Tag: Syeikh Fadzil Awang

  • Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis – Mufti Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMUNGKINAN untuk mencerap anak bulan pada hari Khamis depan bagi menandakan tarikh 1 Syawal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada keesokan harinya tipis, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Namun, beliau berkata, walau apa pun keputusannya, ia akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan kelak.

    “Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat. Kita mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.

    “Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena, hari ini.

    Justeru, Syeikh Fadzil menasihatkan umat Islam agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.

    Katanya, tindakan itu termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.

    Tambah beliau, umat Islam sebaliknya perlu fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.

    “10 malam Ramadan ini yang dinanti-nantikan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, Carilah nanti kedatangan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkat tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

    “Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipat gandakan amal ibadat kita namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.

    “Mungkin kerana sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan? Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipat gandakan amalan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

    Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UEA), baru-baru ini menjangkakan tarikh 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat bersamaan 21 April.

  • Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MUFTI Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang menegaskan umat Islam dilarang berkunjung atau menziarahi rumah ibadat agama lain tanpa sebarang tujuan atau kepentingan berbuat demikian kerana dikhuatiri memesong akidah terutama melibatkan golongan muda.

    Beliau berkata, hanya golongan dan individu tertentu sahaja yang dibolehkan berbuat demikian namun dengan syarat tidak menyertai apa-apa ritual agama terbabit serta perkara lain berkaitan akidah.

    “Menziarahi rumah ibadat bukan Islam bukanlah suatu yang statik yang dikatakan tidak boleh dan begitu juga nak dikatakan boleh iaitu melihat kepada siapa yang akan membuat kunjungan itu.

    “Kunjungan-kunjungan yang ada keperluan dan kepentingan daripada kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh agamawan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi yang tidak memberi kesan terhadap akidah misalnya, maka kunjungan itu dibolehkan.

    “Jika secara umum melibatkan remaja memang dilarang kerana persiapan dalaman golongan itu belum cukup untuk mereka berhadapan perkara-perkara seperti ini yang dibimbangi akan menyebabkan akidah mereka terjejas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu. Namun, program dijadual berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes di Klang, Selangor telah dibatalkan.

    Jelas Syeikh Fadzil, golongan tertentu yang dibolehkan berkunjung ke rumah ibadat itu juga harus memiliki ketahanan dan kekuatan iman yang diyakini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada akidah mereka.

    “Itu pun ziarah untuk satu tujuan yang kita katakan ada keperluan dari segi hubungan dalam masyarakat. Jika ada keperluan pun ada batasannya supaya kita tidak melakukan ritual yang betul-betul berbentuk keagamaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali berkata, pihaknya melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini bermula daripada RM6.50 hingga RM21.

    Katanya, penetapan harga zakat fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg).

    “Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi, ada daerah yang usahakan tanaman padi setahun sekali dan dua kali setahun, beras di Sik contohnya berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

    “Tahun ini ada kadar baharu RM6.50 iaitu untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (10 peratus hancur) dan setaraf dengannya. Kadar RM7 pula bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.

    “Zakat fitrah RM14 ditetapkan bagi penduduk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya dan RM21 untuk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” jelasnya.