Tag: Syamsul Yusof

  • Syamsul, Puteri Sarah tak jadi cerai

    Syamsul, Puteri Sarah tak jadi cerai

    KRISIS rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof, 39, dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana belum menemui jalan penyelesaian apabila perbincangan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini gagal.

    Menurut Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul di dalam prosiding, proses hari ini tidak mencapai persetujuan.

    Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof ketika hadir bagi mendengar prosiding lafaz cerai dengan isterinya, Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Susulan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.

    “Usaha nak selesai kes secara persetujuan tidak berjaya. Terdapat beberapa perubahan dibuat oleh Puteri Sarah. Berkenaan Ira Kazar dan tuntutan lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Terdahulu, proses sulh yang berlangsung pada pukul 10.30 pagi tadi juga tidak berhasil berikutan tiada persetujuan.

    Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

    Bagaimanapun, terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

    Antara terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

    Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    Puteri Sarah harap Syamsul lafaz cerai, mahu ‘move on’

    “Harapnya Syamsul lafazkan (cerai). Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula”.

    Itu reaksi pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebelum prosiding lafaz cerai yang dijadualkan di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada pukul 11 pagi ini.

    Puteri Sarah, 38 mengakui, dia tidak sabar untuk dilepaskan daripada perkahwinan dengan suaminya, Syamsul Yusof.

    Katanya apa yang diharapkannya ialah Syamsul melafazkan cerai terhadapnya seperti dipersetujui bersama sebelum ini bagi memberi peluang kepadanya untuk memulakan hidup baharu dengan lebih tenang.

    “Saya tak sabar dan gembira. Saya nak ‘move on’, tolong doakan. Harapnya Syamsul lafazkan. Kalau lepaskan, saya rasa macam kehidupan baharu saya bermula.

    “Saya berharap semoga kami selesaikan dengan baik dan dipermudahkan. Percepatkan kes dan tiada lagi pergaduhan atau tidak puas hati, saya mahu selesaikan semua hari ini.

    “Sebab saya ada banyak lagi kerja tertangguh dan bulan hadapan saya mahu terbang ke Jakarta, saya mahu mulakan penggambaran di sana.

    “Jadi, kalau boleh saya mahu selesaikan semua cepat,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di ibu negara pada pukul 9.20 pagi.

  • Syamsul Yusof tetap saman Farid Kamil

    Syamsul Yusof tetap saman Farid Kamil

    PENGARAH, Syamsul Yusof, 39, tetap meneruskan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Farid Kamil bagi membersihkan namanya.

    Katanya, rancangan saman itu tetap berjalan sebagaimana pernah dimaklumkannya sebelum ini.

    “Saya pun harap Allah lembutkan hati saya untuk tarik balik saman, mungkinlah. Saya pun tak tahu.

    “Sekarang saman tetap diteruskan. Ini bukan soal siapa menang atau kalah, ia hanyalah perkara yang patut dijadikan pengajaran.

    “Ini kerana apabila berdiam diri buat kerja, tiba-tiba ada orang mengganggu atau memberikan kata-kata buruk, jadi kita perlu bertindak.

    “Saya seorang yang tenang dan tak suka ada isu dengan rakan artis kerana satu bidang. Saya tanya apakah anda akan mengambil tindakan saman kalau ada orang mengutuk dalam media sosial, jadi saya ambil tindakan undang-undang,” katanya menurut laporan BH Online.

    Terdahulu, pada 21 Mac lalu, Syamsul membuat pendedahan serius mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bintang filem Anwar: The Untold Story itu berikutan kenyataan yang pernah dimuat naik dalam laman Instagram (IG), baru-baru ini.

    Menerusi kenyataan dalam IG, Farid mendakwa seorang lelaki pernah memukul wanita bernama Diana, namun tiada sebarang tindakan diambil. Diana dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada isteri Farid iaitu Diana Danielle.

    Sementara itu, Syamsul enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai kenyataan pelakon, Aaron Aziz yang meminta Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.

    “Bila keluarkan kenyataan, perkara ini tidak akan habis. Jadi, apa yang saya mampu cakap mengenai isu Aaron sudah saya komen sebelum ini,” katanya.

    Mengulas adakah boleh bersemuka dengan Aaron, Syamsul berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

    “Boleh, tiada masalah,” katanya.

    Semalam, Aaron ditemui media ditanya jalan terbaik agar kemelut antaranya dan Syamsul ditamatkan berkata, perkara itu hanya akan terjadi selepas Syamsul memohon maaf kepada orang tuanya.

