Tag: Sweden

  • Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    ARMADA Bersatu mendesak Wisma Putra memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras negara ini terhadap jenayah keji ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm baru-baru ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan memanggil duta berkenaan adalah penting untuk menunjukkan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu.

    Menurutnya, ia juga bagi menunjukkan negara ini tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh ahli politik itu.

    “Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji membakar Al-Quran oleh Paludan di Stockholm.

    “Ia dengan malangnya dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara; yang mana Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli politik berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan kawalan polis yang ketat lapor Berita Bersatu.

  • Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    TURKIYE pada Jumaat memanggil duta Sweden ke Ankara susulan rancangan untuk membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turki di Stockholm.

    Menurut sumber diplomatik Turki, duta itu Staffan Herrstrom telah dimaklumkan mengenai pendirian Turkiye yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas satu perbuatan jenayah kebencian dan tindakan itu juga tidak boleh diterima. Ankara berharap rancangan berkenaan tidak diteruskan.

    Membenarkan aktiviti propaganda yang sedang dirancang oleh pihak bersekutu PKK di Stockholm jelas sudah melanggar perjanjian tiga pihak, lapor Agensi Anadolu memetik sumber.

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menurut polis Stockholm.

    Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

    Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

    Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

    Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi oleh pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden.

    Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad menyifatkan tindakan itu melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara.

    “Tindakan itu merupakan suatu usaha provokasi dan menghasut kebencian yang mesti ditolak semua pihak yang inginkan keamanan dan hidup bersama dalam budaya damai.

    “Malaysia juga menekankan kepentingan menghapuskan semua bentuk keganasan dan kebencian, termasuk Islamofobia.

    “Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen Islamofobia dan pelampau agama,” menurut kenyataan itu.

    Menurut laporan media, pada Khamis pemimpin Denmark dari parti sayap kanan, Stram Kurs bertindak membakar senaskah al-Quran di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam di Sweden.

    https://twitter.com/Intel_sky/status/1515605944851435522

    Paludan dilaporkan melakukan tindakan tersebut di kawasan terbuka di selatan Linkoping dan tidak menghiraukan orang ramai yang membantah perbuatannya itu. – BERNAMA