singapura dan Los Angeles bagi mengendali isu membabitkan diskriminasi minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

    Menurut PPK lagi dalam laporan Berita Harian, Thomas dalam bukunya menyatakan bahawa peguam di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai komitmen, semangat dan dorongan sebagai anggota Badan Peguam Malaysia.

    PPK berkata, Tommy sebagai ketua jabatan perlu menyatakan cadangan untuk memperbaiki kelemahan, bukan dengan mengetepikan pegawainya dan melantik peguam luar.

    Malah, PPK mengesyorkan supaya satu garis panduan patut ditetapkan khusus mengenai kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam melantik peguam luar bagi mewakili kerajaan.

    Katanya, garis panduan itu perlu dipastikan ketelusan dan integriti serta mengetepikan sebarang konflik kepentingan.

  • Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    Pelantikan pembangun aplikasi MySejahtera tak ikut prosedur

    PELANTIKAN KPISoft Malaysia Sdn Bhd sebagai pembangun aplikasi MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Putrajaya.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, tidak ada satu minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft (sebelum ini bernama Entomo).

    “Satu-satunya dokumen yang wujud ialah perjanjian tanpa pendedahan (NDA) yang ditandatangani oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dan KPISoft,” katanya dalam satu kenyataan yang dilapor Free Malaysia Today.

    Menurut Wong, pelantikan KPISoft pada Mac 2020 didapati adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan tatacara perolehan kerajaan.

    Katanya, penetapan harga siling yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun iaitu RM98 juta setahun juga adalah tinggi, selain bercanggah dengan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    “Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera,” Tambah kenyataan PAC itu.