    “Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap kepada umum suruh dia minta maaf kepada orang tuanya (Datuk Yusof dan Datin Patimah),” kata Aaron.

    Ia susulan kontroversi apabila Aaron memuat naik hantaran video dalam IG mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan membintangi filem The Original Gangster (TOG).

  • Syamsul enggan lukakan hati Puteri Sarah lagi, reda jika berpisah

    Syamsul enggan lukakan hati Puteri Sarah lagi, reda jika berpisah

    MAHKAMAH Rendah Syariah Gombak menetapkan tarikh baharu pada 8 Mei depan bagi sebutan kes tuntutan nusyuz difailkan oleh pengarah, Syamsul Yusof, 39, terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38.

    Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof yang ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais berkata, ia berikutan Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja di luar negara.

    “Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara.

    “Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.

    “Doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.

    “Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja,” katanya menurut laporan BH Online.

    Mengulas lanjut, Syamsul juga memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan-rakannya menghadapi kemelut rumah tangga.

    “Doakan yang terbaik bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan-rakan artis lain sebab kita nampak ia jadi ‘trend’.

    “Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti.

    “Doakanlah kami semua. Itulah hakikat sebenar,” katanya.

    Pada soalan mengenai keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pada Isnin depan, Syamsul berkata, dia reda dengan apa sahaja yang bakal berlaku.

    “Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah.

    “Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik,” katanya.

    Terdahulu, Syamsul tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira pukul 9.10 pagi bagi sebutan pertama kes nusyuz terhadap Puteri Sarah.

    Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah sama.

    Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

    Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam beberapa tuntutan nusyuz atas beberapa alasan.

    “Syamsul sudah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman, memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.

    “Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini.

    “Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan.

    “Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul serta tidak memberi nafkah,” katanya.

  • Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    Syamsul fail permohonan nusyuz, dakwa Puteri Sarah ‘curang’

    PELAKON dan pengarah, Syamsul Yusof mendakwa isterinya, Puteri Sarah Liyana curang dengan lelaki lain yang juga bekas kekasihnya.

    Kenyataan itu dibuat Syamsul yang memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, petang tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan nusyuz, pukul 3.10 petang.

    Bercakap kepada media, Syamsul memberitahu dia memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah bukan sebab mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangga.

    “Sebagai suami, saya juga memendam rasa. Saya tak mahu cakap benda ini sebab saya pun malu.

    “Tak mengapalah, biar saya dan peguam sahaja tahu. Saya tahu Puteri Sarah berhubung dengan bekas kekasihnya.

    “Dia bukan pelakon, orang biasa ketika belajar di kolej. Jadi, saya tidak mahu orang salah faham.

    “Siapa boleh terima bila mengetahui isteri menjalinkan hubungan dengan suami orang. Dan benda ini timbul bukannya sebab saya mahu ‘membantai’ Puteri Sarah, tetapi selagi saya diam, lagi teruk,” katanya.

    Mengulas lanjut Syamsul memberitahu, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil tindakan, namun terpaksa berbuat demikian selepas dakwaan dibuat Puteri Sarah.

    “Selama ini, saya banyak berdiam dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Iyalah, tak elok nak berkongsi semua benda dalam kain kepada umum.

    “Orang tahu saya diam walaupun apapun Puteri Sarah muat naik dalam laman sosial Instagram (IG). Saya tak mahu berkongsi soal rumah tangga, namun sekarang baru saya faham kenapa orang cakap jangan masuk campur urusan rumah tangga orang.

    “Pasal saya dan Puteri Sarah orang tak tahu apa yang berlaku. Mungkin hanya mendengar sebelah pihak terus menghakimi, saya pun tak nak melatah.

    “Saya berdiam sebab fikir Puteri Sarah ibu kepada dua cahaya mata saya. Tetapi, saya terkejut Puteri Sarah menuduh saya memukulnya.

    “Saya tahu Puteri Sarah marah dan membenci saya. Kalau buka mulut macam saya buka aib Puteri Sarah pula,” katanya.

    Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, ibu bapanya juga tidak mengetahui hal sebenar.

    “Ibu bapa turut menghentam saya, jadi sudah tiba masanya, saya bukan mahu membalas atau melawan Puteri Sarah,” katanya.

    Sementara itu, Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam tuntutan nusyuz atas beberapa alasan dan tarikh sebutan kes ini adalah pada 6 April depan.

    “Hari ini, Syamsul memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman memandangkan dia tinggal di Wilayah Persekutuan.

    “Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini. Tarikh seterusnya, 6 April depan.

    “Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kerana beberapa alasan dinyatakan dalam tuntutan.

    “Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah,” katanya.

