Tag: Taiwan

  • Burung peliharaan cederakan doktor, pemiliknya diperintah bayar pampasan

    Burung peliharaan cederakan doktor, pemiliknya diperintah bayar pampasan

    SEORANG lelaki di Tainan, Taiwan diperintah membayar ganti rugi NT$3.04 juta (AS$91,350) kepada doktor yang mengalami kecederaan selepas diserang burung kakaktua peliharaan lelaki itu.

    Lelaki bernama Huang itu diarah membayar pampasan kepada doktor yang dikenali sebagai Lin atas kerugian kewangannya selama setengah tahun apabila beliau tidak dapat bekerja akibat kecederaan yang dialaminya, menurut Mahkamah Daerah Tainan dalam keputusan yang dikeluarkan pada 30 Dis 2022, lapor Central News Agency (CNA).

    Sendi pinggul doktor berkenaan terkehel selain patah tulang asetabulum pada pinggul kanannya dalam kejadian pada petang 13 Julai 2020, selepas “diserang” burung kakaktua itu ketika berjoging di Daerah Gueiren.

    Huang melepaskan burung itu tanpa mengambil sebarang langkah berjaga-jaga.

    Walaupun Huang segera menghubungi ambulans untuk membawa Lin ke hospital, Lin terpaksa menjalani rawatan selama seminggu serta berehat di rumah selama lebih setengah tahun dan dijaga oleh penyedia perkhidmatan penjagaan.

    Menurut laporan itu, Lin menyaman Huang untuk pampasan NT$3.68 juta atas kerugian kewangannya termasuk kehilangan gaji bulanan NT$220,000, perbelanjaan perubatan dan yuran penjagaan.

    Mahkamah kemudian menurunkan jumlah itu kepada NT$3.04 juta. 

    Selain itu, Huang dijatuhi hukuman penjara dua bulan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tanpa sengaja. – BERNAMA

  • Taiwan lapor kes import baharu Covid-19 tertinggi

    Taiwan lapor kes import baharu Covid-19 tertinggi

    PUSAT Perintah Epidemik Taiwan (CECC) melaporkan 25,063 jangkitan baharu COVID-19 pada Selasa termasuk 560 kes import dengan 26 kematian.

    Menurut CECC, 560 kes itu merupakan jumlah kes import tertinggi yang dilaporkan oleh Taiwan dalam sehari sejak wabak itu meletus pada 2020, sebahagian besarnya mencerminkan lonjakan kes yang melibatkan pelawat yang memasuki Taiwan dari China.

    Jumlah kes menunjukkan penurunan 0.6 peratus daripada hari yang sama seminggu sebelumnya, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan yang memetik CECC.

    Mereka yang meninggal dunia berumur antara 50-an dan 90-an dan 14 daripada kes kematian membabitkan mereka yang tidak divaksin COVID-19.

    Sementara itu,16.3 peratus (atau 226) daripada 1,386 pelawat yang tiba terus dari China pada 8 Jan diuji positif sama seperti 15.1 peratus (atau lapan) daripada 53 pelawat dari Xiamen ke Kinmen dan Matsu.

    CECC mengeluarkan statistik harian mengenai peratusan ketibaan dari China yang disahkan positif COVID-19, namun angka tersebut tidak sepadan dengan jumlah kes import yang dilaporkan setiap hari berikutan tiada laporan selain ujian yang dijalankan tidak dikumpul.

    Sehingga kini, Taiwan merekodkan 9,097,554 kes COVID-19 sejak wabak itu bermula pada awal 2020, termasuk 43,563 diklasifikasikan sebagai kes import.

    Dengan 26 kematian yang dilaporkan pada Selasa, jumlah kematian COVID-19 yang disahkan di negara ini meningkat kepada 15,608. – BERNAMA