AHLI Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik pengerusi bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menurut Bernama lantikan itu berkuat kuasa 1 April lalu.
MDEC menerusi kenyataan berkata, Syed Ibrahim berpengalaman luas dalam bidang telekomunikasi selama 25 tahun di Telekom Malaysia Bhd dari 1989 hingga 2014 dengan jawatan terakhir adalah penolong pengurus besar.
Katanya lagi, beliau juga mempunyai pengalaman termasuk dalam bidang pengurusan perhubungan pelanggan, pengurusan projek, pemasaran dan jualan perdagangan, segmentasi dan analisis serta pengurusan teknologi maklumat dan sistem.
Syed Ibrahim mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini dipegang Datuk Alwi Che Ahmad, ADUN Kok Lanas yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Alwi dilantik ke jawatan itu pada Disember 2021 berikutan peletakan jawatan pendahulunya, Rais Hussin, pada Oktober tahun itu.
Syed Ibrahim juga ketua PKR Johor dan berada dalam Majlis Pimpinan Pusat parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyasarkan sekurang-kurangnya 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, 28 daripada 56 kerusi DUN itu sudah dikenal pasti yang semuanya kerusi bersifat campuran berdasarkan pola penduduk berbilang kaum.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata, antara kawasan yang akan diletakkan calon seperti di DUN Kempas, Larkin dan Permas Jaya.
“(Namun) soal pengagihan kerusi ini masih terbuka, belum peringkat putuskan mana-mana parti tetapi kita lihat PKR ada potensi dan kelebihan sebagai parti pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor, Pusat Perdagangan Danga Utama di Johor Bahru, hari ini.
Syed Ibrahim Syed Noh
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu.
Syed Ibrahim berkata, PKR akan berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini terlebih dahulu melibatkan pembahagian kerusi dan sasaran PKR itu selepas melihat kemampuan untuk menang di kerusi campuran tersebut.
“Sebenarnya daripada segi kemenangan ini perlu dilihat secara menyeluruh, jika kerusi itu tradisinya adalah kerusi campuran ia perlu diberi kepada parti yang boleh mewakili pelbagai kaum, potensi untuk menang lebih besar.
“Dalam situasi pertandingan tiga atau empat penjuru, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk PKR terutamanya,” ujarnya.
Menurutnya, PKR Johor sudah menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRU-15 sejak dua tahun lalu walaupun dalam suasana Covid-19 dan dalam keadaan PH telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan, persediaan tetap perlu dilakukan.
“Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan bilakah PRU-15 itu akan diadakan, buat masa ini boleh dikatakan jentera PKR Johor telah 80 peratus bersedia untuk menghadapi PRU-15,” ujarnya.
Mengenai penggunaan logo yang akan digunakan PH pada PRU-15 di Johor, pihaknya bersedia mengikut ketetapan dibuat Majlis Presiden PH.
“Buat masa ini, masih belum ada ketetapan yang dibuat, daripada sudut PKR pastinya kami mahu mengekalkan penggunaan logo PKR seperti yang digunakan dalam PRU lalu, namun kami akan akur dengan keputusan, tiada masalah.
“Saya tidak melihat isu ini sebagai satu isu besar, saya juga tidak rasa ianya satu perkara yang boleh menyebabkan kita berbalah,” ujarnya,” ujarnya mengulas kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP Johor yang tidak bersetuju cadangan PKR Perlis untuk menggunakan logo PKR dan mahu lambang PH digunakan dalam PRU-15.