Tag: Tahun Baharu Cina

  • Masyarakat Cina tidak asing dalam kehidupan saya, kata Hadi

    Masyarakat Cina tidak asing dalam kehidupan saya, kata Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menceritakan bagaimana masyarakat Cina amat dekat dalam kehidupannya sejak kecil sehingga kini susulan sambutan Tahun Baru Cina semalam.

    Kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, masyarakat kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan beliau.

    Katanya, ini kerana datuk beliau memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak dan mereka menjadi sebahagian daripada keluarganya.

    “Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur. Datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung.

    “Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat kaum Cina bukanlah perkara baru,” katanya dalam hantaran di media sosial.

    Abdul Hadi berkata, selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama pimpinan Perikatan Nasional dan Gerakan semalam, dia bergegas pulang ke Kampung Rusila, Terengganu bagi meraikan sambutan tersebut bersama anak dan menantu.

    Menerusi akaun media sosialnya, Abdul Hadi turut berkongsi beberapa keping gambarnya bersama keluarga besar dengan berbaju serba merah sebagai menyambut perayaan tersebut.

    Beliau turut menasihatkan supaya perayaan Tahun Baru Cina dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama manusia dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

  • Op Limau: 120 kaki judi ditahan, lebih RM90,000 dirampas

    Op Limau: 120 kaki judi ditahan, lebih RM90,000 dirampas

    SEBANYAK 120 individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian haram menerusi Op Limau yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

    Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan, suspek termasuk 115 lelaki ditahan sejak minggu lalu dalam 20 serbuan dengan nilai rampasan wang tunai RM92,481.

    Katanya, PDRM menerusi Bahagian Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen dan Daerah menjalankan Op Limau selama 15 hari bermula 15 Januari hingga 29 Januari ini.

    “Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan serta judi tempat terbuka, yang tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Noorsiah berkata, polis akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkannya melalui Hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477.

  • 1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    1.6 tan mercun, bunga api diseludup untuk Tahun Baharu Cina dirampas

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun seberat 1.6 tan bernilai RM87,010 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di George Town, 9 Januari lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, mercun yang dipercayai diseludup untuk sambutan Tahun Baharu Cina itu dirampas di dalam 463 kotak dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi.

    Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 42 tahun yang sedang memunggah barang tersebut ke dalam sebuah lori.

    “Siasatan mendapati mercun dan bunga api tidak berkastam itu dibawa masuk melalui salah sebuah negara di Asia Tenggara menggunakan pengangkutan darat secara tidak sah dengan nilai cukai sebanyak RM56,556.50,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, dalam operasi berasingan, tambah beliau, JKDM Pulau Pinang turut merampas sejumlah 510 unit dapur memasak hob (elektrik) yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720.

    Hamisan berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu yang dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan.

    “Dagangan ini dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Timur dan seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan, namun dilepaskan dengan jaminan,” katanya.

    Sementara itu, ujarnya, JKDM Pulau Pinang turut merampas sebanyak 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Disember lalu.

    Ujar beliau, skuter terbabit diikrar sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam Borang K1 dan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.

    “Kedua-dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    PUTRAJAYA hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga (‘family reunion dinner’) dan aktiviti ziarah.

    Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, acara makan keluarga pada 31 Jan ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, tidak seperti tahun lepas dihadkan hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius.

    Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka bagi perayaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan melibatkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.

    Halimah berkata, resepsi yang dianjurkan syarikat atau persatuan perlu dilakukan di dalam dewan atau restoran dan bukan di tempat terbuka serta sesi majlis tidak boleh dibuat secara berterusan seperti rumah terbuka.

    “Resepsi hanya bagi mereka yang dijemput sahaja boleh hadir dan selepas habis aktiviti makan, tiada pusingan kedua,” katanya dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.

    Halimah berkata, upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Feb adalah dibenarkan dengan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas ‘Hokkien Clan’ pada 8 dan 9 Feb serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.

    Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Feb juga dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, katanya.

    Halimah berkata turut, dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.

    “SOP disediakan demi keselamatan masyarakat dan penganut,” katanya yang berharap perayaan itu disambut dengan kemeriahan dalam suasana selamat.

    Sementara itu, Ka Siong berkata, SOP sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih longgar tidak seperti tahun lepas yang hanya disambut di rumah.

    “SOP ini telah dibincangkan dengan teliti dalam tiga kali perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

    Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata parti itu akan menganjurkan resepsi Tahun Baharu Cina tahun ini tetapi hanya melibatkan jemputan yang terhad.

    Maklumat lanjut berhubung resepsi itu akan diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, katanya serta menambah, MCA akan mematuhi SOP untuk memberikan contoh yang baik pada resepsi itu. – BERNAMA