    Terdahulu, Syamsul hadir berseorangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pukul 3.05 petang, semalam.

  • “Lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu”, kata Puteri Sarah

    “Lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu”, kata Puteri Sarah

    TAHAP kemarahan dan kekecewaan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, sampai ke kemuncak apabila pelakon itu secara terbuka meminta suaminya, Syamsul Yusof agar melepaskannya.

    Lapor Astro Awani, malah dalam mesej yang dimuat naik di akaun media sosialnya, Puteri Sarah juga menegaskan, tujuan dia meminta dilepaskan adalah kerana tidak rela dimadukan.

    “Kepada Mohd Shamsul, oleh kerana awak block saya sehingga sekarang dan tidak ajak berbincang, saya minta lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu dan awak seorang suami yang narcissistic.

    We deserved better,” tulis Puteri Sarah dalam hantaran mengiringi gambar dia dan dua anaknya, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4, hasil pernikahan dengan Syamsul.

    Kisah rumah tangga Syamsul yang juga pengarah filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan masih berpanjangan berikutan pelbagai kenyataan berterusan dikeluarkan oleh pelbagai pihak.

    Nama Syamsul, 39, mendapat perhatian sejak Jumaat lalu apabila dia mengaku memadukan Puteri Sarah, 37, dengan menikahi pelakon Ira Kazar, 28, yang sebelum ini pernah dikaitkan sebagai kekasihnya.

    Syamsul mengakui, dia dan Ira berkahwin secara sah di negara jiran, Thailand dengan berwalikan bapa mentuanya yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

    Terdahulu, dua jam sebelum mengeluarkan kenyataan minta dilepaskan, Puteri Sarah turut berkongsi hantaran Insta Story membidas kenyataan suaminya yang mengatakan, orang jahil akan sentiasa mempamerkan kejahilannya.

    Katanya, dia kecewa dengan tindakan suaminya kerana akan memberi kesan kepada anak-anak.

    “Saya cuba tidak bertindak balas atas kerosakan yang sudah dilakukan, tetapi saya sangat bertanggungjawab untuk mengatakan bahawa sangat kecewa dan malu bagi pihak anak-anak serta keluarga.

  • ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    TIGA hari setelah mendedahkan tentang perkahwinan keduanya, pengarah terkenal Syamsul Yusof kembali mencuri perhatian netizen apabila berkongsi gambar perkahwinannya bersama Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar.

    Menerusi Instagram miliknya, Syamsul berkongsi gambar itu beserta kapsyen yang meminta kedua isterinya supaya bertenang dan bersabar.

    “Morning (selamat pagi)! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” tulisnya ringkas.

    Dalam pada itu, pengikut Syamsul menerusi ruangan komen pada hantaran berkenaan memberi respons positif terhadap status berkenaan.

    Ia adalah perkongsian hantaran pertama Syamsul selepas membuat pengumuman mengenai perkahwinan keduanya tJumaat lalu yang menjadi bualan hangat dan mengundang kecaman masyarakat.

    Malah, ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail turut terkesan dengan apa yang berlaku.

    Jumaat lalu Syamsul akhirnya mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.

  • Ibu Syamsul Yusof tidak akan maafkan Kazar

    Ibu Syamsul Yusof tidak akan maafkan Kazar

    BERLEGAR satu paparan skrin tertera komen yang difahamkan ditulis oleh ibu kepada pelakon dan pengarah kontroversi Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail.

    Dalam kenyataan yang tular itu, Patimah meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pelakon veteran, Kazar Saisi yang membantu anak perempuannya, Ira Kazar bernikah dengan Syamsul.

    “Kami keluarga Syamsul tidak akan memaafkan Kazar yang membantu anaknya berkahwin dengan Syamsul dan telah merosakkan rumah tangga Puteri Sarah Liyana dan anak-anak mereka!

    “Namun, kami terima takdir yang telah berlaku kepada anak kami yang malang itu,” demikian tulisnya, lapor Astro Gempak.

    Syamsul pada Jumaat mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan telah selamat bernikah dengan wanita yang didakwa menjadi individu ketiga dalam rumah tangganya bersama Puteri Sarah iaitu Ira Kazar.

    Turut tular gambar pernikahan Syamsul dan Ira termasuk Kazar yang menjadi wali kepada pasangan terbabit.

    Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5 dan Summayah, 3 tahun.

  • Syamsul lerai kontroversi, sahkan nikahi Ira hari ini

    Syamsul lerai kontroversi, sahkan nikahi Ira hari ini

    PENGARAH kontroversi, Syamsul Yusof, 39, akhirnya meleraikan spekulasi apabila mengesahkan berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira Kazar di Thailand, hari ini.

