Tag: syarikat

  • Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    DUA ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.

    Lim Ah Hock, 71, didakwa atas satu pertuduhan manakala  Lim Pay Chuan, 53, menghadapi tiga pertuduhan.

    Mereka didakwa dengan curang telah bersubahat dengan seorang pengurus besar syarikat pembinaan, G. Paismanathan, 52, menyebabkan seorang wanita melupuskan wang milik dua syarikat bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah lebih RM10.6 juta membabitkan beberapa kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pestech Technology Sdn Bhd, di Ara Damansara, dekat sini antara 16 Nov 2017 dan 5 Jan 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muaz Ahmad Khairuddin memohon Ah Hock dan Pay Chuan masing-masing dikenakan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan tetapi memohon agar pasport kedua-dua anak guamnya tidak ditahan di mahkamah kerana mereka kerap ke luar negara atas urusan perniagaan dan kesihatan.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

    Mahkamah menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Syarikat didenda RM30,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    Syarikat didenda RM30,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    SEBUAH syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana gagal memastikan keselamatan terhadap pekerjanya sehingga menyebabkan kematian.

    Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Syarikat Ryoka (Malaysia) Sdn. Bhd selepas Pengurus Sumber Manusianya, S. Letchumi Kaanthan, 44, yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Syarikat itu bagaimanapun membayar denda dikenakan.

    Mengikut pertuduhan, Ryoka (Malaysia) sebagai majikan didakwa telah gagal memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerja syarikat itu, Azman Abdullah, 29, dengan gagal mengadakan latihan bagi kerja-kerja pengacuan suntikan sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di Lot 9, Jalan P/1, Bangi Industrial Estate, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 11.45 pagi, 5 Nov 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Selangor Idris Abdul Rahman memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor kepentingan awam dan pekerja.

    “Dalam kes ini, syarikat itu gagal memberikan latihan sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan maut. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada OKS (Orang Kena Saman) dan golongan majikan di luar sana supaya tidak mengambil mudah tentang keselamatan dan kebajikan pekerja pada masa akan datang,” katanya.

    Peguam R Maran yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan atas alasan kesalahan itu diakui oleh anak guamnya dan ia pertama kali berlaku sepanjang syarikat berkenaan beroperasi lebih 30 tahun.

    “Hari ini, pengarah urusan syarikat datang ke mahkamah untuk mendengar prosiding kes. Pihak syarikat juga telah selesai memberi pampasan kepada keluarga mangsa selepas kejadian tersebut,” kata peguam itu.- BERNAMA