SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh yang mengumumkan keputusan pilihan raya itu berkata Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Beliau juga berkata sejumlah 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian, yang berjalan hari ini.
“Jumlah tersebut meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos,” katanya pada sidang media di sini malam ini.
Dalam pada itu beliau berkata proses pengundian berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan perjalanan PRN Melaka kali ini.
PRN Melaka diadakan hari ini (20 Nov) ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lalu, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA
Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh 15 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh pada 9.42 malam ini di Menara Persekutuan di sini.
“BN telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Abdul Ghani juga berkata proses pengundian bagi pilihan raya berkenaan berjalan dengan baik dan lancar. – BERNAMA
PROSES pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini selesai apabila 10 lagi Pusat Pengundian Awal (PPA) ditutup pada 5.30 petang ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 86 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 4 petang.
Sebanyak10 PPA yang ditutup pada 5.30 petang ialah Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di DUN Machap Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, SK Kem Terendak 1 dan II serta Dewan Borhan di DUN Sungai Udang.
Turut ditutup PPA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di DUN Ayer Keroh, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah di DUN Bukit Katil, Bilik Media Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di DUN Bandar Hilir dan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di DUN Bemban.
Terdahulu, 21 daripada 31 PPA yang diwartakan ditutup lebih awal pada 2 petang.
PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.
Ia turut menyaksikan penekanan diberikan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya. – BERNAMA
AKTIVITI berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti politik bertanding di mana-mana pusat penamaan calon sepanjang tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, adalah tidak dibenarkan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Ikmalrudin berkata calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka boleh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon.
Katanya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.
Beliau juga berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal calon yang ingin bertanding juga diingatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon esok.
“Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, SPR juga menyeru semua calon terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan pada hari tersebut.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA
SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang ke-14 semalam.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman itu adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.
“Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf berkata, DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.
Ab Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.
“Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Okt 2021 (Isnin),” katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri di Melaka, hari ini.
Ab Rauf berkata Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada hari ini.