    Lapor Berita Harian, Syamsul berkongsi berita gembira itu menerusi video dimuat naik dalam laman Instagram (IG), sebentar tadi.

    Majlis akad nikah Syamsul dan Ira berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.

    “Hari ini saya bergelar suami Ira dengan berwalikan bapanya, Saisi. Ira kini sah menjadi isteri saya di sisi syarak dan Allah,” katanya.

    Syamsul mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang bersabar menanti perkembangan terbaru termasuk isu rumah tangganya.

    “Penghujungnya, saya kena beri penjelasan terhadap setiap persoalan.

    “Seperti dikatakan, saya akan meletakkan titik noktah terhadap isu rumah tangga yang tidak sepatutnya di kongsi dalam media sosial, tetapi nak buat macam mana.

    “Saya bernikah secara sah dengan Ira di Thailand. Ada sebab saya memilih berkahwin di sini bagi memudahkan beberapa perkara.

    “Perkahwinan kami juga sudah didaftarkan, syukur Alhamdulillah,” katanya menerusi video berkenaan.

    Pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu mengakui, Puteri Sarah Liyana masih isterinya yang sah.

    “Saya mahu menegaskan Puteri Sarah masih isteri saya. Kepada Puteri Sarah, saya mengharapkan kepulangan awak.

    “Pulanglah ke rumah agar kita dapat berbincang dan tak perlu dihebahkan dalam media sosial. Bawa anak-anak kita balik.

    “Apa sahaja kita berbincang di rumah tanpa perlu mengaibkan saya.

    “Terus-terang, bawa anak-anak ke sana sini tanpa keizinan suami, sedangkan saya masih suami awak.

    “Saya tak nak cakap lebih, fikir-fikirkanlah,” katanya.

    Syamsul berkata, dia juga tidak berniat membelakangkan keluarganya.

    “Tak pernah terlintas membelakangkan keluarga, Saya harap doa baik-baik daripada ibu bapa, adik-beradik dan keluarga.

    “Saya berdoa keputusan yang saya buat dirahmati dan dilindungi Allah daripada segala fitnah, hasad dengki serta niat jahat.

    “Paling penting, saya mengharapkan doa terbaik. Saya bukan manusia sempurna, ada masanya melakukan kesilapan,” katanya.

  • “Tak ada siapa pernah menyangka”, Syamsul teruja Mat Kilau hampiri RM100 juta

    “Tak ada siapa pernah menyangka”, Syamsul teruja Mat Kilau hampiri RM100 juta

    PENGARAH filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof menzahirkan keterujaannya apabila filem arahannya berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta.

    Menerusi Instagram miliknya, Syamsul berkata, filem tempatan kini mampu pergi jauh dan menyaingi filem-filem dari Hollywood.

    “Tak ada sesiapa yang pernah menyangka. Dari dulu, saya yakin pelakon dan pengarah filem kita mampu pergi jauh dan boleh menyaingi Hollywood dalam carta ‘All Time International Malaysia Box Office’ (Filem Antarabangsa Malaysia Pecah Panggung Sepanjang Zaman). Kita boleh.

    “Dengan izin Allah, ia berlaku! Filem Mat Kilau sudah mengatasi semua filem Hollywood seperti Star Wars, The Avengers, Jurassic World, Furious 7, Spiderman dan Transformers untuk kutipan tiket di Malaysia.

    “Sekarang, filem kita menjadi tuan di bumi sendiri,” katanya dalam hantaran itu lagi.

    Dalam pada itu, Syamsul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong karya-karya dihasilkannya selama ini.

    Malah, Syamsul mengajak masyarakat agar terus ke pawagam bagi menonton filem Malaysia dari semua penerbit dan pengarah hebat yang lain.

    “Terima kasih daripada kami, pasukan Mat Kilau dan terima kasih kerana terus menyokong karya-karya saya selama ini sejak filem pertama. Teruslah ke pawagam menonton filem Malaysia daripada semua penerbit dan pengarah filem hebat yang lain, okay? Sokong!” katanya.

    Sementara itu, Syamsul menjelaskan, Mat Kilau masih ditayangkan di pawagam negara ini dan tidak mustahil ia boleh mencecah kutipan sebanyak RM100 juta.

    Dalam pada itu, Mat Kilau kini ditayangkan di Indonesia sejak 31 Ogos lalu.

    Kejayaan itu sekali gus meletakkan Mat Kilau menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini mengatasi Avengers: End Game sebanyak RM87 juta.