Tag: syabu

  • Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    POLIS merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta yang dijumpai di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad, Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang suspek bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran dan meninggalkan van itu dalam keadaan enjin masih hidup, ketika serbuan dijalankan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang van terbabit mendapati 13 guni putih berisi dadah jenis syabu disorokkan di dalam timbunan pakaian terpakai.

    “Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta, tahan 6 lelaki

    POLIS Jakarta Barat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas penahanan enam lelaki tempatan.

    Ketuanya Pasma Royce dalam satu kenyataan berkata, pihak polis berjaya merampas 227 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM121 juta dalam empat serbuan berasingan di Tangerang, Riau, Medan dan Aceh.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Akta dadah berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

    Pasma berkata penahanan itu dilakukan selepas bukti ditemui dan rangkaian penghantaran terbongkar di kawasan Cengkareng, Jakarta Barat.

    Dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Malaysia menggunakan jalan laut.

    Sementara itu, di Malaysia, polis Perlis pada Khamis menggagalkan cubaan sindiket dadah menyeludup 1.8 tan syabu menggunakan lori tunda bagi menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan terlarang itu. – BERNAMA

  • 320kg syabu bernilai RM11.5 juta dirampas

    320kg syabu bernilai RM11.5 juta dirampas

    SEBANYAK 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta berjaya dirampas polis selepas menumpaskan sindiket dadah yang menjadikan sebuah rumah teres sebagai stor simpanannya dekat Setiawangsa, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, polis turut menemui 13 guni diisi dengan 310 bungkusan teh cina berwarna kuning keemasan dan hijau dalam serbuan itu.

    “Bungkusan teh cina itu digunakan untuk memuatkan dadah yang disyaki jenis syabu.

    “Polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dianggarkan bernilai RM20,800,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut, Yahaya berkata, sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif sejak September lalu digempur dalam Op Lambkin membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan IPK Kuala Lumpur.

    Susulan serbuan itu katanya, polis juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual kereta dan mempunyai rekod satu kes dadah dan dua kes jenayah curi.

    Keputusan air kencing mendapati suspek positif dadah.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM11.5 juta yang dirampas selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan membongkar stor simpanan dadah di Setiawangsa ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Namun seorang lagi suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai jurujual dalam talian dengan satu rekod kes dadah, didapati negatif ujian kencing.

    Yahaya berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 sehingga 31 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Serbuan ini adalah rampasan terbesar yang dilakukan Polis Kuala Lumpur tahun ini.

    “Kita mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999.

    “Maklumat melalui aplikasi Whatsapp boleh disalurkan di talian JSJN Bukit Aman 012-2087222,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Polis rampas syabu lebih RM10 juta di Tawau

    Polis rampas syabu lebih RM10 juta di Tawau

    POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas 303.15 kilogram (kg) dadah jenis Syabu bernilai RM10.91 juta ketika cuba meloloskan diri di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, Isnin lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata hasil maklumat awam, polis mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu suspek berusia 49 tahun di kawasan Membalua, Batu 10 di sini pada 7.30 malam dan mengejar hingga Kampung Batu Payung sebelum berjaya menahan lelaki terbabit.

    “Pemeriksaan awal dalam kenderaan suspek menemukan 12 beg berisi 290 bungkusan hijau (bertulis Guanyinwang)  mengandungi Syabu, selain turut ditemukan wang tunai RM5,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

    Beliau berkata polis mengesahkan turut merampas sepucuk senapang angin dan menyita harta milik suspek bernilai RM147,284.57 termasuk wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 dan sebuah kenderaan.

    Idris berkata dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke daerah ini melalui jalan laut dan siasatan masih dijalankan sama ada dadah itu untuk pasaran tempatan atau Tawau hanya dijadikan lokasi transit dadah. 

    “Pihak polis juga menyiasat dan akan menjejaki saki-baki kumpulan berkait rapat kes ini, jika ada, polis Sabah juga meminta bantuan daripada ibu pejabat (Bukit Aman) untuk maklumat berkaitan sindiket dadah yang dibawa masuk dari luar,”  katanya.

    Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari hingga 15 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

    Sementara itu, Idris berkata Polis Sabah menahan 5,174 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan daripada jumlah itu sebanyak 550 orang adalah pengedar dadah yang disiasat di bawah Seksyen 39B, seksyen 39A(2) serta Seksyen 39A(1).

    Beliau berharap agar orang ramai terus memberikan kerjasama menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah dadah di kawasan masing-masing.- BERNAMA